Bahasa dapat memperlihatkan sikap dan peribadi penuturnya. Bahasa, melalui ungkapan-ungkapan yang dilafazkan juga dapat mempamerkan secara jelas atau tersirat bagaimana penuturnya menilai sesuatu persoalan. Bahasa juga merupakan salah satu cara yang penting untuk sesuatu masyarakat menyalurkan serta mewariskan nilai-nilainya daripada suatu kumpulan kepada kumpulan yang lain dan juga daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Bahasa adalah jiwa bangsa.Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis dialek, loghat, slanga, telor, dan gaya bahasa yang digunakan oleh pelbagai kaum yang mempunyai latar belakang budaya yang berbeza. Oleh itu, tidak mustahil jika sesuatu perkataan mempunyai pelbagai makna dan konotasi, bergantung pada pemikiran dan budaya masyarakat penuturnya. Bagaimanapun, segala perbezaan luaran yang melingkungi dunia bahasa tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk manusia sentiasa menggunakan perkataan yang baik dan mempunyai kesan yang positif pada perlakuan, minda, dan rohani.Apabila anda menaiki kenderaan awam untuk ke mana-mana, anda pasti akan bertemu dengan pelbagai jenis manusia yang menggunakan pelbagai jenis gaya bahasa. Dengan mudah juga anda dapat menilai bagaimanakah peribadi penuturnya. Sebagai contoh, seorang wanita yang lengkap berpakaian sebagai seorang Muslimah sedang duduk di sebuah kerusi panjang sambil melayan anaknya yang leka menikmati aiskrim. Pemandangan ini sudah tentu menyejukkan mata anda yang memandangnya. Sudah pasti si ibu merupakan ibu yang mithali dan penuh dengan kasih sayang.Bagaimanapun, persepsi anda akan berubah apabila anda dihidangkan dengan peristiwa selanjutnya. Aiskrim di tangan anak mula mencair dan menitis ke bajunya. Si anak mula tidak selesa dan cuba memberitahu ibunya. Tiba-tiba si ibu melenting dan berkata, ”isy, apa kena dengan kamu ni, makanlah elok-elok, kan dah kotor baju tu, penat la ibu nak membasuhnya. Lain kali kalau tak reti makan, jangan makan aiskrim ni, tahu tak?” sambil membebel, tangan si ibu pantas mencubit paha dan lengan anaknya. Si anak menjerit dan menangis dengan kuat. Tangan ibu bertambah pantas ‘berjalan’ pada lengan anaknya.Peristiwa di atas memberi contoh bahawa bahasa yang kasar sering digunakan oleh sesiapa sahaja kerana ia melibatkan perasaan dan fikiran yang seringkali juga dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu. Kadangkala fizikal luaran seseorang individu tidak semestinya melambangkan peribadinya. Untuk mengubah penampilan luaran memang mudah, namun untuk membentuk peribadi dan perlakuan individu memerlukan kesungguhan dan kesedaran dari hati yang bersih dan akal yang waras. Bayangkan peristiwa tersebut dengan situasi yang berlainan pula. Si anak menumpahkan aiskrim pada bajunya, maka si ibu yang mempunyai peribadi yang mulia dan penuh kasih sayang sudah pasti akan menegur anak dengan perkataan yang baik. Sebagai contoh, “ala…aiskrim dah cair, jadi kamu kena habiskan aiskrim ni cepat supaya tak meleleh dengan banyak di atas baju kamu. Kasihan ibu, penat basuh baju kamu nanti,” dan situasi berikutnya, si anak dengan senang hati akan menerima nasihat ibunya serta belajar sifat yang mulia daripada ibunya yang penuh kasih sayang. Fikiran anak yang masih kecil juga akan cepat menyerap perkataan-perkataan baik dan halus yang dituturkan oleh ibunya berbanding perkataan-perkataan yang kasar.

Jika kita meneliti keadaan sekeling dalam masyarakat hari ini, jarang kita temui individu yang menuturkan perkataan yang baik. Ini tidak bermakna bahawa masyarakat hari ini kebanyakannya tidak baik, namun harus direnungi bahawa peribadi yang baik tidak mungkin menggunakan perkataan yang tidak baik, kerana perkataan yang dituturkan adalah ‘cermin’ diri penuturnya yang sebenar. Semua ini berkaitan dengan budaya dan pegangan agama seseorang. Inilah ‘teori’ bahasa dan rohani yang perlu anda renungi.

