chaos

Tidur saya jarang bermimpi. Sama ada terlalu penat dan juga tidak terlalu penat.

Malam tadi saya bermimpi tentang kamera yang tidak saya sayangi sejak akhir-akhir ini.

Saya mimpi, kamera itu tidak berfungsi langsung ketika suatu acara yang maha penting sedang berlangsung. Hanya saya jurukamera yang ditugaskan. Tiada satupun gambar yang dapat saya rakam.

Saya mimpi itu. Mimpi sesuatu yang diperlukan, tidak berfungsi ketika diperlukan.

Dan mimpi itu benar-benar menakutkan saya.

KOMA

Saya kira mimpi itu ada kaitan dengan Ita. Tetapi bila difikir-fikir apa kaitan kamera yang ‘mogok’ dengan Ita yang sedang demam teruk tetapi masih mampu menyakiti hati saya sebagai kakaknya?

Ita, kakak tidak akan minta kamu pilih antara kakak atau kawan-kawan kamu yang juga sama tidak menghormati kakak.

Terima kasih!

biru1

Langit di Kedah dengan menggunakan kamera Canon

“Siapa kata biru langit hanya boleh diraih melalui kamera Nikon?” tanya seorang teman yang memang ‘sifu’ dalam hal kamera dan fotografi.

“Err…” sambut saya dalam gamam.

KOMA

Belajar, mungkin banyak lagi yang kamu akan peroleh. Tahu ilmu dan amalkan. Itu satu pakej yang dituntut dalam Islam.

biru11Gambar ini diambil ketika berada di Pulau Besar, Melaka. Sangat terik. Pertama kali menggunakan CPL Filter dan ia GAGAL. Masih belajar.

biru2

Apa kata awan mengenai Nikon?

biru3Langit biru dengan Nikon, tanpa CPL filter.

Banyak perkara sebenarnya yang saya tidak belajar tetapi bertindak seolah-olah tahu tentang hal itu. Malahan, ada juga perkara yang tidak saya teroka, tetapi sebenarnya perkara itu tidak seteruk yang saya dakwa. Contohnya, saya katakan kamera Canon sangat payah untuk dikendalikan.

Ya, payah kerana saya tidak mencuba.
Err…tetapi, kamera Canon tidaklah ‘seteruk’ yang disangka.

Lihat, dengan Canon, langit biru tetap biru.

Itu hal yang saya cuba dan ia satu cubaan yang memberi manfaat.

KOMA

“Kita cuba…” katanya ketika langit bukan biru.
“Ini bukan masa untuk mencuba cinta,” jawab saya.

getimageaxdThis wonderful shot captures the movement of the children and water skillfully. The composition and colour palette is effective, and there’s an endearingly magical and joyful element that’s refreshing to witness.” (Judge’s comments)

Ini bukan gambar yang saya ambil. Ini gambar Tan Choon Wee, yang diangkat sebagai pemenang keseluruhan pertandingan Photographer Of The Year 2008 anjuran Digital Camera Magazine.

Kata pemenang ini ;

I’m a 57-year-old seasoned traveller from Singapore. I’ve been engaged with photography seriously for 25 years – it not only interests me, but it’s also my joy and passion, and I believe that if you feel it, you see it.

Gambar yang saya hantar, entah mana mereka campakkan. Memang wajar dicampak. Mungkin.

KOMA

Semasa saya mengikuti Kursus Fotografi Digital di Marang anjuran Angkatan Senifoto Selangor (ASFONS) tahun sudah, sebenarnya banyak perkara yang saya pelajari walaupun diri dibawa ke sana dengan hati yang separuh mati.

Gambar mewakili pelbagai cerita. Ambil gambar dengan jiwa. Ini salah satu ciri gambar yang baik selain aspek teknikal yang lain.

Ada satu gambar, yang dipuji fasilitator, katanya gambar itu boleh digunakan sebagai poster melawat negeri Terengganu. Bukan gambar penyu. Bukan gambar laut atau pulau. Bukan gambar keindahan alam.

