Perkara pertama yang terlintas ketika saya membaca kisah Kartini semasa sekolah dahulu ialah watak atau karikatur Kartini sangat cantik. Sempurna.

Perkara yang selalu saya buat tentang Kartini ialah bentuk huruf dan tulisan KARTINI itu sangat comel dan saya selalu menggunakan gaya tulisan yang sama untuk kerja-kerja seni saya seperti membuat kad ucapan buat kawan-kawan, menghiasi kulit depan kertas kerja saya dan sebagainya.

Perkara yang paling saya ingat tentang cerita Kartini ialah kata-kata keramat ‘tapi, apa yang paling kita nak, itulah yang takkan kita dapat’.

Sudah lama tidak menguliti ilustrasi kartunis Tembakau dan siri Kartini yang saya tinggalkan setakat babak cinta Yon yang tidak kesampaian pada Kartini.

Dan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010, saya temui siri Kartini yang telah dibukukan di bawah Komik-M, PTS.

KOMA

Kartini merupakan kisah cinta zaman persekolahan. Mengapa siri ini begitu popular? Adakah ia hadir pada waktu yang tepat di kala itu tiada siri kartun yang memaparkan zaman persekolahan dan konflik cinta? Saya tidak pasti kerana waktu itu saya tidak banyak membaca.

Pada pendapat saya, siri ini popular sejajar dengan popularnya majalah Ujang dan Lanun ketika itu.

Ia tentang cinta. Mungkin cinta pandang pertama. Cinta yang masih mengkal. Berdasarkan rasa semata-mata. Kebodohan. kebijaksanaan. Persepsi tentang orang lain. Tindakan terhadap apa yang berlaku. Seakhirnya, cinta memberi banyak pengalaman.

Saya akui, kerana cerita Kartini, saya membina persepsi tentang cinta semasa zaman persekolahan. Berangan dan tersenyum. Sakit kerana cinta tidak berbalas dan bahagia apabila si dia hadir di depan mata.

Kisah Kartini, kisah cinta yang biasa-biasa tetapi dihadirkan dalam bentuk komik yang lebih mudah difahami.

Kisah Yon yang merupakan seorang pelajar seni yang tidak pintar berhubungan perasaan dengan Kartini, pelajar junior yang cantik dan bijak. Yon mendamba cinta dan mengekspresi makna cinta dalam hubungannya dengan Kartini. Manakala, Kartini pula mentafsir silaturrahim itu sebagai kawan yang istimewa.

Ini adalah konsep biasa yang dilalui oleh setiap manusia yang mula menyukai pasangan berlainan gender.

Tembakau mentafsir konsep cinta dan kawan dengan jelas dalam komik ini.

Ilustrasi Yon marah dan kecewa dengan menumbuk cermin, dinding dan membelasah orang lain memang akan berlaku jika cinta menguasai diri.

Kartini pula, yang berperilaku sedemikian iaitu tidak menyatakan rasa hati kepada Yon, mungkinkah menjelaskan konsep kawan yang didukungnya sehingga tidak mahu melukakan hati kawannya itu.

Sejujurnya, komik Kartini ini kisah sedih. Kisah cinta yang menjadikan manusia tidak faham akan dirinya. Saya sebetulnya tidak suka pengakhiran yang menyedihkan. Ia akan memberi kesan negatif dalam diri jika tidak disertai redha dan akal yang panjang berfikir.

Kisah kartini sebetulnya belum berakhir. ‘Kartini Kembali’ khabarnya adalah kesinambungan kisah Kartini. Namun, komik Kartini Kembali tidak saya temui di gerai PTS semasa berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Saya akan mencari sambungan kisah Kartini bagi menghuraikan apakah kesudahan kisah Yon dan Kartini.

KOMA

Benarkah apa yang paling kita mahu, itulah yang takkan kita dapat?

Ada sisi yang jawapannya, ya.

Ada sisi yang jawapannya, tidak.

Ini buku ketiga yang saya ulas.

P.s : Ada seorang kakak senior semasa saya sekolah menengah dahulu yang wajahnya mirip kartini dan nama kakak tersebut juga Kartini. Misteri yang saya tidak tahu ada kaitannya dengan komik Kartini atau tidak.