Januari 2010


Saya melihat sudut itu sesuai untuk saya mengambil gambar. Bersama seorang kawan, kami sama-sama menuju ke bahagian yang kelihatan hampir separuh tasik dengan dahan dan ranting kering yang menarik. Tiba-tiba pandangan saya tertempa kepada seorang pemancing ikan yang meminta saya berganjak dari kawasan itu dengan isyarat tangannya. Berkali-kali beliau meminta saya pergi dari situ dengan gaya tangan yang di gerak-gerakkan umpama mengibas nyamuk.

Dengan perasaan masih tertanya-tanya, saya dan kawan mula beredar.

Kami melalui kawasan pemancing yang membuat isyarat tangan tadi. Senyum berbalas senyum.

“Kawasan yang awak pergi tadi ada ular. Ular itu melalui sini dan terus menuju ke sana. Itu yang kami minta awak berdua beredar,” katanya.

Saya amat terkejut.

KOMA

Dalam kehidupan, yang saya lihat mungkin sahaja bukan pada masa kini, malah telah berlangsung sejak manusia diciptakan, terjadi hal yang sama.

Di antara kepentingan sendiri dengan kepentingan yang lain, sering menimbulkan konflik.

Kita mahu yang baik-baik untuk orang lain, tetapi tidak mahu pula melibatkan diri dan kepentingan kita.

Kita mahu masalah itu segera selesai. Namun, kita sendiri tidak bertindak. Apatah lagi jika ia melibatkan diri sendiri yang akan kerugian atau terkesan dengan hal tersebut.

Hal ini jelas kepada sesiapa juga. Paling nyata, berlaku kepada mereka yang mempunyai kuasa. Pemimpin.

Mahu memberikan yang terbaik buat rakyat, sedang diri juga tidak mahu terkena tempias rugi.

Contoh jelas : Mahu mengurangkan tabiat merokok, minum arak dan berjudi di kalangan rakyat. Tetapi kerajaan tidak pula mahu menyekat kemasukan anasir-anasir tersebut.

Barangkali, begitu sehingga kita seakhirnya diam.

Kamu menang. Saya juga tidak kalah.

KOMA

“Teruk betul mereka itu. Ini soal nyawa. Ular. Apalah salahnya jbersuara sedikit, bahawa di tempat kita tadi ada ular. Sanggup guna bahasa isyarat meminta kita beredar, tanpa suara. Agar kerja-kerja memancing mereka tidak terganggu,” kata saya kepada kawan itu.

Dia hanya diam. Barangkali memikirkan kata-kata-kata saya.

Dan saya juga memikirkan hal tadi berkali-kali.

Kamu menang. Saya pula, tidak kalah.

Saya teringat tentang kuliah Semiotik oleh Dr. Sanat Nasir semasa di menara itu beberapa tahun yang lalu. Benar-benar teringat. Merasakan secara jujur bahawa kuliah beliau, iaitu cara penyampaiannya benar-benar memberi ilmu kebahasaan yang tinggi. Bukan sekadar menyampaikan.

“Pinjam nota kuliah Dr. Sanat,” kata seorang teman yang benar-benar bosan dengan kuliah Semiotik dan beberapa kuliah lain yang disampaikan oleh Dr. Sanat.

Saya tersenyum. Menyerahkan nota kuliah saya. Kawan itu, mengambil dan mula melihat nota saya.

“Lima baris sahaja?” tanya dia sambil mengerutkan dahi.

Jika saya tidak berbahasa dengan adil, itu bukan salah bahasa, tetapi salah saya yang bertindak zalim terhadap bahasa sendiri.

KOMA


Beberapa tahun dalam hidup saya, terutama semenjak belajar tentang kebahasaan, saya mula mengerti betapa bahasa  merupakan unsur paling penting dalam hidup manusia selepas agama. Dalam segala aspek kehidupan, kamu akan berkomunikasi secara tulisan, lisan atau bahasa isyarat. Dan betapa, setiap kali berbahasa, setiap kali itulah kamu belajar tentang manusia dan isi alamnya.

Menidakkan kuasa bahasa, maka kamu adalah antara penutur yang tidak tahu apa-apa tentang hidup dan kemanusiaan. Sekalipun, di seru sebagai ‘binatang’ juga tidak layak kerana binatang atau haiwan juga mempunyai budaya bahasa mereka sendiri.

