Julai 2009


DSC_0594-Edit

“Semangat hilangkah?” tanya seorang kawan pejabat.

“Ya, agaknya. Sikit sahaja. Sekejap lagi oklah ni.”

Semangat dan cabaran saling beriringan.

Lif rosak. Pejabat di tingkat lima.

Ada demonstrasi di hujung jalan. Makanya, jalan sesak.

Begitu juga jika ada acara di PWTC. Akan ada kedengaran bunyi riuh serta tempat meletak kereta yang membungkam penuhnya.

Apatah lagi apabila hujan lebat. Air naik dan banjir melanda menenggelamkan apa sahaja. Berwaspada dengan ini.

Ini tidak termasuk lagi cabaran-cabaran dalaman, tentang rakan sekerja yang tidak sekerja. Tentang pemimpin yang tidak memimpin.

Itu cabaran yang kadang mematahkan semangat.

Cabaran yang menyebabkan diri dibakar. Hangus.

KOMA

“Saya cabar awak menghasilkan karya dalam tahun ini juga,” kata seorang kawan yang juga dalam bidang yang sama.

Cabaran yang menaikkan semangat.

Mahu serius atau main-main, terpulang kepada kamu kerana akhirnya kamu juga yang akan merasa sesuatu. Mungkin malu setelah berbelas-belas bengkel penulisan dihadiri, namun hasilnya masih ‘telur ayam’.

Ini pastinya cabaran yang membakar semangat atau terdiam kerana terbakar.

KOMA

“Saya mahu lihat, sejauh mana awak mahu berdiam diri dan berpegang dengan apa yang awak katakan hari ini,” katanya petang itu. Suatu waktu dahulu.

Ya, kata-kata begini juga merupakan cabaran.

“Saya akan buktikan,” jawab saya dalam hati. Terasa semangat mahu berubah itu mula menyala. Akan membakar atau terbakarkah nanti?

Begitulah, manusia cukup pantang apabila dicabar.

“Bagaimana mahu mencetak skrin guna Mac?” tanya saya kepada seorang rakan yang juga menggunakan jenama lap top yang sama.

Akhirnya dapat juga.

Terima kasih kawan yang sentiasa memudahkan.

KOMA

Sebenarnya sejak hari pertama berita tentang pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad terkena serangan strok di siarkan, ada sedikit rasa pilu di hati. Dia, pengarah yang cukup berbakat. Saya kagum walaupun ada beberapa perkara yang saya tidak setuju mengenai hasil tangan beliau melalui filem-filemnya.

Berita pemergian beliau juga memberi kesan kepada hari saya.

Tidak perlu sebut lagi hal ini.

Namun ada hal yang masih berlarutan. Tempiasnya mengenai blog saya.

Picture 5

Picture 6

Suatu waktu dahulu, pada tahun 2007, saya pernah menulis sebuah entri mengenai karya beliau dengan tajuk YASMIN AHMAD. Entri itu cuma berkisah tentang beberapa filem Yasmin yang saya kira tidak begitu sedap pada pandangan mata saya. Dan entri itu juga saya kira entri yang seimbang. Saya masih mengangumi beliau.

Kini, setelah beliau tiada, saya kira hal-hal peribadi beliau bukanlah suatu hal yang perlu dijaja apatah lagi yang melibatkan hal mengaibkan atau apa-apa sahaja. Namun entri Yasmin Ahmad ini menjadi popular di blog saya sejak akhir-akhir ini dengan carian kata kunci yang saya kira ‘untuk apa?’ Kata kunci yang entah apa-apa dan saya kira mereka yang menggunakan kata kunci itu sangat biadap dan tiada ‘hati’. Tidak ada kerja lainkah selain mahu mengorek dan menggali rahsia hidup orang lain yang telah pergi? Mungkinkah yang melakukan ‘kerja’ sebegini terdiri daripada para wartawan?

Hal ini turut dirasai oleh masyarakat apabila suratkhabar Kosmo menyiarkan hal yang bukan-bukan mengenai Yasmin Ahmad.

Sudah-sudahlah wahai manusia yang tak punya rasa. Usah ‘menangguk di air yang keruh’.

KOMA

Command + Shift + 3

Cara mencetak skrin dengan Mac.

Terima kasih sekali lagi.

Bacaan lanjut :

Rantingsbymm

Syahrilkadir

Facebook

DSC_0380

Kadang tidak semua soalan perlu jawapan. Ini hal yang pernah saya sebut-sebutkan dalam beberapa entri di blog ini.

Ya, tidak semua soalan perlu jawapan. Itu untuk hal yang lain, kawan.

Hari ini, saya kira semua soalan yang melingkungi diri telah saya sediakan jawapannya.

Ada rasa puas walaupun agak cuak sedikit dengan keputusan atau kesan jawapan itu kelak.

