Pagi tadi komuter agak sesak. Selalu pun sesak juga tapi tak sesesak pagi ini. Yang menyesakkan mungkin disebabkan oleh dua tiga orang warga Indonesia mahu pulang ke kampung (berdasarkan barang-barang dan kotak-kotak yang menghalang laluan keluar masuk ke dalam komuter). Mewah betul mereka berada di Malaysia.

Di suatu ruang terpandang gelagat pasangan muda, maybe kekasih atau pasangan pengantin baru (walaupun tak nampak inai dan cincin perkahwinannya) sedang lena tidur (kepala si gadis di bahu si lelaki). Sebenarnya tak lena pun, sebab sekejap-sekejap kepala si gadis diangkat melihat keadaan sekeliling walaupun matanya masih ‘stim’ nak tidur.

Di hadapan pasangan tadi pula berdirinya seorang tua yang memegang tiang dan payung sebagai tongkat. Manakala di sebelah orang tua itu pula seorang wanita sedang hamil 7 atau 8 bulan, berdiri dalam keadaan yang amat payah…

Di manakah Psittacula, si bayan yang pandai berbicara waktu itu? di tepi pintu masuk, berdiri dengan mata sibuk menerawang, fikiran kusut menafsir dan jiwa bergelora melihat insiden ‘warga tua, warga hamil dan warga yang sihat walafiat’ di dalam komuter.

Pening memikirkan sivik segelintir manusia…….