
Burung, benar-benarkah ia akan pulang ke dahan yang pernah dihinggapinya?
Atau memang ia akan pulang, cumanya dahan itu sudah tiada untuk dihinggapi.
KOMA
Semalam, mesyuarat di pejabat. Dan agendanya ialah menyatakan masalah yang dihadapi. Masing-masing menyatakan masalah perjawatan. Dan saya menyatakan masalah selainnya.
Mengimbau detik-detik ketika mula-mula masuk kerja, sehingga kekecewaan dan konflik yang dihadapi sehingga suara terketar.
Ia umpama membaca semula blog ini.
Dan sejarah-sejarah lama saya imbau melalui blog ini. Kerana dahulu, blog ini merupakan tempat saya membuang resah. Membuang marah. Blog ini juga menyimpan segala rasa dan cerita yang boleh saya semak semula.
Oh, rupanya banyak kisah yang berulang di sini. Banyak juga resah yang sama berulang-ulang. Ia memperlihatkan diri dua tiga tahun kebelakangan ini. Betapa, ia tergambar dengan teliti dan membentuk diri di sisi yang lain.
Ada azam yang masih tersimpan kemas. Ada impian yang sudah tuntas bertunas. Ada juga harapan yang tinggal harapan. Itu lumrah kehidupan. Dan saya belajar dari kesilapan.
KOMA
Terkesima seketika apabila seorang kawan pejabat menyatakan, “kita terlalu berharap sesuatu yang kita mahu di sini. Sepatutnya, kita ambil apa yang ada di sini untuk kita pelajari dan ambil iktibar.”
Ya, ia sama seperti “apa yang paling kita mahu, itulah yang tidak akan kita dapat.”
Kerana, Tuhan lebih tahu mana yang terbaik buat hamba-Nya.
Ya, saya pulang, melihat semula apa yang pernah saya mahukan. Dan apa yang telah saya tinggalkan.

Benar-benarkah berkawan itu apabila ia bermula, ia tidak akan terputus?
Dan apabila ia terputus, adakah ia perlu bermula semula ataupun sambung sahaja yang telah terputus?
KOMA
Semakin dewasa, semakin dibanjiri dengan konsep berkawan-kawan nan seribu.
Ah, betapa semasa kecil, kita hanya fikir perlu kawan untuk hidup. Bagaimana adik-adik saya, tidak mahu meneruskan pelajaran di sesebuah institusi hanya kerana’ tidak punya kawan’ yang boleh sama-sama belajar di sana.
Saya katakan sahaja, ‘jangan terlalu setia kepada kawan. Ia datang dan pergi. Ia mengajar kita erti berperi.”
Pernah juga, adik berkata, “dia sudah berubah. Dahulu, semasa sekolah, dia tidak begini.”
“Sudah berapa lama kamu terpisah?” tanya saya.
“Lebih kurang 10 tahun,”
Saya diam.
“Kamu harus bermula semula. Dengan umur yang semakin meningkat dan dengan kematangan yang semakin menebal,” jelas saya kemudiannya.
Ya, ia bukan menyambung apa yang pernah dikecapi dahulu, tetapi bermula semula.
Betapa, kawan-perkawanan itu bukan mengira tempoh masa kamu berkawan. Kerana ia perlu dikemaskini setiap ketika.
“Seperti kemaskini status Facebook, supaya semua kawan tahu bagaimana kita setiap hari?” tanya adik lagi.
Saya angguk. Mungkin juga begitu.
Semasa kecil dan setelah dewasa, ia berbeza.
Jadi, jangan berharap kawan kamu yang pernah mengelap ais krim yang mencomoti bibir kamu ketika kamu kecil dahulu, akan mengelap comot itu ketika kamu telah dewasa.. Mungkin juga, orang yang sama yang pernah mengelap comot itu juga, bisa sahaja mentertawakan kecomotan kamu.
KOMA
Kawan, kita pernah berkawan semasa kecil.
Ia tidak bermakna kamu faham saya apabila saya dewasa.
Kita sentiasa berubah.