“Saya tidak suka karipap yang dibeli di kedai. Saya hanya makan karipap yang emak buat atau saya buat sendiri,” jelas saya kepadanya yang mempelawa saya menikmati karipap yang dibelinya.

Saya nyatakan itu kepada kawan-kawan saya.

KOMA

Karipap-Karipap Cinta (KKC), karya keempat Nazri M. Annuar. Buku setebal 254 tidak termasuk kulit ini diterbitkan oleh PTS Fortuna [Pts Publication] dengan ilustrasi kulit muka buku yang menarik dan comel.

Menguliti KKC, bagaikan menonton sebuah filem yang sederhana temanya tetapi memberi impak yang besar. Ia tentang cinta. Tentang hidup. Tentang agama. Tidak mustahil jika saya kategorikan juga novel ini sebagai karya Islami. Apa yang penting ia penuh dengan gelak tawa. Sedari muka surat pertama, saya sudah tergelak-gelak sendiri. Ini novel komedi-romantik.

Cerita bermula apabila Ali jatuh cinta pandang pertama dengan Sarah. Cerita tentang karipap awalnya nampak seperti tidak memberi kesan dan timbul tanggapan bahawa karipap hanyalah isu picisan dalam novel ini. Sekadar mahu menampakkan ia lucu dan menarik. Memang lucu. Namun, karipap bertukar menjadi konfik utama di akhir babak apabila karipap dijadikan syarat utama untuk memenangi hati Sarah. Agak kelakar. Memang kelakar. Suasana persekitaran yang digambarkan oleh penulis mengenai latar belakang kedua-dua watak begitu jelas dan mudah difahami.

Penulis menemukan titik yang harmoni antara dua watak yang berbeza karakter. Ali dan sarah bagai langit dengan bumi. Bagai enggang dengan pipit. Jauh panggang dari api. Ali seorang jurugambar di sebuah syarikat penerbitan majalah dan akhbar. Tiada latar belakang pendidikan agama yang kukuh namun punya hati yang mulia dan semangat cinta yang besar. Sarah pula seorang graduan dari Mesir. Karakter Sarah dihadirkan dalam perwatakan gadis luar biasa, bijak, cantikĀ  dan mempunyai persepsi yang moden tetapi masih menjaga tatatertib dan syariat. Watak-watak yang dihadirkan dalam KKC begitu semulajadi.

Dalam novel ini persoalan cinta yang menjadi isu sewarjagat diadun dengan cantik melalui pendekatan islami. Agama tidak memandang darjat dan latar belakang seseorang. Apa yang penting ialah ketaatan hamba-Nya menjadi khalifah kecil di muka bumi melalui perlakuan-perlakuan seharian.

Saya suka isu ‘menipu’ yang menjadi plot yang bergerak dengan cantik dalam novel ini. Kerana cinta, Ali menipu. Dan penipuan itu menunjukkan kesan yang tidak baik. Bagaimana cara Ali menangani penipuan yang telah dilakukan di langsaikan dengan babak yang menarik juga.

Sama seperti Opera Angkasa, gaya bahasa penulis ini mudah diterka. Tidak terikat dengan hukum berbahasa iaitu gaya perbualan harian yang semakin mendekatkan pembaca dengan cerita yang disampaikan. Namun, hati-hati dengan lambakan unsur sindiran, sarkastik, dan bahasa spontan yang dituturkan oleh watak. Bimbang ianya kurang difahami oleh pembaca seterusnya merencatkan pemahaman pembacaan. Juga sepertinya ada campur tangan penulis di dalam pemikiran watak. Saya percaya ini tidak salah dan disengajakan. Inilah gaya penulisan penulis novel ini yang tidak perlu diubah.

Namun, babak bagaimana Datuk Razali Bunari mendapat hidayah agak membosankan dan boleh diganti dengan adegan yang lebih menyengat.

Dari kaca mata seorang editor [tahap sederhana], saya juga menemui kecacatan dari aspek ejaan dan tanda baca yang boleh membuatkan ‘mood’ membaca tersekat-sekat. Malahan, terdapat juga ayat-ayat yang mungkin tidak betul susunannya yang membuatkan saya membacanya berkali-kali.

Contohnya :

Lebih kerana dia tidak berpeluang menonton televisyen kerana ruang tamu sudah dipenuhi dengan barang-barang pembuatan karipap.’

Tidakkkkk!!!“jerit Ali sambil menghentak penghidup tendang motosikalnya.

Hal ini mungkin boleh diperbaiki oleh editor yang menyunting manuskrip ini. Walaupun ia hal kecil, namun masih perlu diambil berat apatah lagi novel yang mempunyai gaya bahasa yang pelbagai begini.

********

“Kacak juga Muaz ya,” pancing Ali.

Sarah angguk. “Ya, dia antara pelajar terkacak semasa saya belajar dahulu.”

Laut tempat Ali memancing mula bergelora. Bahaya untuk bot-bot kecil seperti Ali.

KOMA

Saya tulis dalam Facebook bahawa minggu ini minggu saya membeli buku. Namun, apabila novel ini berada di tangan, saya terus baca.

Ia tentang kehidupan dan cinta yang sederhana tetapi memerlukan semangat yang besar. Ia tentang kita. Tentang manusia yang mencari cinta dan mendapatkan cinta dengan apa cara sekalipun. Terima kasih kepada penulisnya yang berjaya menghasilkan cerita sebegini.

KKC akan berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Dapatkan naskhah ini di sana.

Ini buku ke-11 untuk tahun ini. Dan buku kedua yang saya ulas di blog saya.

About these ads