Berbual-bual santai dengan seorang rakan yang juga minat membaca tetapi tidak minat menulis, memberi input yang pelbagai dalam perbualan kami.

Dia, sangat meminati buku. Banyak buku-buku yang baik disimpan dengan baik dan dibaca dengan baik. Namun, dia hanya simpan kebaikan buku itu untuk hidupnya. Simpan untuk perjalanan hidupnya. Cuma sekali-sekala apabila bercerita tentang sesuatu, dia akan mengaitkan dengan kisah buku dan isi kandungannya.

Kerana itu, apabila saya bercerita tentang dua buah novel yang baru saya sudahi ini, dia diam dan memandang saya.

Katanya, “saya sudah menghadam buku pertama itu dua tahun sudah. Dan yang kedua itu pula baru seminggu lepas saya nikmati.”

“Ceritanya ada seperti apa yang ingin awak tulis bukan? Awak terlambat.”

Sambung dia sambil membelek-belek dua buah novel saya yang berbalut kemas.

KOMA

b-2

Mencari Locus Standi [MLS] dan Lentera Mustika [LM].

Itulah dua buah novel yang saya maksudkan.

Mencari Locus Standi mengisahkan perjalanan hidup seorang remaja yang bernama Eliza Jasmin (E-Jay). Rutin hariannya bergelut dengan tugasan dan tanggungjawab sebagai seorang pelajar undang-undang.

Menjalari cerita dengan pelbagai konflik dan penyelesaian yang ranum, membuatkan novel ini memang wajar dinobat sebagai pemenang bagi Hadiah Sastera Karya Utusan 2003 [HSKU] kategori Novel Remaja.

E-jay digambarkan dengan teliti oleh penulis melalui fizikalnya, cara berpakaian, cara berfikir, cara menangani konflik dan emosi ketika menghadapi saat-saat  tertentu, menghasilkan citra seorang remaja yang boleh dijadikan contoh dan model remaja yang cemerlang di dalam akademik juga luar akademik.

Ketegasan beliau dalam mempertahankan pendirian, kesungguhan dalam mencapai impian dan sifat rendah diri serta berhati-hati dalam setiap patah bicara dan gerak laku juga boleh dijadikan contoh kepada remaja masa kini.

Betapa apa yang mahu disampaikan oleh penulis sebenarnya adalah hal-hal yang biasa-biasa. Hal yang biasa berlaku kepada golongan remaja – konflik. Bezanya, penulis berjaya melahirkan figura seorang remaja yang bernas melalui watak E-Jay.

Membaca MLS selepas membaca LM merupakan satu perjalanan yang panjang buat saya kerana MLS punya konflik yang lebih banyak dan mengandung pelbagai emosi berbanding LM. Mungkin juga kerana novel LM terhasil melalui novel bersiri yang disiarkan secara bulanan di majalah Aniqah, makanya ia nampak lebih mendatar.

DSC_0273-2

Walaupun saya beranggapan LM agak mendatar, isinya tetap padat dengn visi dan hasrat penulis.

Kisah LM hanya sempat saya ikuti melalui satu episod sahaja kerana saya tidak berapa gemar membaca novel bersiri yang disiarkan di majalah atas faktor ‘kurang sabar’ dengan babak seterusnya.

Membaca babak-babak awal LM membuatkan saya agak tidak senang duduk. Walaupun telah diingatkan oleh penulis bahawa segala babak dan jalan cerita tiada berkaitan dengan yang hidup atau mati, saya masih juga merasakan yang ‘kimia’ antara saya dengan novel itu sangat dekat.

LM mengisahkan Ainur Mustika secara peribadi. Ainur Mustika hadir dalam MLS sebagai Ibu Mustika, ibu tiri kepada E-Jay.

Perjalanan kerjaya Profesor Dr. Ainur Mustika sebagai pensyarah dari Fakulti Persuratan Melayu UKM yang berusaha memartabatkan Puisi Melayu Tradisional seperti pantun, nazam, gurindam, syair dan sebagainya. Saya tidak terhairankan dengan kisah cinta bersegi-segi yang hadir di awal bab. Kehadiran Rozario dan Zul Farhan. Juga jejaka seberang Syed Amirul Hakim yang kehadirannya ditandai dengan sebentuk cincin di jari Ainur Mustika. Cincin yang bukan apa-apa, dan bukan menandakan dia dimiliki oleh siapa-siapa. Namun, cincin itu tetap punya lambang rasa buat Ainur Mustika.

