APABILA berbicara soal gangsterisme, mat rempit, bohsia, bohjan, dadah, bersekedudukan, berpeleseran, seks rambang, buang anak dan suka berfoya-foya, apakah yang tergambar dalam minda anda? Peristiwa yang berlaku? Kesan daripada peristiwa itu? Atau pelaku kepada peristiwa itu? Persoalan itu mempunyai pelbagai jawapan, bergantung kepada pengalaman, tanggapan dan pemerhatian seseorang terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Seringkali juga kita sebagai manusia biasa di bumi ini, akan mencari kesilapan orang lain, bukannya punca masalah itu timbul. Tidak keterlaluan jika dikatakan, persamaan yang boleh kita perolehi daripada isu-isu yang disenaraikan di atas ialah – pelakunya adalah remaja.Teruk sangatkah generasi remaja hari ini? Benarkah golongan ini benar-benar tidak terkawal? Adakah apa yang ada mereka adalah hampas semata-mata, kosong dan tidak berguna. Hanya tahu menyusahkan keluarga, memalukan bangsa, dan meruntuhkan agama. Wajarkah remaja disamakan seperti tong kosong yang disumbat dengan bermacam-macam jenis sampah dan bahan buangan. Benarkah tanggapan ini yang ingin kita lemparkan kepada mereka?Agak keterlaluan jika masyarakat hanya memandang segala masalah sosial dan kemusnahan budaya dipelopori oleh golongan remaja sedangkan mereka adalah golongan pelapis bangsa dan negara. Mereka masih seperti kain putih. Ibu bapa dan masyarakat masih lagi dipertanggungjawabkan untuk mencorak dan mewarnai kain putih tersebut. Corak apakah yang ingin kita lukiskan, warna apakah yang ingin kita lakarkan? Sudah tentulah corak dan warna itu harus berpaksi kepada agama yang kita junjung, bergantung kepada budaya dan adat yang kita kendong.Bagaimanapun, dalam usaha untuk mencorak dan mewarna peribadi dan jati diri remaja, pelbagai halangan timbul. Halangan itu adalah penerimaan remaja itu sendiri. Mungkin corak yang ingin kita lukiskan tidak sesuai dengan citarasa remaja, atau warna tradisi yang ingin kita lakarkan tidak kena dengan jiwa mereka. Ditambah lagi dengan warna-warna dan corak-corak yang dihidangkan oleh budaya negatif dari luar yang berlumba-lumba untuk menghiasi peribadi dan jiwa remaja kita. Sebagai ‘orang tua’ atau ibu bapa, kita diwajibkan memelihara warna dan corak tradisi yang ingin dilakarkan kepada anak-anak. Kita ajar mereka, didik, dan bimbing mereka sedaya yang kita mampu dan jika boleh sehabis tenaga dan nyawa. Kesungguhan untuk mendidik remaja amat penting kerana mereka adalah pejuang agama dan penyambung budaya bangsa kita. Lebih tepat mereka adalah modal insan yang akan menerajui dan membina sebuah negara maju tanpa mengabaikan nilai agama dan moral.

Saban hari kita mendengar perihal remaja yang terlibat dengan salah laku sosial seperti mat rempit, bohjan, bohsia, lesbian, tomboy, budaya berpasang-pasangan yang keterlaluan dan sebagainya. Malah sejak zaman persekolahan lagi mereka dikenalpasti telah terlibat dengan salah laku dan jenayah seperti ponteng kelas, mencuri, buli, menghisap dadah, merokok dan sebagainya. Bukannya orang dewasa dan orang tua tidak melakukan kesilapan, tetapi kita lebih terdorong memusatkan pandangan kepada remaja. Usia remaja juga dikaitkan dengan ‘kunci kebebasan’. Pada usia inilah remaja diberi peluang untuk memilih jalan kehidupan. Jadi pada waktu ini remaja masih tercari-cari haluan untuk meneruskan kehidupan. Pelbagai perkara baru mahu dicuba, apatah lagi perkara-perkara yang penuh cabaran yang kononnya memberikan satu kepuasan kepada mereka.