Tertanya-tanya, apakah gerangan yang membuatkan lelaki yang bernama Anduka Taruna ini serta para manusia yang membalas komen beliau, berbahasa dengan tiada fikirnya. Mungkin beliau masih boleh menyelamatkan diri, seandainya kebencian kepada pihak yang dicaci maki itu, disalurkan dengan bahasa yang baik dan santun.

Bahasa apapun, mempunyai sifat-sifat yang boleh digayakan dengan situasi dan emosi. Saya kesal membaca emosi ‘benci dan marah’ lelaki tersebut dalam bahasa Melayu, sekaligus menunjukkan bahasa Melayu ialah bahasa yang kesat.

KOMA

Ilmu kebahasaan bukan untuk dicatat dalam buku nota. Ia dalam fikir dan waras. Ilmu bahasa mengekori kamu selagi kamu hidup. Dan bahasa itu bagai kawan yang sungguh membantu dalam menyambung perhubungan dengan manusia yang lain.

Bahasa bukan diwarisi, tetapi dipelajari. Jangan fikir, walau kamu Melayu, kamu boleh berbahasa Melayu dengan baik. Jangan fikir, kamu berbangsa selain Melayu, kamu tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Bahasa bukan unsur politik atau agama. Bahasa ialah tali penyambung antara manusia dengan manusia yang lainnya.

Demikian, kuliah Dr. Sanat yang tidak saya catatkan di dalam buku nota kuliah.

Pertama, sebetulnya bukan pertama.

“Berapa kali kamu buat kerja ini?” tanya cikgu yang menangani kes pelajar yang menceroboh masuk ke bilik persalinan pelajar wanita.

“Ini pertama kali cikgu,” jawab pelajar berkenaan.

“Tipu. Tiada istilah pertama kali dalam hidup kita. Ia pasti ada sebelum pertama,” jawab guru berkenaan yang betul-betul memeningkan saya ketika itu.

KOMA


Kaca-kaca di sisi jalan
Dan percik darah yang memenuhi kanvas harapan
Adalah satu titik noktah
Hidup atau mati

Kaca-kaca di sisi jalan
Adalah ujian
Adalah stesen perhentian
Adalah ingatan Tuhan
Tentang perjalanan
Yang kadang sampai
Yang kadang terbengkalai

Kaca-kaca di sisi jalan
Juga titik-titik darahnya
Adalah sebuah cerita
Yang mungkin baru bermula
Dan pasti ada akhirnya.

[Puisi KACA - Salah satu puisi saya di dalam buku Gema Serunai Hati 9, terbitan PEN]

KOMA

Pertama kali membaca puisi di Bengkel Hak Cipta dan Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Negeri Sembilan pada 17 Januari 2010 yang lalu. Puisi sendiri.

Dan seorang kawan tidak bersetuju dengan ayat ‘pertama kali’ yang saya sebutkan sebelum membaca puisi itu.

Katanya, sebenarnya, kita atau kamu sudah baca puisi berulang kali. Bukan sahaja puisi sendiri tetapi puisi orang lain juga.”

Dia menyebut hal itu dengan panjang lebar.

“Semasa kamu menulis puisi tersebut, kamu pasti membacanya banyak kali di dalam hati. Ketika kamu membaca buku puisi orang lain, hal yang sama juga berlaku. Jadi bagaimana kamu kata, yang kamu baca itu pertama kali?”

Saya angguk. Faham.

Abah tukang kayu. Abah buat rumah kami sendiri. Rumah batu. Juga rumah-rumah orang lain. Rumah batu juga. Tapi abah tetap dipanggil Isa ‘tukang kayu’.

Suatu petang, abah menyusun alatan menukangnya. Macam-macam ada. Pelik. Tapi hanya abah tahu kegunaannya. Juga abah sangat kenal dengan barang-barang kepunyaannya.

Abah minta saya buat teka-teki untuknya. Setelah berfikir, saya minta abah pejam mata dan saya akan gunakan alatan kepunyaan abah. Abah harus peka dengan bunyi tersebut dan meneka alatan apakah yang saya sedang gunakan.

