Seorang manusia boleh diumpamakan seperti sepohon pokok. Dari benih, ia bercambah menjadi tunas yang lembut yang boleh dibentuk dan cantik untuk dipandang. Apabila semakin besar, daun yang menghijau dan rendang serta pucuk daun yang segar kadangkala boleh menjadi tempat berteduh dari pancaran terik sang suria bagi manusia dan binatang. Seterusnya batang dan ranting yang kukuh dan mantap menjadi tempat bermain sang tupai, monyet dan juga binatang-binatang kecil yang lain. Juga menjadi tempat bagi manusia merehatkan badan dengan bersandar pada batangnya. Perdu akar yang berselirat dan mencengkam bumi pula menjadi alas untuk manusia merehatkan kepala. Manakala bunga-bunga yang memutik menjadi perhiasan alam paling indah dan sumber madu bagi sang lebah. Buah-buah yang masak meranum pula menjadi bekal dan sumber makanan bagi manusia dan juga binatang. Betapa sang pokok begitu bermakna dan berguna dari hujung akar hingga ke hujung pucuk daun yang muda.

Bagaimanapun, apa yang berlaku apabila ia semakin tua? Daun-daun semakin mengering dan kontang sehingga mudah terlerai dari ranting-rantingnya. Gugur satu persatu dan menjadi sampah yang berterbangan ke mana-mana. Jika tidak melayang pun, daun-daun itu pasti mereput dan akhirnya hancur di atas bumi. Batang dan rantingnya yang kering mungkin berguna untuk dijadikan kayu api. Bagaimanapun, ada juga daun-daun kering yang masih boleh diguna semula untuk dijadikan perhiasan.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah tergolong dalam kategori daun yang kering melayang ataupun daun yang boleh digunakan semula dan disimpan selama-lamanya? Jadilah warga tua yang berguna dan ‘berisi’, kerana ‘isi’ tersebut boleh dikongsi bersama generasi muda untuk mereka meneruskan hidup. Janganlah jadi warga tua yang mensia-siakan hari-hari terakhirnya. Seperti pepatah lama “Bak keris tersisip di dinding, bak pedang tajam tersarung”. Bukankah ‘manusia mati meninggalkan nama’?. Sebaiknya tinggalkanlah nama yang baik demi keturunan kita. Bagi warga emas yang beragama Islam, yang telah melakukan jenayah tidak kira kecil atau besar, masih sempat untuk anda bertaubat.

Daripada Abu Musa Abdullah Bin Qais al-Asy´ari r.a., Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Taala membuka tangan-Nya (meluaskan rahmat-Nya) pada waktu malam untuk menerima taubat orang-orang yang membuat kesalahan pada waktu siang dan juga membuka tangan-Nya pada waktu siang untuk menerima taubat orang-orang yang berbuat kesalahan pada waktu malam. Demikian adalah terus-menerus sehingga terbit matahari dari arah barat (hampir kiamat), setelah itu tidak diterima lagi taubat sesiapa.” (Riwayat Muslim)

Advertisements