Mengapa remaja harus dihukum dengan paparan berita-berita tentang salah laku sosial dan keruntuhan akhlak mereka? Megapa pihak media sama ada media cetak atau eletronik berlumba-lumba mengetengahkan remaja sebagai ‘duri dalam daging’. Mengapa masyarakat menuding jari, mempersalahkan remaja terus-terusan tanpa mengambilkira punca dan jalan penyelesaiannya. Pihak media sebagai orang tengah dalam menangani isu remaja harus memainkan peranan penting. Mendidik dan memimpin remaja untuk berkelakuan yang sepatutnya. Mulakanlah usaha dengan mengetengahkan paparan remaja yang berjaya. Media juga harus berusaha agar isu remaja yang dikupas tidak berat sebelah dan kaji sedalam-dalamnya punca segala masalah yang timbul. Di tengah-tengah kelompok remaja yang bermasalah, terdapat golongan remaja yang berjaya, yang harus diuar-uarkan kejayaannya kepada umum. Paparan mengenai remaja yang berjaya bukan sahaja akan menjadi pendorong, malah menjadi pembimbing kepada remaja yang telah tersasar.

Paparkan kepada remaja tentang kejayaan kawan-kawan mereka seperti Nur Amalina Che Bakri yang diiktiraf sebagai pelajar cemerlang SPM 2004 dengan keputusan 17A1. Nur Amalina yang sentiasa menjadikan guru sebagai rujukan dan dua kali seminggu, dia berjumpa dengan guru-gurunya untuk mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai pelajaran. Nur Amalina ingat setiap mata pelajaran yang diajar dari A sampai Z kerana sikapnya yang suka menambah ilmu pengetahuan termasuk rajin mencari maklumat sampingan dengan melayari internet Sifat ulat buku Nur Amalina adalah antara amalan diterapkan dalam kehidupan untuk meluaskan ilmu pengetahuan dan seterusnya menempa kejayaan dalam SPM. Kini beliau merupakan pelajar A – Level tajaan Bank Negara Malaysia di The Cheltenham Ladies´ College, United Kingdom.

Hebahkan juga kepada remaja di luar sana yang masih kecewa dengan kegagalan semalam supaya bangkit dan berusaha seperti Najmil Faiz Mohamed Aris yang terpilih sebagai antara pelajar Asia paling cemerlang. Kejayaan yang dikecapi Najmil Faiz bukanlah dengan jalan yang mudah. Anak muda yang berasal dari Ipoh, Perak ini mencapai kejayaan setelah ´tersedar´ daripada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan pangkat tiga.

Beliau telah mengorbankan usia muda dan keseronokan demi mencapai kejayaan. Melakukan pelbagai kerja bagi mendapatkan wang perbelanjaan pengajiannya di luar negara. Pada pendapat beliau, sebagai manusia dan orang Melayu, beliau mesti membuktikan keupayaannya biarpun terpaksa merangkak sekalipun. Agenda untuk bangsanya cukup besar. Pendidikan menjadi satu-satunya aset tidak ternilai untuk kejayaan sesebuah bangsa. Beliau tidak boleh terima orang memandang rendah bangsa Melayu dan menganggap Melayu kurang asam, malas berfikir dan tiada daya saing. Inilah cerita mengenai seorang remaja yang pada 14 Mac 2005 yang lalu mencipta sejarah pelajar Malaysia yang pertama diberi penghormatan dan pengiiktirafan untuk membentangkan kajiannya yang berkaitan dengan “teknologi nano” dan “Micro Machine Process” kepada anggota Parlimen United Kingdom di London dan memenangi anugerah “The Best Research of Good Prospect (2005). Najmil Faiz Mohamed Aris adalah contoh intelek muda negara yang mampu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ceritakan kepada generasi kita tentang kisah anak muda kelahiran Pulau Mutiara, Khairil Annas Jusoh, dalam usahanya meniti kejayaan sehingga bergelar usahawan muda, pakar motivasi serta kini menerajui rangkaian firma guamannya sendiri.
Segala yang dikecapi ini, tegas Khairil bukannya setakat menadah tangan ke langit lalu rezeki akan turun, jika tanpa disiplin dan keberanian. Bak kata pepatah, `kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya´. Yang pasti, selain dua kriteria di atas, kejayaan memerlukan kekuatan fizikal, mental dan rohani. Malah, diperkasakan lagi dengan usaha berterusan, keyakinan, kepercayaan, kejujuran, keikhlasan, pengorbanan dan nilai-nilai positif yang lain.
Bongkarkan juga rahsia kejayaan seorang jutawan muda bernama Irfan Khairi yang telah menetapkan halatuju hidupnya sejak berusia 18 tahun lagi. Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Multimedia dari Universiti Staffordshire, United Kingdom (UK) ini mula memegang status jutawan muda sejak tiga tahun lalu. Menarik tentang Irfan ialah beliau bertanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di UK, dinamakan Learning Grid. Pernah mengikuti kursus Ekonomi di Institut Teknologi Mara (kini UiTM), Irfan mengakui ketiadaan minat menyebabkan beliau beralih arah ke bidang multimedia.