Mempelbagaikan isu di dalam LM, penulis berjaya menyatukan dua bidang yang berbeza dalam satu aliran perjalanan yang manis. Penulis juga berjaya memberitahu pembaca bahawa setiap bidang ilmu mempunyai kesinambungan dengan bidang yang lain. Tidak mustahil dalam hal ini, penulis menggerakkan perjuangannya terhadap khazanah persuratan Melayu tradisional dengan begitu teliti serta melebarkan sayap pengetahuan pembaca dengan undang-undang yang melingkungi setiap perkara dalam kehidupan manusia.

Bukan sahaja hal persuratan Melayu menjadi intipati yang kuat dalam novel ini, malah persoalan undang-undang yang dianggap leceh dan merumitkan dapat dicerahkan dengan bahasa yang mudah difahami. Satu usaha yang baik untuk mengahwinkan undang-undang dengan masyarakat kelas menengah.

Sebenarnya, saya tidak menduga yang Ainur Mustika akan memilih Emir Johan. Namun, itulah yang dicaturkan oleh penulis. Saya tidak nampak cerita yang besar di sebalik pemilihan Emir Johan sebagai teman hidup Ainur Mustika. Ia sekadar pemilihan berdasarkan keyakinan hati kepada Tuhan bahawa itulah jodohnya. Satu kisah percintaan yang sederhana, namun mengundang emosi di babak-babak akhir.

Dan memang benar pendapat ramai pembaca LM bahawa novel ini akan ada sambungannya. Saya harap itu.

Walaupun ada perkaitan antara LM dan MLS, kedua-dua novel ini tetap berjalan atas landasnya sendiri. Ada cerita yang berbeza laluannya walaupun wataknya hadir di kedua-dua buah novel. LM tentang Ainur Mustika manakala MLS pula tentang Eliza Jasmin.

Mendapat tahu daripada penulis bahawa penjualan buku MLS biasa-biasa sahaja kerana kurang promosi daripada penerbit, ia tidak menghairankan saya. Saya membeli MLS bukan kerana promosi. Ia hadir sendiri. Walaupun MLS sudah berada lama di pasaran [2003],  tiada kerugian jika ingin memilikinya dan saya ingin menyarankan novel yang bagus dan membina ini untuk remaja dan pelajar  sedari sekolah apatah lagi universiti.

Mahu tahu tentang Persuratan Melayu Tradisional? Sila baca kedua-dua novel ini.

Mahu tahu tentang adat dan budaya yang manis? Undang-undang? Cinta? Persahabatan? Nilai murni? Bacalah LM dan MLS. Semuanya tercerna dengan baik di dalamnya.

Lama atau baharu sesuatu novel bukanlah apa-apa. Paling penting, ilmu yang terkandung di dalamnya. Itu pegangan saya. Dan saya bangga kerana memiliki novel-novel ini dan mampu menyudahkannya dengan baik.

KOMA

“Mahu bercerita tentang sebuah novel tanpa menunjukkan ianya sebuah ulasan. Dan berharap ia tidak dilihat sebagai sebuah ulasan yang perlu dipegang sebagai kepercayaan. Cukup sekadar memahami ulasan itu adalah pendapat peribadi penulis. Bolehkah begitu?”

Itulah status FB saya hari ini dan entri inilah hasil cubaan saya. Agak semak, namun saya akan belajar mengulas dengan lebih baik lagi nanti.

Ulasan lebih baik :

Annyss

Rebecca Ilham

MLS

ayam2

Buah mengkudu kusangka kandis,
Kandis terletak di dalam puan;
Gula madu kusangka manis,
manis lagi senyuman tuan.

“Kenapa awak suka saya?” tanya gadis.

“Entahlah, susah nak cakap sebab semua yang ada pada awak saya suka,” jawab jejaka.

“Cheh, manisnya,”

KOMA

Saya syak, lelaki dibekalkan dengan ladang tebu yang disembunyikan di tepi bibirnya!

*Edisi lelaki akan berhenti setakat ini. Saya tidak mahu dilihat sebagai anti lelaki. Terima kasih atas komen dan pandangan. Bermakna untuk kajian saya.

ayam1

Apa diharap padi seberang,
Entah berderai entahkan tidak,
Entah dimakan pipit melayang;
Apa diharap kekasih orang,
Entah bercerai entah tidak,
Entah makin bertambah sayang.

“Kenapa awak mahu berkahwin lagi satu?”

“Saya mahu menurut sunnah Rasulullah. Lagipun saya mampu dan yakin boleh membahagiakan isteri-isteri saya. Lagipun isteri pertama saya…bla…bla…bla…”

KOMA

Saya syak gen Adam telah dibekalkan dengan ilmu ’1001 alasan’ sejak mereka lahir ke dunia.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,982 other followers