Saya ambil salah satu alatan abah. saya ketuk-ketukkan alatan yang punya hujung yang tajam berkilat. Abah diam. Kemudian buka mata.

“Patutlah tak berbunyi. Alat ini namanya pahat. Harus gunakan tukul untuk mengetuknya. Jika tidak ia tak boleh bergerak dan melakukan tugasnya,” kata abah.

Saya tersipu.

KOMA

Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Beberapa hal yang saya ‘tiada rasa’ dengan anugerah ini.

Mungkin kerana pemilihan tempat yang tiada semangat kebudayaan, kesenian dan semangat yang berkaitan dengan dunia penulisan serta penghasilan karya. Untuk anugerah yang berprestij begitu, haruskah di cerukkan di tempat yang dipenuhi dengan ‘sepi’, suram dan dihiasi dengan elemen-elemen yang tidak berkaitan dengan dunia penulisan [lampu yang suram dan arca-arca patung yang sekali pandang bagai puaka yang membunuh jiwa si pengecut].

Sesekali terfikir, mengapa konsert-konsert dan program hiburan yang lainnya dihadapkan kepada masyarakat dalam bentuk yang gembira, warna-warni, lampu yang terang  dan bergemerlapan serta susun atur set yang menarik perhatian setiap yang memandang.

Kadang, saya terfikir bahawa anugerah sebegini seharusnya lebih menampakkan semangat yang besar, berkobar-kobar dan merasa megah dengan usaha ‘setengah mati’ pemenang-pemenangnya. Caranya dengan memilih lokasi yang berjiwa sama dengan jiwa penulisan seperti Istana Budaya, hotel-hotel atau tempat yang menunjukkan keselarian dengan dunia kesusasteraan negara serta disulami dengan suasana-suasana meriah.

Kerana secara budayanya, majlis penganugerahan untuk penulis dan aktiviti seni-budaya-sastera ini biasanya dibuat secara sederhana dan sekadarnya, maka golongan-golongan itu sahajalah yang datang dan memenuhkan dewan. Masyarakat ketinggalan maklumat tentang karya yang bermutu, tentang penulis yang hebat dan kaya hanya dengan kerja menulis serta penulis yang harus dijadikan contoh terbaik buat generasi muda membina tamadun dan bangsa.

Kerana, secara budayanya juga, usaha yang terbaik pihak yang menganjurkan acara hiburan tanpa batasan, membuatkan masyarakat sanggup berkumpul beramai-ramai di dalam dewan atau dataran yang besar dengan acara yang gemilang hanya untuk mengetahui dan meraikan artis yang kebanyakannya ‘tiada sumbangan’ dalam melahirkan bangsa yang kenal akar dirinya.

Jadinya, dengan mengambil iktibar dari ‘bunyi-bunyi pahat’ begini, pihak penganjur akan lebih memahami bahawa pahat yang berbunyi bukan untuk membunuh tetapi lebih kepada mencantikkan rumah yang barangkali sudah siap. Namun, siapnya sesebuah rumah, bukan bermakna ia boleh didiami. Ada elemen lain yang perlu ditambah agar rumah tersebut selesa di huni dan dinikmati.

Saya tidak akan bicara tentang karya yang memenangi anugerah tersebut.

Laporan penuh boleh di baca di sini. [Sila buat salinan dalam bentuk fail 'word' kerana berita ini tahan seminggu sahaja]

“Ingat, apa yang kamu lakukan hari ini, akan menjadi sejarah. Jika perbuatan ini memberi sumbangan yang tidak baik, maka kamu tahu, siapa yang harus bertanggungjawab kelak,” kata abah.

“Ingat, apa yang kamu tulis hari ini adalah catatan sejarah untuk generasi masa hadapan. Catatan kamu, jika baik, maka ia akan beri kesan yang baik. Begitu juga sebaliknya,” kata seorang rakan penulis.

Hari ini, esok dan seterusnya adalah sejarah yang ada cerita. Ulang atau ubah cerita itu untuk teruskan hidup.

KOMA


Buku pertama yang saya baca pada tahun 2010.