Ia merupakan gambar anak-anak yang sedang mandi [ada yang berbogel] di tepian pantai, dalam keadaan yang sangat gembira. Anak-anak kampung itu, wajah yang jujur dan hati yang bersih, beri cerita yang besar kepada kami.

Dari situ, saya berlapar dan membutakan mata untuk yang lain-lain demi sebuah DSLR.

Nikon D80 ada dalam genggaman akhirnya. Tetapi mana cerita saya? Apa cerita yang saya rakam dan sebar melalui gambar-gambar yang saya ambil?

Hujah bela diri – Ini gambar saya. Kamu tidak faham cerita di sebaliknya? Tidak mengapa, biar saya sahaja yang mengerti dan faham.

KOMA

Dengan gambar kita memberi cerita. Ikut persepsi kamu cerita bagaimana mahu dilakar.

Dengan muzik atau apa jua bentuk seni, kita menyebar cerita. Terpulang kamu cerita bagaimana yang mahu dilagukan dan yang mahu kamu dengar.

Dengan tulisan kita berkongsi cerita. Tanya akal kamu, cerita itu untuk suka-suka atau untuk dihadam, menambah rencah hidup.

Dengan apa sahaja kamu akan bercerita dan memperoleh cerita. Buka panca yang lima itu. Tambah satu, akal dan iman.

Raih dan belajar cerita dari alam. Kamu tidak akan menyesali hidup.

lampu

“Gambar di dalam dewan semua gagal. Flash sekejap boleh, sekejap tidak boleh,” kata saya kepada seorang teman.

“Kenapa tidak pakai flash saya?” jawab dia.

“Saya lupa awak ada flash.”

Tapi sebenarnya jawapan itu bukan betul. Sebenarnya, saya fikir apa yang saya ada sudah cukup. Tidak perlukan bantuan sesiapa.

KOMA

Kadangkala bila kita merasa diri kita sudah lengkap serba serbi, kita akan lupakan kawan-kawan.

Padahal, apa yang melengkapi diri kita sebenarnya belum cukup.

Kerana itu Tuhan mencipta kita dengan pelbagai-bagai agama dan bangsa, kaya dan miskin, hitam dan putih. Untuk saling melengkapi.

Seperti juga malam dan siang, terang dan gelap.

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

[petikan sajak Melayu oleh Usman Awang]

Terima kasih kawan kerana menyusahkan saya dengan tidak memulangkan barang yang kamu pinjam sehingga saya ‘merempat’ meminjam barang yang sama dengan orang lain.

TERIMA KASIH!

copy-of-ila-332.jpg

Apa pilihan mereka?

Jangan masuk rumah dengan kepala yang masih serabut memikirkan pilihan apakah yang tepat.

Ini bukan kisah sukar memilih jejaka yang mana satu.

Semalam hari yang cacamerba buat saya. Matahari berada tepat 90 darjah paras mata saya. Cahayanya pecah. Tahulah saya bahawa saya lewat ke pejabat. 1 minit yang bakal menentukan biru atau merah. Dan saya terpilih sebagai biru.

Sedari pagi cuba melangsaikan berita yang sepatutnya dibuat hari sebelumnya. Alhamdulillah. Selesai.

Namun pilihan yang tiba-tiba menjelma menjadi hukuman yang paling berat buat saya. Saya tidak suka pilihan, namun Tuhan beri. Saya tahu Tuhan mahu mengajar saya untuk berfikir lebih banyak, lebih rasional dan lebih baik.

Untuk encik SABTU, saya perlu tentukan aktiviti apakah yang akan saya lakukan bersama anda.

Perkara satu.

Peperiksaan Khas memasuki perkhidmatan Awam gred 41 Tahun 2008.

Perkara dua.

Pesta Buku Antabangsa yang menjanjikan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik. Saya teruja.

Perkara tiga.

Kelas memandu dan Kelas Bahasa Isyarat.

Dan ketiga-tiga perkara ini telah digaul di dalam sebuah bekas yang dinamakan Baca Naskah Klasik!

