SUATU waktu dahulu kita dipaparkan dengan beberapa kejadian yang melibatkan kecederaan dan kematian bayi dan kanak-kanak akibat kecuaian pihak pengurusan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) atau pengasuh persendirian. Bagi wanita yang tidak bekerja, berita seumpama itu tidak begitu memberi kesan yang mendalam kerana anak-anak selamat berada di bawah penjagaan mereka. Bagaimana pula dengan suri rumah yang keluar bekerja?

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, terdapat lebih kurang 3.57 juta wanita di Malaysia yang keluar bekerja, manakala 6.47 juta bagi lelaki yang bekerja. Jumlah ini sudah tentu berbeza pada 10 atau 20 tahun yang lalu di mana keadaan ekonomi tidak begitu menekan dan perubahan sosial juga tidak membimbangkan.

Peranan wanita yang keluar bekerja sebenarnya lebih berat berbanding wanita yang tidak bekerja kerana mereka sentiasa kesuntukan masa dalam membahagikan masa antara keluarga dan pekerjaan. Peningkatan jumlah wanita atau suri rumah yang keluar bekerja juga memberi kesan kepada pertumbuhan dan perkembangan pusat jagaan dan taman asuhan kanak-kanak. Malahan pengasuh persendirian juga semakin meningkat jumlahnya disamping penggunaan khidmat pembantu rumah dari negara jiran.

Memetik kata-kata Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah yang menerangkan bahawa berbanding 10 tahun lalu, kerjaya sebagai pengasuh tidak dianggap profesional yang dapat menyumbang kepada pembangunan insan. Hanya dalam tempoh beberapa tahun ini industri pengasuhan atau perkhidmatan kanak-kanak menjadi semakin mencabar, lebih-lebih lagi sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menekankan mengenai pembangunan modal insan. Selain ibu bapa menjadi pendidik utama, pengasuh juga merupakan tangan pertama yang akan menentukan masa depan kanak-kanak.

Dalam menjalani kehidupan yang semakin mencabar, wanita mempunyai pilihan sama ada mahu mengambil pembantu rumah untuk menguruskan kerja-kerja dalam rumah termasuklah mengasuh anak mereka sepanjang ketiadaan mereka di rumah, ataupun menghantar anak-anak ke pusat jagaan atau taska yang wujud seperti ‘cendawan yang tumbuh selepas hujan’. Kebanyakan wanita ataupun ibu memilih untuk menghantar anak-anak ke pusat jagaan atau taska memandangkan fungsinya yang menjaga dan mendidik anak-anak secara sistematik dan tersusun. Taska juga dikatakan menjadi pusat perkembangan sosial yang baik untuk tahap pertama kepada anak-anak yang berusia 2 bulan hingga 4 tahun.

Tanpa mereka sedari pilihan menghantar anak-anak ke taska atau pusat jagaan boleh mengundang kepada perkara yang tidak diingini apabila taska tersebut bukanlah taska berdaftar. Ini bermakna taska tersebut tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) merupakan suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pengawalan dan pemeriksaan taman asuhan kanak-kanak dan bagi maksud-maksud yang berkaitan dengannya iaitu memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang berusia di bawah 4 tahun yang memerlukan perkhidmatan taska semasa ibu bapa mereka di tempat kerja. Selain itu, akta ini juga mewajibkan pendaftaran taska yang mempunyai lebih daripada 9 orang kanak-kanak di bawah usia 4 tahun. Apa yang penting akta ini digubal untuk memastikan hak kanak-kanak dilindungi, iaitu dari segi perkembangan, kebersihan dan keselamatan.

Amat mengejutkan apabila Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun menyatakan setakat ini hanya 1,896 Taska sah berdaftar manakala yang tidak berdaftar jauh lebih tinggi iaitu 5,688 buah. Bilangan pengasuh tidak berdaftar pula dianggarkan seramai 9,850 orang dan kebanyakan kes kematian atau penderaan kanak-kanak di taska sebelum ini berlaku di pusat yang tidak berdaftar.

Lebih mendukacitakan apabila diketahui sehingga kini 80% taska masih beroperasi secara haram dan gagal mendaftarkan operasi mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Malahan ada pemilik taska yang mengemukakan lesen palsu demi mengaut keuntungan.

Tanpa disedari, kewujudan taska dan pengasuh tidak berdaftar memberi kesan yang besar khususnya kepada taska berdaftar yang lain, masyarakat dan negara. Antaranya persaingan yang tidak sihat dengan pihak yang tidak berdaftar. Keadaan ini boleh berlaku apabila taska atau pengasuh tidak berdaftar menawarkan harga yang lebih murah kepada ibu bapa. Biasanya, ibu bapa yang berpendapatan rendah atau sederhana lebih mengutamakan taska yang boleh memberi nilai kepada tahap kewangan mereka.