Insya Allah, doa dan usaha. Pesan kawan-kawan yang saya hargai. Terima kasih kawan-kawan.

KOMA

SESI 1 – Ujian bertulis yang saya duduki pagi tadi masih terkesan di kepala. Berbayang-bayang soalan yang perlu saya sudahi. Menyunting manuskrip ilmiah dan karya kreatif. Walaupun hanya dua mukasurat, ianya soalan yang agak ragu-ragu saya sudahi. Ada banyak alasan di sini. Bahagian kedua lebih kepada soalan merenung diri sendiri. Genre buku yang bagaimanakah yang anda minati?

Telah berjawab semua dan Alhamdulillah, saya melepasi soalan-soalan sesi pertama ini.

SESI 2 – Gementar menghantui. Jumpa kawan-kawan. Katanya soalan biasa-biasa sahaja. Saya meminta hati agar jangan terlalu cepat mengalah. Meminta jantung juga agar jangan terlalu laju berlari. Ia menyesakkan. Pelbagai bentuk soalan diajukan. Saya kira agak banyak kali juga saya menghadapi situasi begini sebelum ini. Entah kenapa kali ini agar gemuruh. Alhamdulillah, setiap soalan tidak dibiarkan tanpa jawapan. Dan saya kira jawapan yang diberi bukan jawapan main-main.

Semoga segalanya baik.

Keputusan ditangan tuan hamba.

Hamba mengikut sahaja.

KOMA

Sehabis sesi soal-soal dan jawab-jawab, saya mendatangi kawan-kawan yang baharu dikenali. Seperti biasa ada soal-soal dan jawab-jawab yang agak biasa dan luar biasa.

“Awak ada blog bukan?” Soal kawan itu.

Saya agak terkejut. Apatah lagi apabia dia menyebut hal-hal yang pernah berlaku dalam blog saya – saya berura-ura mahu menutup blog.

Saya tanyakan pada dia, bagaimana dia boleh mengecam saya. Tentunya ini soalan saya yang kurang akal setelah diketahui yang saya menampal beberapa gambar saya di blog, Facebook juga Goodreads.

Maka perbualan-perbualan seterusnya memasuki fasa saling kenal-mengenali dan cerita-cerita yang berkait-kait.

“Nak tanya sikitlah. Apa makna kata ‘KOMA’ dalam entri awak itu? Siap huruf besar dan bold lagi,” tanyanya lagi, yang membuat saya ter ‘erkkk’.

Maka saya jelaskan pada beliau dengan panjang lebar bagi menjawab soalan-soalan beliau itu.

Pendapat dia, sama seperti apa tujuan saya menghadiahkan KOMA kepada pembaca. Ya KOMA itu bagai tembok yang terpaksa kamu hadapi setelah kamu berlari di atas huruf-huruf yang saya susun. Berehatlah setelah KOMA.

Hari ini, memang hari saya menjawab soalan. Dan ia memang untuk hal yang ini. Perlu jawapan untuk soal-soal begini.

DSC_0059-EditDalam lari yang tidak berlari

kita tersungkur

Dalam derap langkah yang semakin perlahan

kita terngadah

hidup aku ada di situ

dalam kamu

hidup kamu ada di situ

dalam bukan aku.

DSC_0379-Edit

Gambar ini diambil ketika pertama kali berada di kawasan masjid semasa solat Jumaat. Waktu itu ada majlis perasmian yang perlu saya hadiri sebagai wartawan dan jurugambar. Ada rasa di situ melihat mereka berdoa.

PERMULAAN YANG PANJANG

Hidup adalah anugerah dan keajaiban. Kata dia.

Hidup adalah harapan, impian dan kenikmatan. Kata dia lagi.

Ya. Hidup untuk dinikmati. Dalam hidup punya impian dan harapan. Ada tujuan yang harus dipenuhi. Maka lahirlah sebuah kehidupan yang penuh keajaiban. Anugerah Tuhan yang sering kita kesampingkan.

Berfalsafah pagi-pagi setelah bangun dari perbaringan, merasakan diri amat kerdil. Namun, dalam kekerdilan ini ada suatu keajaiban, harapan dan impian yang harus dinikmati.

Ada orang kata, ‘biarkan sahaja’ hidup ini berjalan atas landasnya.

Ada pula yang menggeleng dan berkata, “jangan biarkan sahaja. Ada perkara harus kita rancang. Ada perkara harus disusun dengan baik.”

Saya setuju kawan.

Ada perkara yang di luar lingkungan batasan kita, biarkan sahaja. Itu kerja Tuhan dan takdir-takdir-Nya.

Ada perkara yang perlu kita rancang sehabis kudrat.

Maka, jika kamu biarkan sahaja hidup ini berjalan tanpa hati dan akal berkerjasama, makanya apa akan jadi dengan kata-kata yang kamu keluarkan setiap hari? Apa pula halnya dengan doa-doa yang kamu panjatkan kepada Tuhan Maha Besar?

