November 2009


Hari ini saya menggodek komputer di pejabat yang sudah lama tidak disentuh kerana semua kerja saya lakukan dengan menggunakan komputer riba.

Banyak fail yang tidak dapat ditemui. Banyak fail yang tidak ingin ditemui, namun muncul di kaca mata.

Tertarik dengan satu fail gambar yang di dalamnya terkandung hasil rakaman mata saya ketika mula-mula menggunakan DSLR. Kelakar dan kagum juga.

Begitulah saya dahulu.

Dan beginilah saya ketika ini.

Dan fail-fail tersebut, hanya saya tahu apa isinya.

KOMA

Fail.

Hidup.

Dalam hidup kita ada banyak fail yang tersimpan segala maklumat. Cerita. Keterujaan. Rahsia atau bukan rahsia.

Fail yang telah kita simpan dan tidak mahu buka-buka lagi, di mana tempatnya?

Fail yang selalu dibuka dan di simpan di tempat yang mudah dicapai. Pastikan ia tidak hilang.

Fail yang rahsia, dan tidak mahu sesiapa mengetahuinya.

Bagaimana dengan fail yang kita tidak tahu statusnya? Mahu dikongsi dengan yang lain ataupun mahu disimpan untuk sendiri-sendiri?

Hati-hati dengan fail yang itu.

Yang mungkin akan gembira buat kita tetapi tidak buat yang lain.

Buka atau tidak, ia aturan akal kamu.

KOMA

“Masih perlu ada satu fail yang dinamakan ‘rahsia saya’, di mana rahsia itu usah di beritahu pasangan kita atau sesiapa sahaja. Bimbang jadi begini. Memudaratkan jiwa dan rasa antara dia dan kamu,” kata saya kepadanya.

Ya, rahsia itu milik kita.

Buka atau tidak, ia aturan akal kamu.

Berlarilah sekuat kudrat.

Berpayunglah dengan setiap teduhan yang ada.

Atau biarkan sahaja titis-titis hujan membasahi diri.

Mendung.

Hujan.

Ia kadang memberhentikan apa yang baru bermula.

KOMA


HUJAN YANG TIBA-TIBA

Hujan yang tiba-tiba menyimbah bumi
tiba-tiba tanpa mendung awan
hati-hati dengan hujan begitu
Yang membunuh rasa tanpa amaran waspada

Tiba-tiba hujan yang menyimbah bumi
Mentari dingin sedari malam bawa ke pagi
Sedari pagi membawa ke senja
Adalah hujan yang membawa erti
Bukan secara tiba-tiba

Jika tiba-tiba hujan mencecah bumi
Mungkin juga hal yang besar
Tentang debukota yang perlu disuciputihkan
dosa pahala yang perlu dilunaskan
rindu yang basah mendesah
pohon yang rinduranum
langit yang bertukar warna
dengan matahari sunyi di sana.

Bumi yang disimbah hujan dengan tiba-tiba
Sekadar acah-mengacah musim menghilang
Sekadar main-mainan mentari dan awan
Sekadar usik-mengusik langit dan bumi

Bumi yang tiba-tiba dicecah hujan
Usah sama mencecah basah
Kelak mencecah pening
Menjadi rutin semakin pusing

[Antara puisi yang termuat di dalam Antologi Penyair Muda Malaysia-Indonesia 2009, sempena Pertemuan Penyair Nusantara ke-3, Kuala Lumpur 2009. Susunan S.M Zakir dan Ahmadun Yossi Herfanda. Terbitan PENA]

“Teruskan senyum (dan berblog), kerana ramai yang gembira kerananya.”

Itulah sebahagian isi nota kecil, yang berada di dalam sebuah bungkusan beg kertas kecil berwarna merah. Di dalamnya juga terdapat cenderahati dari negara matahari terbit itu.

Tidak ramai yang tahu saya suka magnet berhias. Dan kehadiran hadiah itu memaniskan hari.

Ia manis dan wajar apabila diselitkan di wiper kereta saya.

Manis, kerana ia mengingatkan saya tentang contengan-contengan nakal berbentuk hati yang dilukis di cermin kereta oleh entah siapa suatu waktu dahulu.