Taska berdaftar juga sering terancam dengan kewujudan ‘taska rumah’ yang mengambil kanak-kanak lebih daripada had yang telah ditetapkan, iaitu tidak boleh melebihi 9 orang. Terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab menubuhkan taska dan tadika di bangunan yang sama yang jumlah pelajarnya melebihi had yang telah ditetapkan.

Kepada masyarakat pula, kekesalan pasti timbul apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada anak-anak yang dihantar ke taska tidak berdaftar. Jangan pandang sebelah mata isu-isu yang berkaitan dengan kecederaan dan kematian kanak-kanak akibat kecuaian pengasuh dan taska tidak berdaftar. Walaupun kes yang dilaporkan tidak begitu membimbangkan, perlu diingat, kelewaan dalam memilih taska menyebabkan tumbuhnya lebih banyak taska yang tidak berdaftar sekaligus menyediakan pengasuh dan pengasuhan yang tidak telus serta membahayakan kehidupan dan masa depan kanak-kanak yang bakal mewarisi negara.

Imbas kembali trauma dan penderitaan yang dialami oleh Akmal Haris Shamsul Anuar (Utusan Malaysia, 18 Disember 2006). Kanak-kanak malang ini menjalani hidup yang penuh derita dengan melalui sembilan pembedahan besar, tiga di kepala, tiga bagi membuang kakinya yang gengeran dan tiga pembedahan mata sejak kejadian malang semasa usianya baru mencecah tiga bulan dan kini mencecah usia setahun 6 bulan. Menurut doktor, Akmal mengalami kecederaan bukan disebabkan oleh kecuaian pengasuhnya yang tidak berdaftar, tetapi didera beberapa kali. Walaupun laporan polis telah dibuat, tiada tindakan diambil terhadap taska dan pengasuh yang bertanggungjawab memusnahkan kehidupan kanak-kanak malang ini. Malah menurut ibu Akmal, Rozarina Bukari, 35 tahun, pengasuh tersebut telah membuka dua lagi pusat jagaan yang serupa. Penderitaan yang dialami oleh ibu muda ini bukan sahaja berkisar tentang masa depan anaknya tetapi juga kos merawat Akmal yang semakin meningkat.

Begitu juga nasib yang menimpa beberapa orang bayi akibat kecuaian pengasuh iaitu Hadif Haqimi yang berusia tujuh bulan, yang mengalami keretakan tengkorak akibat terjatuh sewaktu dalam jagaan pengasuhnya (Utusan Malaysia, 16 Februari 2006). Seorang bayi lelaki yang berusia lima bulan meninggal dunia di Gombak kerana mengalami kecederaan yang serius di kepala akibat terjatuh atau terhentak dengan kuat. Di tempat yang sama juga seorang bayi lelaki berusia 9 bulan turut tercedera di kepala dan terdapat kesan lebam dan bengkak di seluruh badannya (Utusan Malaysia, 20 Januari 2005).

Manakala, seorang bayi perempuan berusia 9 bulan meninggal dunia akibat pendarahan di kepala, disyaki didera oleh pengasuhnya di Batu Caves. Selain itu, terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badannya (Utusan Malaysia, 23 Mei 2005). Nasib malang juga menimpa seorang bayi yang berusia 3 bulan di Kuantan. Muhammad Hakimi Zulkifli meninggal akibat tersedak susu sewaktu sedang tidur di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Jalan Penjara (Utusan Malaysia, 1 Januari 2006).

Pengasuh yang tidak bertauliah bukan sahaja membahayakan keselamatan kanak-kanak malah boleh membawa kepada kematian. Sesebuah taska yang telah berdaftar pasti mengambil kira aspek pentauliahan pengasuh dibawah seliaannya. Ini kerana setiap individu yang ingin memilih kerjaya sebagai pengasuh harus mengikuti Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK).

Menurut Norsheila Abdullah lagi, kebanyakan pengasuh memandangkan ringan tentang KAAK. Akta Taska 1984, telah mengiktiraf kerjaya pengasuh dan mana-mana individu yang telah mengikuti dan lulus KAAK, secara tidak langsung telah didaftar sebagai Pengasuh Berdaftar di Malaysia. Kursus ini juga merupakan satu-satunya kursus yang memperoleh sijil terus daripada kementerian.

Walaupun tempoh kursus yang diikuti agak singkat, tetapi ia merangkumi garis panduan yang dapat memberi pendedahan dari aspek menjalankan program sesuai bagi perkembangan menyeluruh kanak-kanak dari segi fizikal, kognitif (minda), bahasa dan sosio-emosi, tidak terkecuali perlesenan dan juga pengurusan. Kelebihannya ialah jika individu itu ingin meningkatkan kerjaya dalam bidang yang sama, mereka boleh meneruskan pula di peringkat diploma. Dengan latihan ini sekurang-kurang mereka boleh mengasuh kanak-kanak dengan sempurna dan memahami tentang perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak di peringkat umur ini.