Saya pulang ke rumah dengan titik-titik air dan hembusan api yang membuatkan perasaan menjadi ais kepal.

Sampai di Damai. Nikon D80, beg duit, beg kecil yang terisi alat solek, buku nota dan pen, telefon bimbit, kipas tangan, minyak wangi roll-on, novel Laskar pelangi.

Semua ada kecuali KUNCI RUMAH.

Dan saya terpaksa set suara menjadi manja, menelefon jejaka itu,

sayang awak, kunci rumah tertinggal di pejabat”

*Terima kasih jejaka-jejaka (itu, tamak, malar segar dan penghembus api), di atas nasihat yang sedikit sebanyak membantu saya.

ila-526.jpg
Di mana kamu? 
ila-524.jpg
Saya di sini. Mencari Macro lens.

dsc_0274.jpg

Saya tahu gambar yang saya ambil tidak cantik!

Jadi jangan beri komen memuji yang mengatakan gambar yang saya ambil itu cantik-cantik belaka. Saya perlukan kejujuran, tapi entah kenapa, kawan baik saya, cik sensitif sangat benci kejujuran.

Bila kejujuran datang, cik sensitif akan berlari senyap-senyap. Duduk berteleku di dasar hati dan tak mahu mendengar dengan baik apa yang cik jujur sampaikan.

Saya tidak faham! Adakah cik sensitif memang dilahirkan untuk seorang wanita. Macam saya?

Mana perginya akal yang sihat waktu itu? Oh, dia ada kerja lain yang lebih penting. Jika cik akal ada, dia akan cakap begini;

“Ala, kamera kamu, suka hati kamu la nak ambil gambar yang bagaimana. Jiwa kamu dan orang lain berbeza. Jadi jika orang lain tidak suka dengan gambar yang kamu ambil, kamu abaikan sahaja. Asalkan kamu suka gambar itu. Asalkan kamu tahu cerita di sebalik gambar itu. Cukup bukan?”

“Saya dah cakap, saya tak boleh masuk kelab S, awak tak percaya. Tengok ni, kelakar je. Macam sarung nangka”

Semalam, penat masih berbaki. Sambutan Majlis Maulidur Rasul di Bukit Jalil begitu meriah, warna warni dan semangat perpaduan Islam terpamer dengan baik.

collage3.jpg

Warna warni baju pasukan perarakan masih berbingkai dalam imaginasi optik saya. Sebelum semalam, jika ada sesiapa yang masih pening memikirkan warna tema pakaian hari raya tahun ini, semalam adalah penyelesaiannya. Pilihlah warna yang anda suka.

Selepas berjalan sambil mengambil gambar sekitar 3 km, saya bertemujanji dengan cik madu. Sempat melawat kediaman lebah yang bermadu ini. Rumah dia sangat cantik dan kemas [bukan berbentuk heksagon]. Dan kemudian kami mengembara ke suatu daerah yang dinamakan Jusco. Kasihan dia, melayan karenah saya hampir 4 jam. Terima kasih madu (ku). Ha ha ha..

Sehingga semalam, saya tahu madu tak percaya yang saya tak boleh masuk kelab S. Saya dah masuk kelab M. Madu tak percaya. Disuruhnya juga saya beramah mesra dengan ahli kelab S. Akibatnya semua ahli tak mahu berkompromi dengan saya.

Tidak mengapa, kelab M pun apa salahnya. Setiap orang ada kemampuan masing-masing sesuai dengan empunya diri. Satu pepatah lama yang masih terngiang di telinga tatkala saya keluar dari kelab S;

“Ukur baju dibadan sendiri” [yang dibaca secara selapis (single meaning)]

* Madu, kelab kita berbeza! Kamu S dan saya M. Tapi kita masih boleh berkawan.

*Tahniah YADIM. Menjadi Juara Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 2008 mewakili kategori NGO dan juga tahniah Kementerian Penerangan Malaysia [ada kawan saya di sini, Rajif] yang turut menang kategori badan kerajaan.