Cuba anda mengambil beberapa waktu untuk mencuba teori di atas. Praktikkan dari pagi hingga ke tengah hari menggunakan perkataan dan bahasa yang kesat dan kasar. Mungkin juga anda boleh memarahi rakan sekerja yang membuka komputer anda tanpa keizinan anda. Gunakanlah kata-kata seperti; “boleh tak jangan sesuka hati buka komputer orang lain?” atau, “aku pantang betul la kalau orang sibuk selongkar komputer aku ni.” Apa agaknya akan berlaku selepas itu dan sepanjang pagi itu? Selain daripada bergaduh dengan rakan sekerja tersebut, anda juga akan mengalami situasi kemurungan dan kemarahan yang berpanjangan. Segala apa yang dilakukan juga serba tak kena kerana perkataan yang anda keluarkan bukan sahaja menyakiti hati orang lain, malah ‘memanaskan’ hati anda sendiri. Sudah tentu juga anda akan dilabel sebagai rakan yang tidak boleh bertolak ansur, pemarah, dan sombong.

Anda cuba pula teori di atas pada sebelah petang dengan penggunaan perkataan yang baik. Mungkin juga anda boleh meminta maaf dengan rakan anda tadi. Apakah reaksinya? Sudah pastilah label-label yang diberikan kepada anda pagi tadi ditarik balik dan persepsi rakan anda kepada anda bertambah baik. Hati anda juga akan cepat ‘sejuk’ serta keadaan bertukar menjadi lebih baik dan selesa untuk anda meneruskan kerja dan rutin harian.

Banyak lagi peristiwa atau situasi yang berlaku di sekitar anda yang boleh berubah kesan dan hasilnya, akibat daripada penggunaan bahasa dan perkataan yang dituturkan. Seringkali juga perkataan yang dituturkan memberi impak kepada orang lain yang mungkin mempunyai hubungkait dengan diri penuturnya. Sebagai contoh, jika anda menuturkan perkataan dan bahasa yang kesat dan kasar sehingga meminggirkan kesopanan dan budaya masyarakat yang sepatutnya, sudah pastilah orang yang mendengar akan mempersoalkan beberapa perkara yang tak perlu dijawab. Seperti, “anak siapa tu?” (menyalahkan ibu bapa anda kerana gagal menerapkan nilai sosial yang baik kepada anda), “budak mana tu?” (menyalahkan negeri asal anda atau tempat tinggal anda yang mungkin mempengaruhi perlakuan anda) atau, “di mana agaknya dia belajar?” (menyalahkan guru dan sekolah anda dahulu kerana gagal mendidik anda) ataupun, “dia kerja kat mana?” (menyalahkan syarikat atau tempat anda bekerja).

Oleh itu, sanggupkah anda mendengar ibu bapa, tempat tinggal (atau negeri anda dilahirkan) dan tempat anda menimba ilmu diperlekehkan oleh orang lain hanya kerana perkataan yang anda tuturkan? Ingatlah, ke mana sahaja anda pergi dan di mana sahaja anda berada, anda bukan sahaja membawa diri anda tetapi nama ibu bapa, syarikat, sekolah atau universiti malah lebih penting anda membawa sekali agama dan budaya yang anda anuti. Betapa berdosanya anda jika orang lain dipersalahkan di atas kecuaian dan kelewaan anda berbahasa.

Memang benar pepatah Inggeris mengatakan “don’t judge the book by it’s cover”. Ini bermakna anda tidak boleh menilai seseorang hanya berdasarkan perkataan dan bahasa yang digunakan. Malah tidak semestinya orang yang menggunakan bahasa yang baik, maka baiklah peribadinya. Bagaimanapun, selalunya apa yang ada pada diri anda, itulah anda yang sebenarnya. Seperti pepatah Melayu yang mengatakan “Bagaimana acuan begitulah kuihnya”, “Bagaimana gendang begitulah tarinya”. Sudah tentulah pepatah ini mengatakan bagaimana anda berbicara dan berkelakuan, begitulah peribadi anda.

Alangkah baiknya jika anda mendidik bibir dan minda agar sentiasa mengeluarkan dan menuturkan perkataan-perkataan yang baik. Secara langsung, bahasa yang baik yang sering diterapkan dalam perbualan seharian akan mendidik jiwa dan rohani anda ke arah kebaikan. Malah, memang jelas, bahasa yang kita gunakan memberi pengaruh terhadap apa yang bakal berlaku seterusnya. Jagalah lisan anda agar tidak terlanjur mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakiti hati orang lain dan menjatuhkan maruah anda sebagai seorang manusia yang bertamadun. Pepatah Melayu juga ada mengingatkan bahawa “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Jangan kerana anda yang tidak menitikberatkan soal penggunaan bahasa, orang lain yang menjadi mangsa.

Jika diteliti, bukan bahasa dan tutur kata sahaja yang menggambarkan peribadi sesuatu bangsa. Malah cara kita berpakaian, berfikir, dan juga cara kita berkelakuan dalam masyarakat mempunyai kesan dan impak yang berbeza. Oleh itu, selarikanlah peribadi dan kerohanian anda melalui cara anda berbahasa, berpakaian, berfikir, dan juga bersosial tidak kira siapa pun anda, taraf pendidikan dan kekayaan anda serta agama serta adat budaya yang anda junjung.