muzik1

“Lagu Melayu tradisional?” tanya pensyarah apabila saya mengemukakan kertas projek semasa tahun kedua di menara itu.

“Ya, lagu genre itu yang saya pilih dan liriknya yang bakal saya kaji,” balas saya.

“Mengapa?” tanya pensyarah yang saya kira sekadar mahu menguji ketetapan pilihan saya itu.

“Kerana lagu Melayu tradisional mewakili budi bicara dan ruang sosial masyarakat Melayu. Juga mewakili setiap elemen yang ada dalam jatidiri masyarakat Melayu. Ia nadi kita prof.,” jawab saya pada ketika itu.

“Nadi kita?” tanya pensyarah sambil merenung saya.

KOMA

“Projek kajian saya tentang Psikologi Muzik bagi Kepulauan atau Nusantara dan Melayu,” kata seorang teman blogger, HE.

“Saya cuba. Menarik juga projek ini. Tetapi bagaimana mungkin saya menyenaraikan kata sifat lagu pelbagai genre ini hanya berdasarkan bunyi sedangkan ‘irama dan lagu’, tak mungkin terpisahkan,” jawab saya.

Hasil kajian teman saya ini diharap dapat menentukan penduduk Asia Tenggara khususnya di Kepulauan Melayu dan
Nusantara mentakrifkan psikologi mereka menerusi muzik. Saya kira ini kajian yang baik, kerana muzik punya pengaruh yang besar terhadap manusia. Bentuk muzik yang dipilih juga menentukan peribadi seseorang. Mungkin.

“Mungkin juga kajian ini boleh digunakan untuk tujuan kerja-kerja yang berkaitan psikologi dan penting untuk komposer menentukan irama yang bagaimana yang menjadi pilihan penduduk Asia Tenggara,” katanya lagi.

Wah, hebat. Tapi sayang, saya tidak dapat menyudahkan kajian beliau kerana masalah teknikal dengan kajian itu. Sayang sungguh.

KOMA

Semasa tahun ke dua di menara itu. Saya mengambil bidang bahasa sebagai subjek major. Dalam bidang ini terdapat satu item bahasa yang dipanggil sosiolinguistik iaitu kajian bahasa dalam hubungannya dengan struktur dan sikap masyarakat.

Saya membuat kajian tentang fungsi lagu dalam masyarakat melalui lirik dan irama lagu Melayu tradisional. Mudahnya kerana pada waktu itu, memang saya ketagih mendengar lagi klasik atau lagu Melayu tradisional.

Manakala seorang kawan yang lain pula mengkaji fungsi lagu moden dalam masyarakat.

Lima fungsi yang menjadi nadi untuk menilai masyarakat telah digariskan oleh pensyarah.

Lima fungsi yang digariskan untuk sesuatu item sosial dibawa kepada masyarakat ialah fungsi emotif  (emosi), didaktif (pengajaran), sosialisasi, estetik (keindahan), dan hiburan.

Hasil kajian memang mengejutkan saya.

Lagu Melayu tradisional membawa kesemua fungsi itu di dalamnya.

Di dalam lagu Melayu tradisional, sekali dengan irama yang mengiringinya membawa mesej atau fungsi sosial yang berkesan. Mungkin juga kerana pada waktu itu, hanya lagu yang memainkan peranan hiburan buat masyarakat. Kerana dalam lagu juga terkandung pantun, syair, gurindam, pepatah-petitih, kias ibarat dan lain-lain.

Emosi yang terkandung, didaktif yang dibawa, nilai sosial yang terpamer, entetika setiap bait kata-kata serta irama yang menghiburkan memberi satu makna yang mendalam kepada yang mendengarnya. Mengambil contoh lagu-lagu P. Ramlee yang penuh dengan fungsi sosial seperti yang disebutkan di atas, akan wujud emosi yang pelbagai. Jika pilu terasa pilunya. Rasa kasih dan cinta, memang terasa menusuk cintanya. Begitu juga dengan rasa yang lain yang membentuk emosi yang pelbagai seperti kagum, kehormatan, luhur, takzim, hiba, santai, tenang, imaginatif, gemalai, teguh, riang dan banyak lagi.

Irama pula sangat tersusun. Membentuk masyarakat yang sangat pentingkan setiap tutur kata dan kesopanan dalam menyampai emosi.

“Lagu moden dengan bait kata dan irama yang terkini tidak begitu membawa nilai,” demikian jelas teman universiti yang membuat kajian ini ke atas lagu Melayu moden.

“Oh, ye ke?” tanya saya.

“Nilai estetika out. Didaktif pula sangat tipis malah hampir tiada. Fungsi sosial yang tergambar pula nampak chaos. Yang banyak hanya nilai emotif  iaitu cinta, sedih, putus cinta, patah hati. Fungsi hiburan semata-mata juga banyak. Lagu-lagu moden tiada fungsi yang begitu baik untuk masyarakat,” katanya.

Saya tidak idealis dalam hal ini. Membandingkan lagu tradisional dan moden sudah pasti tidak wajar. Masing-masing punya ‘bawaan’ tersendiri sesuai dengan masyarakat yang mendengarnya.

Namun, alangkah manis jika lagu moden masakini tidak mengenepikan fungsi estetika, didaktif dan sosial yang baik selain hanya tertumpu kepada penciptaan lagu yang mengandungi hiburan dan emotif semata-mata. Lagu moden kita, nadi siapa?

KOMA

Suatu perjalanan di garis sempadan yang dingin itu, dengan kelajuan 40 km/j.

Suatu perjalanan yang dingin, dengan tahap bunyi 14, kita terdampar di daerah itu dengan ditemani P.Ramlee dan Saloma.

Aduhai, hati mana yang tidak meruntun.

Kunci ada pada diri masing-masing bukan?