*Terima kasih encik Abu Yon kerana meminjamkan bateri untuk flash kamera saya. Keprihatinan anda sangat dihargai.

*Terima kasih juga Edwin kerana memberi satu dua nasihat dan beberapa keping gambar untuk saya.

ila-101.jpg

Seorang jejaka tua, bertemu dengan saya. Menyerahkan flash yang memang saya dambakan untuk Nikon saya ni. Saya gembira. Terima kasih jejaka malar segar! semoga apa yang diberi dapat memberi manfaat bukan untuk saya sahaja, malah orang lain juga.

Ada seorang teman bertanya fungi flash tambahan pada sesebuah kamera Digital Single Lens Reflex (DSLR).

Saya bukanlah pakar dalam hal-hal yang berkaitan dengan kamera digital. Baru belajar. Namun, saya ingin menjawab soalan itu sedaya yang mampu.

Fotografi secara ringkas sering didefinisikan sebagai ilmu melukis dengan menggunakan cahaya. Gambar yang terhasil merupakan kombinasi yang betul dari teknik memfokus, kelajuan buka tutup (shutter speed), menjaga Aperture dan Iso, sudut pandangan (angle of view), subjek dan juga jarak fokus (dept of field).

Tak perlu saya pening-peningkan kepala anda dengan hal-hal itu kerana saya juga tidak begitu cendekiawan untuk menerangkan hal tersebut satu persatu dengan baik.

Apabila dikatakan ‘ilmu melukis dengan cahaya’ sudah pasti pengawalan cahaya yang baik amat penting. Saya masih gagal mengawal cahaya dengan baik.

Oleh itu saya cuma mahu jelaskan pada teman yang bertanya tadi, mengapa kita perlu flash tambahan sedangkan pada kamera sudah ada internal flash (built -in) dan bantuan pengawalan cahaya masuk melalui ISO, Shutter dan Aparture.

Flash tambahan berfungsi mencahayai/menerangi (illuminate) objek yang kekurangan cahaya agar terakam dengan baik terutama ketika mengambil gambar di dalam dewan yang besar dan gelap. Flash tambahan juga boleh menghasilkan gambar yang artistik terutama untuk kegunaan gambar dalam studio dan juga gambar yang diambil ketika waktu malam.

Contoh gambar :

Tanpa flash, dengan flash built-in dan flash tambahan

ila-100.jpg  ila-098.jpg  ila-099.jpg

Setakat ini, itu sahaja yang saya tahu. Jika ada kesilapan dan tambahan maklumat, sila bagi tahu saya yang masih mentah ini.

collage21.jpg

Tag: Apa ada dalam dompet/purse/beg tangan

Memang benar kata Tok Rimau (TR), tag ini berbaur ‘menjaga tepi kain orang’. Tapi melihatkan jawapan daripada TR, ternyata jejaka urban yang malar segar [evergreen] itu sengaja membuka lebar kainnya [pelekat cap gajah]. Memberitahu secara ‘bela diri’, yang dia kononnya hebat. Digilai wanita. Eleh.

Apa pun, itulah Tok Rimau! Jangan ubah dia.

Oleh kerana saya mangsa tangkal Pengasih Dawai Kabel Hitam nan Sejengkal itu, maka, saya akan menjawab tag ini sejujurnya.

Pertama sekali, soalan harus difahami dengan jelas.

Soalan: Apa ada dalam dompet/purse/beg tangan anda.

Saya seorang wanita. Wartawan. Sederhana.Ulat buku [hehehhe]. Narsisis [tetapi tidak angkuh dan sombong serta punya belas kasihan terhadap makhluk lain].
Oleh kerana itu, saya memerlukan beg yang agak besar untuk menampung barang-barang wanita, wartawan, ulat buku dan narsisis itu. Dan kerana itu juga saya harus menjawab dengan jujur apa yang terdapat di dalam dompet kecil saya dan beg yang besar itu.