Turunnya Sebuah Bendera. Merupakan sebuah antologi cerpen-cerpen awal karya Usman Awang, pada dekad sebelum merdeka iaitu awal tahun 50-an. Pada waktu itu beliau berusia antara 20 hingga 30-an. Tidak bersekolah tinggi. Menulis berdasarkan pengalaman hidup yang melarat, tertindas, miskin. Menyuarakan keadilan sosial, persahabatan, kebencian terhadap penindasan dan kemanusiaan untuk semua tanpa mengira darah keturunan. Suaranya mewakili suara rakyat, petani, nelayan, buruh dan pekerja yang dipinggirkan oleh sistem dan suara individu yang dizalimi oleh kuasa politik atau ekonomi. Pengalaman terlibat sebagai tentera simpanan hutan [Jungle Squad], mata-mata dan juga wartawan memberi pelbagai cerita tentang apa yang dilihatnya.

Penjelasan serba sedikit itu sudah pasti membuatkan pembaca boleh meneka perkisahan yang dipaparkan di dalam 18 buah cerpen tersebut.

Membaca antologi ini membuatkan saya terfikir beberapa perkara.

Pertama : Kesakitan membuat pancaindera seseorang lebih tajam dan bernas.

Kedua : Sejarah adalah kisah yang berulang.

Antara cerpen yang mengungkap sisi penderitaan akibat peperangan ialah kisah Dayang yang kehilangan suaminya dalam cerpen Kenangan Jauh. Suaminya ditembak membuta -tuli semasa mencari hasil hutan, kerana disangka pihak musuh. Juga cerpen 1948 dan Undang-Undang Darurat , yang memaparkan penderitaan Kak Bedah apabila suaminya ditangkap akibat Undang-Undang Darurat yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Selain itu, kesempitan hidup tentera dan mata-mata yang mempertaruhkan nyawa juga menjadi isu besar dalam kebanyakan cerpen-cerpen Usman Awang di dalam antologi ini. Antaranya, cerpen Setelah Tahun 1948 (Secebis dari pengalaman hidup)  yang mengisahkan sekumpulan mata-mata yang bertugas menjaga keamanan dari kekacauan. Kisah Kassim yang mati sedang inai masih di jari.

Pekerjaan membunuh atau dibunuh itu kami lakukan menurut kewajipan yang diberikan kepada kami. Semua itu kami pertaruhkan semata-mata untuk penghidupan kami sebagai pekerja yang setia dan patuh.

Sedikitpun kami tidak meneliti keadaan-keadaan yang kami alami selama ini. Kami ingin memberikan pembelaaan kerana kami rasa kami diphak yang benar dan adil kerana sahabat dan rakan kami tergolek dibalik pungkur atau terlantar di bawah langit luas. Tetapi apabila kami yang bertindak menggolekkan orang lain di bawah langit ini dengan kekuatan kami, kami tidak pernah merasakan kesedihan-kesedihan dan kepiluan-kepiluan itu. Dendam-dendam menuntut bela seperti sekarang ini”

Begitu juga dengan cerpen Kami Yang Terlibat, antara tulisan Usman Awang yang memberi kesan pada pembacaan saya ialah;

Mereka tembak menembak sesama mereka. “ Semua kegembiraan yang kami bawa sewaktu datang tengah malam tadi telah hilang. Segala keriuhan yang mengikuti kami itupun telah pergi pula, pergi dan hilang bersama roh sahabat-sahabat dan rakan-rakan kami yang sekarang ini kami bawa jasadhnya. Mereka mati di tangan kami sendiri, oleh senjata kami, untuk membunuh orang lain –orang-orang yang tidak kami kenali.

Orang-orang besar dan berpangkat hanya menyatakan kesedihan mereka sahaja dengan kejadian itu. Hanya itu sahaja. “Dan kami yang terlibat ini? Beracah-acah dengan maut, hanya untuk sesuap nasi”.

Tidak terlupakan, hal yang saya lihat sebagai sejarah lama berulang lagi dapat saya buktikan melalui cerpen Untuk Malaya Merdeka iaitu tentang jawatankuasa Muhibbah yang diwakili tiap-tiap kaum (1949) , untuk  menjadikan satu rupa bangsa, satu rujukan hidup dengan perasaan kebangsaan Malayan.