Ia wajar kerana persekitaran yang berhalangan memungkinkan hadiah itu tidak diberi secara terus ke tangan saya.

KOMA

Amat tertarik dengan entri seorang kawan yang merupakan jurufoto majlis perkahwinan. Acaii Jawe. Ia berkenaan dengan konsep ‘datang dan pergi’. Sesuatu yang datang, seperti majlis perkahwinan, adakah akan diisi dengan sesuatu yang sia-sia? Adakah mahu di tinggalkan dengan sia-sia tanpa sebarang tanda atau kenangan?

Maka dengan itu, gambar yang terakam haruslah tidak dipersia.

Amat tertarik dengan kisah seorang teman. Tentang cinta. Tentang hidup. Tentang jiwa-akal. Adakah kenangan itu amat berharga? Perlukah ia diingati selalu? Patutkah ia dirakam? Jika perlu untuk apa? Bagaimana pula caranya?

Jika begitu, mulalah menulis kawan. Kerana dengan bahasa yang bagaimanapun, ia harus jadi tanda. Tanda sebuah cerita. Sebuah cerita yang kita bawa. Walau bukan di jiwa dan dada. Ia tetap ada dalam diri kita.

KOMA

Kadangkala, kita tidak perasan sesuatu itu datang kepada kita.

Kita perasan dan sedar kehadirannya setelah ia mahu pergi.

Pergi dan datang. Kadang tidak datang kembali.

Mahu diingati atau lupakan sahaja?

Kawan, walau kehadiran kamu tidak saya sedar bila ia datang, saya terasa jika kamu tiada. Terasa.

Tiada apa lagi perlu ditinjau. Hanya matahari, yang juga kadang ada kadang tiada.

DSC_0185

“Saya akan terus datang ke bengkel begini, sampai mati.”

Itulah antara kata-kata akhir saya di bengkel yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan [PEN], hari Sabtu yang lepas.

Umbara Sastera III dan Bengkel Penulisan Cerpen 2009.

KOMA

Saya benar-benar nantikan bengkel ini. Alhamdulillah, kerana tarikhnya dipercepatkan. Jika masih tarikh yang sama [21 November 2009], manakan mungkin saya dapat menyertainya kerana terlibat sepenuhnya dengan Pertemuan Penyair Nusantara 2009.

Penantian terhadap bengkel ini berdasarkan beberapa alasan;

  1. Kerana fokus penulisan saya mula kecamuk dengan pelbagai kerja yang berlainan bidang. Saya perlu mencari titik fokus itu dan membinanya kembali memandangkan saya sendiri kesal dengan semangat yang turun naik sehingga malu apabila orang menggelarkan saya penulis, sedangkan tiada karya yang terpapar di dada akhbar atau majalah.
  2. Kerana seorang insan yang begitu dekat dengan saya. Ani Izzuani. Saya yang mencetus rasa dan semangat kepadanya untuk terus menulis. Jadi, saya juga perlu bersama-sama beliau meneruskan apa yang telah dicetuskan itu.
  3. Ingin bersama-sama dengan PEN membina generasi pelapis yang aktif menulis seperti Puan Nisah, Puan Mahaya, Amiza Khusyri, Syarifah Salha dan ramai lagi.

Dan beberapa sebab lain yang saya kira, saya sangat teruja dengan bengkel ini.

Dan seperti yang dijangka ia tidak pernah mengecewakan saya.

Pesona, siapakah yang mampu menepisnya.

KOMA

DSC_0069

Sesi pagi dipenuhi dengan bicara tentang pembinaan cerpen. Proses penghasilan cerpen yang telah memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam baru-baru ini. Puan Nisah Haron dengan cerpennya Aset Istiqamah, Puan Syarifah Salha dengan cerpennya Tangisan Daerah terpinggir dan juga Encik Amiza Khusyri dengan cerpennya Kasad.

Suatu hal yang perludan wajar di beritakan kepada penulis muda [muda di sini bukan merujuk usia, tetapi pengalaman menulis], ialah tentang hal ini. Proses penghasilan.