Apa yang ada di dalam dompet kecil a.k.a purse

ila-075.jpg

  1. Kad – pengenalan diri, Maybank, Giro, Cimb, Prudential, Jusco, Breadstory, kad derma darah, kat matrik UM [walaupun dah habis belajar] dan satu kad nama kawan lama yang menjadi pensyarah di UTAR (lupa nak simpan dalam buku kad.
  2. Gambar berukuran pasport
  3. Resit – Kedai jahit baju JUMA, Maybank dan resit pembelian yang lain.
  4. Duit yang jumlahnya sikit. Sebagai cara mengekang diri dari membeli belah. Jika nak membeli barang baru keluarkan duit. Serius, efektif untuk berjimat cermat. Oh ya, saya tidak berkeinginan memiliki kad kredit seperti TR.

Apa yang ada dalam beg besar anda

collage.jpg

collage2.jpg

ila-071.jpg ila-072.jpg

ila-068.jpg d_d80_04.jpg

 

  1. Kamera Nikon D80. Hahahha, percaya kan? Berat sikit la, tapi lebih baik dari menggendong beg nikon yang pastinya memberahikan si peragut untuk meragut saya.
  2. Minyak wangi Clinique Happy jenis roll on di nadi pergelangan tangan dan leher (mungkin juga sedikit di dada, berdekatan dengan degupan jantung)
  3. Pelembab bibir, bedak kompak dwi lapisan dan pelembab tangan. Sebenarnya, bahan mekap yang lain juga di sumbat dalam beg ini. Disatukan jadi satu beg kecil yang lain. Hahahha… beg di dalam beg.
  4. Telefon bimbit, kunci, thumb drive.
  5. Gula-gula Clorets, lot 100 strawberry gummy dan kiss me. Ini disarankan oleh doktor agar kandungan gula dalam badan saya stabil selain mengelakkan pengsan di dalam bas.
  6. Buku nota dan pen, nyawa wartawan!
  7. Novel atau bahan bacaan yang lain.
  8. Kipas tangan yang berharga rm2.50 yang dibeli di Pasar Seni. Murah kan? tapi berguna ketika kepanasan dan melindungi wajah dari sinaran UV.

Bila diingat-ingat, tag begini seperti pernah di jawab. Oh ya, pernah, tapi tak spesifik untuk beg. Apapun, harap TR puas hati dengan jawapan yang dipaparkan ini.

Selain itu, saya ingin tag 5 orang yang bertuah. Harap mereka sudi melayan saya yang narsisis dan jika mereka sudah menjawab tag seumpama ini sebelum ini, tak perlu jawab ok. Terima Kasih!

  1. Saladin
  2. HE
  3. nickmenza
  4. amyz
  5. Jowopinter

lfire-candle.jpg

Akhirnya semua terjawab dan hari ini segalanya kembali tenang. Saya boleh bernafas seperti biasa dan degupan jantung mula sekata. Api yang membara menjadi air yang menyejukkan hati yang telah hangus semalam.

Menganggap sesuatu musibah sebagai hal yang perlu difikir sedalamnya membuatkan kita hampir kehilangan nafas. Namun, hal ini bakal mendidik kita menjadi lebih prihatin, peka dan sensitif terhadap sekeliling.

Menganggap sesuatu musibah sebagai hal picisan dan hal yang hanya mengganggu fikiran akan membuatkan kita melakukan hal yang sama lagi. Iaitu kesilapan yang berulang-ulang.

120102o_heartbeat071.gifTerima kasih Jiji kerana tidak menambahkan tekanan, dan menganggap kita sebagai satu pasukan.

120102o_heartbeat071.gifTerima kasih Encik Rozie kerana bertanggungjawab dan membantu menyelesaikan masalah walaupun tidak terbukti anda yang bersalah

120102o_heartbeat071.gifTerima kasih Encik Zul kerana menganggap hal itu suatu kemalangan.