Dalam menangani isu taska haram yang tiada berkesudahan, kerajaan telah mengambil langkah yang drastik tetapi bijak. Pengawalan terhadap pertumbuhan taska memerlukan kerjasama dan perhatian daripada semua pihak.

Oleh itu, kerajaan sedang berusaha menambah kakitangan bagi penguatkuasaan Rang Undang-undang Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (Pindaan 2006) yang telah diluluskan di Dewan Negara pada tahun 2006. Tenaga kerja tambahan itu diperlukan bagi memastikan semua pengusaha taska mematuhi peraturan ditetapkan dan membolehkan tindakan tegas dikenakan ke atas pengusaha taska haram.
Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, kakitangan itu akan digunakan bagi menjalankan kerja-kerja penguat kuasaan seperti tindakan kompaun, pendakwaan serta penyitaan premis taska yang beroperasi secara haram.

Dalam menangani situasi terdesak ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak ke taska, kerajaan telah memulakan misi nasionalnya melalui penubuhan Taska Komuniti (TASKOM), PERMATA dan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja.

Penubuhan taska komuniti bertujuan meringankan beban keluarga berpendapatan rendah terutama di bandar yang tidak mampu menghantar anak mereka ke taska swasta kerana yurannya tinggi. Peruntukan RM1.9 juta telah diluluskan sebagai
geran membina 10 taska komuniti di lokasi strategik di seluruh negara dengan berteraskan konsep perkongsian bijak antara kerajaan, swasta dan masyarakat. Sebagai bantuan awal, setiap taska komuniti yang ditubuhkan itu diberikan geran pelancaran RM50,000.

Kerajaan juga akan mengehadkan jumlah kanak-kanak di setiap taska komuniti itu kepada 30 orang. Ibu bapa yang berkelayakan juga akan diberi subsidi yuran sebanyak RM 180 sebulan untuk menghantar anak-anak mereka ke TASKOM. Walau bagaimanapun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat diminta bersama-sama bertanggungjawab menguruskan taska komuniti itu bagi membantu menampung sebahagian kos pengurusannya. TASKOM pertama telah beroperasi di Bandar Sri Damansara dengan nama Taska Komuniti Penyayang Bakti yang diuruskan sepenuhnya oleh Persatuan Pengasuh Berdaftar dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kerajaan juga telah memperuntukkan geran sehingga RM 80,000 kepada agensi kerajaan dan swasta untuk membuka pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja. Bertitik tolak dari kesedaran bahawa dewasa kini ramai wanita dan ibu yang bekerja bagi membantu ekonomi keluarga, kerajaan merasakan ini adalah cara yang terbaik bagi menggalakkan wanita untuk terus lebih fokus kepada pekerjaan di samping memastikan anak-anak mendapat penjagaan dan pendidikan awal yang baik.

Cetusan idea dan usaha yang dibuat oleh Datin Seri Rosmah Mansor juga harus dipuji dalam menangani isu gejala sosial dikalangan remaja masa kini sehingga terbinanya pusat jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak Permata. Beliau percaya bahawa masalah sosial yang melanda remaja masa kini berpunca dari pendidikan awal yang diterima semasa kanak-kanak iaitu tempoh umur 0 hingga 6 tahun.

Konsep yang dibawa dalam Permata berbeza dari taska yang sedia ada di Malaysia. 25 orang wanita yang mahir dalam bidang masing-masing seperti pakar kanak-kanak, ahli akademik dan aktivis kemasyarakatan telah dilantik untuk menerajui Permata. Dengan berkonsepkan keseronokan dalam pembelajaran, Permata diharap dapat memenuhi objektif dan tujuannya ditubuhkan.

Dengan bantuan-bantuan dan keprihatinan kerajaan, diharapkan isu taska haram dapat diatasi dengan sistematik dan teratur. Pendekatan ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’ yang kini menjadi trend hukuman di Malaysia tidak perlu dilaksanakan dalam isu taska.

Biarlah peminjam dihukum apabila meminjam dengan Ah Long. Biarlah majikan dihukum akibat jenayah yang dilakukan oleh pekerja asing di bawah seliaanya. Biarlah juga ibu bapa dihukum dek kerana anak yang memandu tanpa lesen ataupun terlibat dengan gejala sosial yang tidak sihat.

Bagaimanapun, jangan sampai ibu bapa dihukum kerana menghantar anak ke taska yang tidak berdaftar. Alasannya, ibu bapa tidak mempunyai banyak pilihan apabila merujuk kepada tanggungjawab memilih taska yang terbaik atas alasan tidak berkemampuan ataupun penipuan yang dilakukan oleh pihak taska. Walau bagaimanapun, usaha kerajaan dalam menghapuskan taska haram telah banyak memberi pendedahan kepada masyarakat supaya berhati-hati dalam memilih taska yang bakal menentukan masa depan anak-anak. Bukankah setiap anak adalah permata, bukan sahaja permata bagi ibu bapa, malah bagi negara untuk jangka masa yang panjang.