Betapa setiap penulis mempunyai cara dan pandangan tersendiri bagaimana mahu memanipulasikan sesuatu peristiwa ke dalam bentuk yang kreatif. Semata-mata kerana ingin memberitahu masyarakat, mendidik juga menyampaikan apa yang terbetik di hati.

Tahniah untuk ketiga-tiga penulis yang lahir dari Persatuan Penulis Negeri Sembilan ini.

Pesona yang memancar, akan disimpan di dalam jiwa.

KOMA

DSC_0126-2

Sesi kedua di sebelah petangnya membuatkan diri saya teruja yang luar biasa. Pembedahan cerpen. Terdapat 9 cerpen hasil nukilan peserta akan dibedah. Doktor pakarnya ialah Puan Nisah dan Encik Amiza Khusyri. Kami dilantik menjadi doktor juga. Doktor pelatih.

Satu persatu cerpen dibedah. Pelbagai perkara dikongsi bersama. Kritikan dan cadangan diberi. Saya suka sesi begini kali ini, berbanding dengan bengkel yang lepas yang juga diadakan oleh PEN.

Jika dahulu, peserta akan dipanggil seorang demi seorang berhadapan dengan pengkritik. Kali ini kami membentuk bulatan dan saling bertukar pandangan mengenai cerpen masing-masing. Sangat bagus dan semakin banyak perkara dapat dikongsi.

Tidak terbetik juga rasa malu kerana masih menyertai bengkel begini walaupun telah banyak bengkel yang saya sertai dengan tiada karya yang keluar di media. Persepsi terhadap bengkel berubah. Bengkel penulisan bukan untuk penulis baharu, ia untuk penulis lama juga. Bagi menyuntik semangat dan berbincang isu-isu terkini gaya penulisan.

Seketika, cerpen saya dibedah. Maaf kepada peserta kerana cerpen itu mengubah suasana menjadi sedikit pilu. Saya akui, ceritanya memang pilu. Mujur saya mampu menahan air mata.

Maaf juga Puan Mahaya kerana cerpen itu mengembalikan puan kepada cerita lama. Sesungguhnya, ia sekadar luahan rasa saya. Dan saya kira babak air mata yang berlaku bukanlah drama. Ia menunjukkan betapa sesebuah karya, jika ditulis dengan ‘rasa’ maka, hasilnya juga mengundang ‘rasa’ dan inilah yang penulis mahukan.

‘Mak Ngah’ ialah karya saya yang pertama yang saya rasa sangat berpuas hati. Disiapkan sehari selepas Pak Ngah meninggal dunia. Dihasilkan dengan suasana masih pilu. Jadi, saya kira ia menyumbang kepada penghasilan karya sebegitu. Terima kasih pujian dan semangat yang diberi untuk saya meneruskan penulisan. Insya Allah, akan diperbetul apa yang kurang dan cuba dihantar ke media dalam masa terdekat.

KOMA

DSC_0088

Ani Izzuani ialah sepupu saya. Sebetulnya kami tidak serapat ini. Semasa dia terlantar di hospital akibat penyakit paru-parunya, saya hanya melawatnya sekali. Dan sekali itulah yang penuh air mata. Kami sangka hayatnya tidak panjang. Alhamdulillah, dia diberi kekuatan untuk terus bernafas walaupun dengan bantuan alat oksigen.

Pergerakan beliau terhad dan tidak boleh melakukan banyak aktiviti. Apatah lagi tidak boleh bebas ke sana ke mari.

Jadi, apabila dia menangis semasa berada di bengkel, menyatakan jangkaannya yang jauh meleset, saya jadi sedih. Jangan malu dengan air mata yang gugur itu, kerana di situ ada hati yang akan berkata, ada akal yang akan mencerna. Teruskan menulis Ani. Insya Allah, saya akan bantu sebaik mungkin.

Terima kasih kepada semua peserta kerana tidak pernah memandang keupayaan fizikal sebagai halangan untuk mereka bermesra.

Bengkel kali ini benar-benar hidup. Tahniah untuk PEN. Terima kasih Puan Nisah dan Encik Amiza Khusyri yang bersungguh menjayakan bengkel ini.