120102o_heartbeat071.gifTerima kasih jejaka kerana sudi membantu dan meredakan kecamuk rasa ini. Kata-kata yang kamu luahkan semalam ada benarnya – “peraturan bagi jurukamera, jangan sesekali membenarkan orang lain memegang kamera kita [kecuali keluarkan dahulu kad memorinya]”

eyes.gif

ALAM bagaikan lukisan yang tidak berbingkai. Setiap objek dan subjek yang wujud dan tercipta mempunyai nilai-nilai tersendiri. Nilai sesuatu objek juga bergantung kepada tujuan ia diciptakan. Bentuk nilai yang wujud pula bergantung kepada persepsi dan pandangan manusia mengenainya. Pandangan dan persepsi mata yang menilai pula bergantung kepada siapa yang memandang, budaya yang melingkarinya serta nilai yang wujud dalam dirinya.

Sesuatu gambar boleh memberi sejuta makna kepada orang yang melihat. Melalui jiwa jujur jurugambar, pelbagai peristiwa, aksi, wajah, pemandangan, dan apa jua yang terpapar dapat dihayati oleh mata yang memandang gambar tersebut. Seni fotografi yang baik pula akan menghasilkan nilai kepada gambar tersebut.

Apakah yang dimaksudkan dengan fotografi? Seni fotografi merupakan suatu proses penghasilan gambar dan cahaya yang dipantulkan oleh objek yang masuk ke dalam lensa dan seterusnya menghasilkan gambar. Bidang ini mengaplikasikan dua ilmu yang penting, iaitu sains dan teknologi. Sains merujuk kepada situasi masyarakat yang sentiasa membuat penelitian dan pengkajian terhadap alam sekeliling. Manakala teknologi pula terhasil daripada pemerhatian masyarakat melalui alam sekelilingnya.

Teknologi yang terdapat pada alat untuk merakam gambar disebut kamera. Pada masa kini, terdapat pelbagai jenis kamera yang boleh digunakan merangkumi pelbagai fungsi dan hasilnya lebih baik dan mudah diselenggarakan berbanding kamera zaman lampau. Antara jenis kamera yang digunakan ialah kamera Compact Zoom, Zoom, Lens Reflex Poloroid, Compact Digital, SLR Digital, Under Water Camera dan sebagainya. Penggunaan kamera digital memudahkan segala kerja-kerja merakam dan memaparkan gambar. Malah kadangkala gambar yang dirakam lebih cantik dari visual asalnya.

Fotografi adalah sebuah media komunikasi yang berkesan. Ia menghubungkan manusia melalui pancaindera penglihatan, iaitu 50% lebih berkesan berbanding pancaindera yang lain. Jika kita meneliti kembali rasional di sebalik ciptaan Tuhan pada diri kita sendiri, iaitu penciptaan mata yang terletak berdekatan dengan bahagian otak, kita pasti akan mengiyakan kenyataan di atas.

Peranan fotografi dalam kehidupan seharian amat jelas dan penting. Selain menjadi medium penyelidikan, pendidikan dan merakam sejarah lama, gambar yang terhasil melalui fotografi juga boleh menyumbang kepada bidang pemasaran serta menjadi rekod dan bahan bukti untuk pihak-pihak tertentu. Sebagai contoh, pihak polis memerlukan gambar-gambar yang berkaitan dengan kejadian atau peristiwa tertentu untuk menjadi bahan bukti semasa perbicaraan di mahkamah atau untuk menyelesaikan sesuatu kes jenayah.

Dalam erti kata yang menyeluruh, gambar juga boleh menimbulkan emosi kepada seseorang, memanjangkan usia sesuatu peristiwa atau benda yang seterusnya menjadi kenangan dan sejarah yang tidak ternilai. Sebagai contoh, gambar-gambar Perang Dunia Kedua yang boleh memberi keinsafan, semangat nasionalisme serta menyumbang kepada penyelidikan oleh generasi seterusnya. Gambar yang mengandungi propaganda pemasaran pula memberi kesan yang tinggi terhadap keuntungan dan kerugian sesebuah perniagaan.