Fikiran-fikiran untuk menghapuskan rasa perkauman diantara penduduk di Malaya itu semakin banyak diserukan dan menndapat sokongan penuh dari pihak pemerintah. Perpaduan di antara penduduk-penduduk di Malaya- bagi pendapat-pendapat banyak orang  ialah untuk mempercepatkan Malaya berkerajaan sendiri dan pendapat lain ialah untuk menghapuskan suasana darurat di Malaya. Kegiatan menyatupadukan menerbitkan penyata-penyata Band (yang menyiasat hal ehwal pelajaran Melayu), dan Fen Woo (Yang menyiasat hal ehwal pelajaran Cina).

Salah pihak kerajaan juga yang mahu mengadakan sekolah melayu untuk orang Melayu, Cina untuk Cina dan India untuk India.”

“Aku sangat setuju dengan Penyata Band yang mencadangkan sekolah kebangsaan bagi menggantikan sekolah perkauman yang ada sekarang di mana kanak-kanak segala bangsa akan dapat sama-sama belajar dalam suasana ramah-mesra di dalam satu tempat.

Paling saya suka cerpen Menyambut Lawatan Ketua Tertinggi Barisan Pemuda  yang saya kira sangat bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang sedang kita dirikan hari ini. Cerpen ini mengisahkan persiapan menyambut ketibaan ketua pemuda tertinggi. 32 pemuda (yang juga melewati batas pemuda) dikumpulkan. Mereka diajar cara menyambut ketua pemuda dengan menepuk tangan apabila ketua pemuda memberi ucapan,  menyorakkan perkataan merdeka walaupun mereka sendiri tidak tahu apa maknanya malah ada yang salah menyebutnya. Ketua tertinggi sampai dan diiringi pengiring yang hebat cara berpakaiannya. Ketibaan ketua tersebut biasa-biasa sahaja sehingga tidak memeriksa barisan mereka yang telah mereka latih sejak semalam. Penulis menggambarkan persiapan rapi barisan pemuda itu dengan menggambarkan cara barisan pemuda berpakaian, iaitu  seluar Wak Siraj yang jerut dan sendat dan baju yang besar seperti badut dan pakaian Sentut yang keras dan tegang dikanji oleh isterinya.

Ketua pemuda berucap seperti peluru, cepat dan pantas sehingga tidak difahami oleh barisan pemuda.

Sesungguhnya kami bertepuk begitu kuat dan gemuruh bunyinya dan kami menjerit kuat-kuat meneriakkan “Merdeka!” Ah! Seolah-olah kami sedang merdeka. Diruang mata kami terbayang-bayanglah merdeka itu (tapi bagaimanakah merdeka yang sebenarnya, kami tak tahu).

Ketua pemuda melawat desa. Ada seorang wartawan yang menulis tak henti2. Bawa kamera yang ambil gambar ketua berucap dan gambar barisan pemuda yang bertepuk tangan. “Agaknya gemuruh tepuk tangan kami itu ikut masuk dalam gambarnya dan apabila gambar itu nanti dimuatkan dalam suratkhabar, pastilah pembaca-pembaca akan mendengar gemuruhnya tepuk tangan kami itu.

Ketua pemuda dan wartawannya jatuh ke dalam petak sawah yang permatangnya baru ditambak. Sesudah seminggu, berita yang keluar hanyalah pidatonya dan lawatannya. Tidak disiarkan berita mereka jatuh ke sawah.

“Biar dia tahu macam mana orang kampung berlumur lumpur. Selama ini dia tahu cakap, suruh tanam padi dan dia tahu makan nasi. Sekarang dia kenalah dengan lumpur sawah,” Demikian kata guru sekolah rakyat di desa kami dan saya senang dengan pendapat itu kerana demikianlah fikiran saya.

KOMA

Sejarah. Ia bukan untuk dikenang. Sejarah untuk dipelajari dan difikirkan. Kerana sejarah memberi gambaran tentang kehidupan yang gagal – apa puncanya. Dan kehidupan yang berjaya – bagaimana caranya. Semuanya punya cerita. Cerita silam yang bukan hanya untuk dibaca begitu-begtitu sahaja.

Terima kasih Melihatbuku yang memberi pinjam buku ini buat saya.

Selamat membaca.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 26 other followers