Jika ada bengkel sebegini lagi, saya akan sertai juga. Sehingga mati. Kerana pesona untuk menulis, jika tidak dihidupkan, ia akan mati.

Gambar bengkel dimuatkan dalam FB saya.

Laporan selainnya :

Nisah Haron

Syafiq Zulakifli

Amiza Khusyri

Ani Izzuani

Syarifah Salha

Mya Marja

DSC_0905-Edit

“Apa pendapat anda mengenai pakaian renang untuk muslimah ini,” tanya wartawan [seperti ada konflik di situ apabila melihat wartawan yang 'begitu' dan para juruvideo yang terdiri daripada golongan adam yang menemuramah kami ketika solat Jumaat berlangsung].

“Bagi saya, pakaian renang muslimah ini memudahkan wanita muslim menyertai aktiviti berenang dan beriadah bersama keluarga terutama di kolam-kolam renang yang terbuka. Selain itu, bla…bla..bla…” jawab saya dengan rasa yang tiba-tiba sangat pelik.

Pelik dan tertanya-tanya kepada diri sendiri – “apa yang aku cakapkan ini?”

KOMA

Pernah baca satu entri saya yang terdahulu mengenai kolam renang dan pakaian muslimah?

Sila baca di sini.

Saya cukup marah dengan apa yang berlaku ketika itu. Betapa saya membebel tantang hak.

Hak kononnya.

Dan hari ini Tuhan beri sebab-musababnya.

Wanita.

Muslimah.

Mandi ditempat terbuka.

Pakaian renang.

Kesihatan sosial.

Syariat.

Dan segalanya bermain-main dalam minda saya hari ini.

Ia berlegar-legar dengan pedih ketika sesi temuramah dijalankan.

KOMA

Wanita muslim, jika berjubah sekalipun, tidak wajar memperlihatkan diri kepada khalayak bukan mahram ketika diri lencun dan basah.

Terima kasih khairulhak yang pernah bercakap tentang hal ini.

DSC_0401

Pernah benci hujan. Sewaktu jasmani masih kerdil. Di laman rohani, hujan tidak menyelesakan.

Hujan juga tika nyawa berganti bahagian. Bahagian nyata dengan bahagian yang tidak tercerita. Semoga damai di sana, kawan.

Hujan tika kata-kata menjadi dusta.

Hujan tika kata bertingkah pesona-pedih-luka.

Wahai diri,

Serenada yang berlagu masih berlagu. Ketika hujan. Di laman rohani, lalu melimpah ke bahu.

“Butir-butir cinta air mataku, teringat semua yang Kau beri untukku…” [Muhasabah cinta - Edcoustic]

KOMA

Dan kau tutup mulutmu

Dengan kedua tangan dan jemari yang sepuluh itu

Supaya ia diam tidak bersuara

Kerana suara itu

Kadangkala membunuhmu.

“Toast Titanium. Selepas jumpa kamu, baru saya tahu kegunaannya sedangkan perisian itu sudah lama bermastautin di komputer riba saya,” kata saya kepadanya semasa kami menikmati minuman yang istimewa itu.

Maka, bolehlah saya memuat turun lagu-lagu yang saya suka dan mainkannya di dalam kereta.

Hari itu, saya teruja. Mungkin dengan CD yang dipenuhi lagu-lagu yang saya suka.

Kononnya, saya mahu menyajakkan lagu yang berkumandang. Maka, saya pasang lagu kuat-kuat dan mula mengikuti lirik yang dinyanyikan. Tapi saya tidak menyanyi. Saya bersajak. Bebas dan mengasyikkan.

Habis satu lagu. Lagu Siti Nurhaliza. Saya minum air dan tarik nafas.

Erkkk…Pemandu kereta di sebelah memandang saya dengan penuh rasa. Mungkin.

KOMA

DSC_0323-2

PERKAMPUNGAN PENULIS 1 MALAYSIA, anjuran Biro Tatanegara dan GAPENA. Di BTN, Jalan Bellamy.

Sebenarnya, saya lebih suka mengambil yang baik dari membicarakan yang tidak baik. Mendengar nama BTN, saya sudah pelik. Wah, bagaimakah kami akan digaul dengan BTN? Minyak dan air memang tidak boleh bercantum tetapi tetap boleh berada di dalam bekas yang sama.