Mengapa gambar dikatakan mempunyai kekuatan tersendiri berbanding dengan medium lain? Ini kerana mata yang merakam gambar tersebut tidak boleh menipu atau memutarbelitkan apa yang dirakamkan berbanding penggunaan perkataan. Menurut Rudolf Amheim, gambar bukan sahaja hiasan malah ia merupakan media komunikasi untuk difahami sesama manusia – perkara yang sukar dipisahkan.

Paparan sesuatu gambar membuatkan semua orang berfikir tentang sesuatu perkara. Gambar mampu bercerita tanpa bunyi tentang apa sahaja dengan menggunakan apa jua bahasa, malah lebih memberi kesan kepada jiwa mata yang menatapnya.

Inilah peranan jurugambar yang sebenarnya. Bukan sahaja merakam apa yang berlaku secara spontan atau dirancang, tetapi juga memberi nilai kepada gambar itu sendiri supaya memberi kesan yang baik dalam jiwa setiap manusia yang menatapnya. Apatah lagi gambar-gambar yang boleh mengubah persepsi manusia terhadap kehidupannya dan penciptaNya.

Apakah kaitan fotografi dengan kehidupan? Tahukah anda melalui fotografi, pelbagai peristiwa dapat dirakam dengan baik. Walau selama mana peristiwa itu berlalu, gambar yang dirakam mampu menceritakan semula peristiwa yang telah terjadi. Seolah-olah ianya baru berlaku semalam. Itulah kaitan fotografi dengan kehidupan manusia sama ada dengan alam sekeliling, sesama manusia ataupun dengan penciptanya.

Bagaimanapun, seperti juga perkataan yang boleh dimanipulasi oleh manusia untuk tujuan-tujuan tertentu, seni fotografi juga mengalami nasib yang sama. Penipuan–penipuan yang selalu dikesan melalui gambar, terhasil akibat daripada tujuan gambar tersebut diambil atau dipaparkan. Sebagai contoh, gambar yang diambil untuk menjatuhkan pihak lawan dalam aspek politik, pemasaran atau kerjaya. Isu propaganda seperti ini selalunya tidak tertumpu kepada jurugambar kerana semua sedia maklum bahawa itulah tugas jurugambar.

Gambar juga boleh memainkan peranan sebagai ‘penipu’ kepada masyarakat apabila ia digunakan sebagai medium pemasaran oleh pengeluar barangan atau produk. Pemipuan yang dilakukan oleh gambar bertitik tolak melalui teknologi yang digunakan seperti penggunaan Adobe Photoshop, Illustrator, Nero Photosnap dan pelbagai lagi software yang boleh diigunakan untuk mengubah gambar hampir 100%. Melalui teknik ‘touch-up’, gambar yang biasa-biasa boleh menjadi gambar yang luar biasa.

Sebagai contoh, untuk mempromosikan sesuatu produk kecantikan, seorang model akan dipaparkan sebagai daya pelaris. Dengan penggunaan teknik tertentu, gambar model tersebut boleh diedit sama ada menjadikan kulit wajahnya lebih putih dan gebu, ataupun bentuk badannya lebih ramping berbeza dari imej asal model tersebut. Dengan pemaparan ‘manusia sempurna’ sebegitu, sudah pasti pengguna akan tertarik dan ini akan meningkatkan pemasaran dan keuntungan produk tersebut.

Begitu juga dengan gambar potret Saddam Hussin sebelum dikenakan hukuman gantung oleh pihak Amerika Syarikat. Saddam digambarkan sebagai seorang tua yang keletihan, kekalahan dengan matanya yang merah dan janggut yang tidak terurus seperti seorang yang telah terbuang sekian lama berbeza dengan wajahnya sebelum ini yang menampilkan kegagahan dan penuh dengan kekuasaan. Gambar ‘serabut’ Saddam dipamerkan berulang kali menunjukkan dan memberi petanda kejatuhan zaman kegemilangan Saddam ditangan Amerika Syarikat.