Berbekalkan semangat, kreativiti dan komputer ribanya, anak muda pemalu dan suka merendah diri ini akhirnya menemui impian yang dicari-cari – duduk sebaris dengan tokoh jutawan Internet yang lain. Dengan kepakaran yang ada, Irfan kini mendedahkan segala rahsianya menerusi buku bertajuk Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar yang ditulis sendiri, selain sibuk menganjurkan seminar-seminar tentang kejayaannya.
Ketepikan soal gosip, cara berpakaian dan ketrampilan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza atau kini lebih dikenali dengan panggilan Datuk Siti Nurhaliza. Namun gembar-gemburkanlah rahsia kejayaan beliau dalam bidang seni. Beliau juga mengorbankan usia remajanya dengan berusaha mencapai apa yang diimpikannya. Hasil kerja keras sejak 10 tahun lalu, kini Siti Nurhaliza adalah satu-satunya artis yang paling sibuk dengan komitmen kerjayanya. Berbagai-bagai anugerah telah diperolehi sama ada di Malaysia ataupun di luar negara sehingga diabadikan dalam ‘The Malaysia Book of Records sebanyak dua kali kerana berjaya meraih 112 anugerah sepanjang penglibatannya dalam bidang seni dan artis Malaysia pertama membuat persembahan secara solo di Royal Albert Hall London. Tidak begitu berjaya dalam bidang akademik, bukanlah penghalang untuk beliau meraih kejayaan dalam bidang lain yang lebih diminatinya. Malah, disiplin dan kesungguhan yang berterusan menjadikan beliau antara anak muda yang begitu berjaya zaman ini.

Tidak lupa juga kisah seorang pelajar tingkatan empat, Fauziah Abdul Razak. Dia bukan calang-calang remaja. Anak penanam padi dari Sungai Buaya, Seberang Perak, dekat Teluk Intan ini melakukan kejutan apabila mendapat pingat emas acara lari 200 meter wanita pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-11. Fauziah mencatatkan 24.49 saat mengatasi pemenang pingat perak dari Lebanon, Greeta Talaskian (24.65 saat) dan pemenang gangsa Tao Yujia dari China (24.75 saat).

Remaja yang baru berusia 16 tahun ini mencatatkan sejarah memenangi pingat emas pertama kepada Malaysia dalam kejohanan tersebut sejak ia diperkenalkan di Jakarta pada tahun 1984. Meskipun kejohanan itu di peringkat remaja, apa yang dicapai oleh Fauziah adalah kisah kejayaan yang tidak harus ditenggelamkan.
Sebenarnya ramai lagi remaja dan anak muda di luar sana yang berjaya dalam bidang masing-masing seperti akademik, sukan, politik, perniagaan dan sebagainya. Terlalu ramai. Apakah persamaan yang patut kita dedahkan kepada umum? Persamaan antara mereka ialah kejayaan yang dikecapi itu bermula dari usaha yang gigih sejak zaman remaja lagi. Mereka juga menggunakan masa remaja dengan sebaik-baiknya untuk mengaut segala pengalaman dan peluang yang sememangnya ada di hadapan mata. Di sekeliling mereka pula berdirinya ibu bapa, kaum keluarga dan masyarakat yang menyokong serta memberi bantuan kepada mereka sehingga berjaya. Dan yang paling penting, remaja yang berjaya khususnya remaja yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, sudah pasti meletakkan diri dibawah jagaan Allah s.w.t. Oleh itu segala apa yang dilakukan adalah berpaksi kepada agama dan iman di dada.

Advertisements