Jumaat lepas, sesudah habis kelas renang, saya bergegas ke Jalan Bellamy untuk mendaftarkan diri. Mewakili Persatuan Penulis Negeri Sembilan. Kemudian, bergegas semula ke pejabat. Balik rumah, mengemas pakaian dan bergegas semula ke Jalan Bellamy.

Majlis perasmian malam itu sederhana. Dengan kapasiti kehadiran peserta lebih kurang 60 orang mewakili persatuan penulis negeri masing-masing. Pembimbingnya juga bukan calang-calang. S.M Zakir, Salleh Rahamad, Shamsudin Othman, Hamzah Hamdani, Dr. Fong dan beberapa pembimbing lain.

Namun, malam itu saya di hidangkan dengan mukadimah yang mengecewakan. Maaf, benar-benar mematikan mood. Jelas, encik yang memperkatakan tentang puisi dan ketatanegaraan itu tidak membuat penyelidikan menyeluruh tentang dunia kepuisian. Juga menyinggung perasaan anak muda dengan sewenang-wenang menghukum, remaja masa kini tidak tahu apa makna puisi.

Tidakkah encik itu tahu, bahawa dunia kepuisian dan remaja sudah lama bersemi baik dan cantik. Remaja tahu apa itu puisi. Dan tahu apa yang perlu mereka tulis dalam puisi.

Biarlah kami, pemuisi ‘menyanyi’ dengan rentak kami. Usah ajar kami ‘menyanyi’ sedangkan nyanyian kamu sendiri sumbang.

KOMA

BTN. Kami didedahkan dengan ketatanegaraan. Pengetahuan am tentang dasar yang di gagaskan oleh Perdana Menteri, 1Malaysia. Mereka mahu memahamkan kami tentang konsep 1Malaysia. Namun, seperti yang berlaku hari ini, kekeliruan tentangnya juga menyinggah benak kami. Apa sebenarnya 1Malaysia?

Saya suka dengan penjelasan dan pembentangan oleh Datuk Zainal Kling. Tentang perjalanan sejarah dan kenegaraan kita. Saya suka apabila dengan bijaksana, beliau menjelaskan konsep 1Malaysia lebih menimbulkan huru-hara daripada bersatu padu. Namun, dengan cermat juga, beliau menyarankan agar penulis muda mengambil langkah tengah. Menulis tentang persamaan bangsa dan bukan menggegar bangsa dengan perbezaan demi perbezaan yang sememangnya wujud.

Saya cemburu melihat adik-adik yang semangat menghadiri bengkel tersebut. Cemburu kerana minat dan keupayaan membawa mereka mendalami apa yang mereka minati. Apatah lagi yang berkeyakinan membuat sajak dan mendeklemasikannya dengan baik.

KOMA

Penulis, boleh menjadi orang tengah. Antara pihak yang membuat dasar dengan pihak yang menentang dasar. Penulis yang baik tidak membenarkan diri mereka menjadi alat kepada mana-mana pihak. Berada di tengah dan mendamaikan. Membenarkan yang benar. Menegur yang salah.

Sesiapa sahaja berhak memberi pandangan kepada penulis tentang apa yang perlu mereka tulis dan hasilkan.

Cuma, biarkan mereka ‘menyanyi’ dengan bebas. Dengan rasa mereka sendiri.

DSC_0154-Edit

“Ada sahaja alasan awak kan?” katanya bengang apabila apa yang dia persoalkan saya tangkis dengan hujah sendiri.

“Ini bukan alasan, ini jawapan saya,” jawab saya membela diri.

KOMA

Menikmati jawapan akan ada dua implikasi. Jawapan yang manis atau pahit.

Menikmati alasan, juga akan ada dua implikasi. Alasan yang diterima dengan jiwa yang pahit dan juga manis. Namun, peratus kepercayaan atau penerimaan terhadap alasan yang diberi selalunya rendah.

Kamu tahu apa beza alasan dan jawapan.

Apakah unsur yang perlu ada ketika menikmati alasan atau jawapan?

Emosi atau akal ?

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 26 other followers