Saya melihat sudut itu sesuai untuk saya mengambil gambar. Bersama seorang kawan, kami sama-sama menuju ke bahagian yang kelihatan hampir separuh tasik dengan dahan dan ranting kering yang menarik. Tiba-tiba pandangan saya tertempa kepada seorang pemancing ikan yang meminta saya berganjak dari kawasan itu dengan isyarat tangannya. Berkali-kali beliau meminta saya pergi dari situ dengan gaya tangan yang di gerak-gerakkan umpama mengibas nyamuk.
Dengan perasaan masih tertanya-tanya, saya dan kawan mula beredar.
Kami melalui kawasan pemancing yang membuat isyarat tangan tadi. Senyum berbalas senyum.
“Kawasan yang awak pergi tadi ada ular. Ular itu melalui sini dan terus menuju ke sana. Itu yang kami minta awak berdua beredar,” katanya.
Saya amat terkejut.
KOMA
Dalam kehidupan, yang saya lihat mungkin sahaja bukan pada masa kini, malah telah berlangsung sejak manusia diciptakan, terjadi hal yang sama.
Di antara kepentingan sendiri dengan kepentingan yang lain, sering menimbulkan konflik.
Kita mahu yang baik-baik untuk orang lain, tetapi tidak mahu pula melibatkan diri dan kepentingan kita.
Kita mahu masalah itu segera selesai. Namun, kita sendiri tidak bertindak. Apatah lagi jika ia melibatkan diri sendiri yang akan kerugian atau terkesan dengan hal tersebut.
Hal ini jelas kepada sesiapa juga. Paling nyata, berlaku kepada mereka yang mempunyai kuasa. Pemimpin.
Mahu memberikan yang terbaik buat rakyat, sedang diri juga tidak mahu terkena tempias rugi.
Contoh jelas : Mahu mengurangkan tabiat merokok, minum arak dan berjudi di kalangan rakyat. Tetapi kerajaan tidak pula mahu menyekat kemasukan anasir-anasir tersebut.
Barangkali, begitu sehingga kita seakhirnya diam.
Kamu menang. Saya juga tidak kalah.
KOMA
“Teruk betul mereka itu. Ini soal nyawa. Ular. Apalah salahnya jbersuara sedikit, bahawa di tempat kita tadi ada ular. Sanggup guna bahasa isyarat meminta kita beredar, tanpa suara. Agar kerja-kerja memancing mereka tidak terganggu,” kata saya kepada kawan itu.
Dia hanya diam. Barangkali memikirkan kata-kata-kata saya.
Dan saya juga memikirkan hal tadi berkali-kali.
Kamu menang. Saya pula, tidak kalah.

Januari 29,2010 at 11:39 am
jangan jadi ‘pengalah’.
Januari 29,2010 at 3:55 pm
erk… ular ? tak sangka pula…. tempat macam tu ada ular….
Januari 30,2010 at 10:20 am
mungkin dia nak kamu tenang..sebab ular kalau ditegur2 datang semangaat lak dia.
agaknye lah..
kalau tak…memang isu pentingkan diri di situ
Februari 2,2010 at 2:53 pm
Tapi kalau difikirkan semula, bayangkan kalau dia menjerit “Eh,jangan berdiri di situ, ada ular!”
Tak kah nanti anda berdua terlompat mencelapak atau menjerit kerana terkejut?
Mungkin si pemancing tu tak nak anda berdua panik. Mungkin…
Februari 2,2010 at 9:33 pm
Pernah juga berlaku hal yang sama kepada saya. Sedang mengikuti program perkhemahan bersama para junior. Kami bersiar ke wakaf berhampiran lalu duduk. Seorang pakcik datang menghampiri kami dan berkata, “Pakcik cakap, kamu jangan terkejut ya.” Kami hairan dengan katanya lalu mendengar dia menyambung, “atas kepala kamu ada ular.”
Spontan kami bergerak, perlahan-lahan dari wakaf. Muka kalau dihiris memang tak keluar darah. Memang ada seekor ular melingkar pada kayu dibawah bumbung.
Hahahaha..
Februari 5,2010 at 8:56 pm
Selamat berkarya.
Mac 1,2010 at 4:30 pm
Salam.
Sudah lama saya tidak menjenguk ke mari.
Gambar yang cantik komposisinya. Seperti biasa, Bayan sentiasa memaparkan kualiti gambar dan penulisan yang bagus. Tapi satu sahaja, jika boleh saya menegur. Masih ada sedikit kesilapan penggunaan kata ‘di’. Mungkin boleh rujuk satu artikel berkaitan pengunaan bahasa di Pelita Bahasa bulan Februari.
Jangan marah, nanti kena jual ;-p