Suatu waktu dahulu juga dan mungkin masih berlaku pada hari ini, gambar-gambar artis di Malaysia telah menjadi mangsa teknologi apabila dengan menggunakan teknik ‘super-impose’, gambar boleh diubah mengikut selera dan nafsu pengubahnya. Dalam aspek ini, gambar dikatakan sudah tidak mempunyai nilai yang murni dan jujur apabila dengan mudah digodam oleh sesiapa sahaja demi tujuan menjatuhkan dan memalukan artis tersebut. Betapa dengan mudah, sesiapa sahaja boleh menelanjangkan orang lain melalui teknik ini.

Bagaimana pula gambar boleh dimanipulasi sebagai medium dakwah melalui teknologi-teknologi ini? Jurugambar mempunyai tanggungjawab sosial seperti apa jua bidang pekerjaan lain. Cara berseni jurugambar mungkin tidak dapat diterima oleh sesetengah manusia yang tidak suka melihat gambar. Bagaimanapunn, melalui teknologi yang semakin canggih, gambar-gambar hasil pemerhatian jurugambar boleh diaplikasikan dalam apa jua bidang.

Gambar-gambar yang cantik dan baik, boleh dipaparkan dalam apa jua medium untuk tujuan dakwah. Sebagai contoh, media cetak sama ada majalah, buku, surat khabar atau sebagainya boleh memilih atau memaparkan gambar-gambar yang baik untuk tujuan pengajaran dan memberi mesej yang bersih kepada pembaca. Malahan, bahan bacaan lebih berkesan ke dalam hati apabila diselang seli dengan gambar-gambar yang menarik.

Gambar pemandangan alam sekitar yang cantik boleh menyedarkan manusia tentang penciptanya. Betapa Allah s.w.t telah mencipta sesuatu yang indah untuk ditatapi. Dan biasanya keindahan itu mengundang rasa keinsafan dalam diri insan. Begitu juga dengan paparan potret insan-insan yang pernah berjasa atau memberi sumbangan dalam bentuk material atau nilai sentimen dalam diri seseorang. Tambahan lagi dengan paparan sketsa kehidupan ataupun dokumentari sosial seperti kehidupan petani, pesawah, nelayan, anak-anak yang mengemis, orang kurang upaya dan sebagainya yang pastinya mengundang pelbagai rasa kepada mata yang menatap seni visual tersebut.

Sebagai seorang jurugambar yang baik, sebolehnya gambar yang dihasilkan harus mempunyai mesej tertentu yang seterusnya membuka minda dan hati manusia yang memandangnya untuk berfikir. Namun, sejauh mana usaha ini dapat dihayati oleh mata yang memandang. Sebagai jurugambar, mereka tidak mempunyai banyak perkara yang boleh dilakukan selain hanya mengambil gambar dan memaparkan kepada masyarakat.

Mungkin juga jurugambar boleh memaparkan kepada dunia luar tentang kehidupan masyarakat Islam yang sebenar. Dengan ini, segala ketidakfahaman atau kekeliruan yang wujud tentang Islam dapat dikupas sedikit demi sedikit. Interaksi antara Islam dan bukan Islam boleh disatukan melalui renungan gambar kreatif yang sama. Tugas menyedarkan masyarakat melalui gambar bukanlah mudah, namun usaha ini tidak harus dipandang remeh. Usaha yang berterusan juga akan memberi impak yang besar kepada generasi akan datang yang semakin lupa asal-usul dan akar umbi Islam sebagai pegangan hidup mereka sehingga mati.

Sebagai masyarakat pula, gambar yang dipaparkan mempunyai tafsiran yang pelbagai berdasarkan latar belakang dan nilai yang menjadi pegangan hidup masing-masing. Oleh hal yang demikian itu, jurugambar tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menerapkan gambar yang baik sebagai medium dakwah kepada masyarakat. Apa yang penting, sebagai jurugambar, mereka tahu kesan paparan gambar tersebut kepada masyarakat sama ada baik atau buruk. Dan jurugambar yang baik sanggup bertanggungjawab terhadap gambar yang dipaparkan.