KOMA

Saya pernah berkata tentang hidup yang perlu dicatat dalam apa juga bentuk pendokumentasian.

Kawan-kawan pun mengiyakan dan merasa mendokumentasikan perjalanan hidup bukanlah satu kerugian dan hal yang membuang masa.

Catatan itu boleh sahaja merupakan diari harian yang pernah saya ceritakan sebelum ini.

Boleh sahaja catatan itu kamu lakukan dalam bentuk yang lebih sempurna. Buku misalnya.

Jika ada jiwa yang berlegar, jika ada peristiwa yang mahu dirakam, medium dalam bentuk gambar dan video juga amat bermakna.

Lakukan apa-apa sahaja yang kamu selesa dan mampu. Asalkan ada catatan yang dapat kamu ingati dan sebarkan kepada yang lain.

KOMA

Melihat gambar-gambar dalam simpanan sepanjang dua tiga tahun ini mengundang banyak cerita yang ingin dikongsi kepada umum. Mungkin cadangan seorang teman agar saya membuat satu catatan dan puisi bergambar dapat direnung kembali.

Hidup ini mudah dan menarik. Hargai diri sebagai satu keajaiban dan anugerah. Pesan seorang kawan berkali-kali.

Saya teruja. Dengan doa segala urusan dipermudahkan hari ini. Amin.

DSC_0257

Barisan pemenang HSBI bersama YB Mejar Jeneral Dato’ Jamil Khir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan kepimpinan DBP serta pihak penaja semasa Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12 yang bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini.

PERMULAAN

“Kata orang, ilmu yang tidak diamalkan umpama pohon tidak berbuah,” jelas saya kepada adik.

“Eh, apa pula. Pohon, jika tidak berbuah, masih boleh menjadi manfaat kepada manusia. Kiranya pohon mempelam yang mandul di belakang rumah kita itu tiada manfaatkah kakak?” balas adik yang kadang memang bijak berfikir.

Saya mengiyakan kata-kata adik. Pohon mempelam itu, menjadi tempat burung melepas lelah, membuat sarang dan berteduh dari hujan. Pohon yang mandul itu juga, menjadi teduhan kami adik-beradik kala berpetang dengan jemput-jemput pisang, di bawahnya yang tersedia satu pangkin.

Pohon itu, walau tidak berbuah, ia meredup dan menyegarkan mata kami.

Harus fikir perumpamaan lain yang berkaitan dengan ilmu yang tidak diamalkan.

KOMA

Hadiah Sastera Berunsur Islam. HSBI.

Hari ini menghadiri majlis penyampaian Hadiah Sastera Berunsur Islam. Seramai 12 pemenang telah dirai. Senarai nama pemenang boleh sahaja berkunjung ke ujana Nisah Haron.

Hanya dua genre dipertandingkan. Puisi dan cerpen, berbanding tahun-tahun sebelumnya yang meletakkan genre novel, drama pentas dan drama televisyen dalam pertandingan ini. Jika hal ini disebabkan kekurangan dana, maka badan-badan Islam yang selama ini memperjuang kemaslahatan masyarakat Islam harus berganding bahu dengan Yayasan Pendidikan Islam bagi mengangkat sastera sebagai medium dakwah yang berkesan.

Dengan terbentuknya satu pertandingan begini, maka masyarakat memandang bidang sastera sebagai bidang yang sama popular dengan kegiatan seni yang lainnya seperti berlakon dan menyanyi. Hal ini juga seterusnya meningkatkan kefahaman masyarakat bahawa sastera itu luas bukan hanya sekadar terlingkung dalam bidang penulisan cerpen dan puisi sahaja.

Mengadakan semula genre novel, drama pentas dan drama televisyen berserta puisi dan cerpen yang diadakan saban tahun memungkinkan kita memperkaya karya sastera dan seterusnya mengangkat sastera di mata umum.

Berbalik kepada HSBI yang diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka pula, saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Saudara Rozlan tentang kesan dan impak HSBI yang harus dilaksanakan dalam bentuk antologi seperti yang berlaku kepada Hadiah Sastera Karya Utusan (HSKU). Namun, itu semua perlukan gerak kerja yang bukan main-main.

Saya berharap, keupayaan penulis, penerbit dan penaja memungkinkan sastera diangkat ke tempat yang sepatutnya terutama sastera berunsur Islam yang akan membantu kerajaan dalam menangani isu-isu kebejatan sosial masyarakat. Tidak dinafikan bahawa penulisan dan karya banyak mengubah manusia dan masyarakat ke arah yang lebih baik.

Di sinilah, maka saya kira penulis, penerbit dan pembaca akan merasa betapa manisnya buah yang di hasilkan oleh pohon yang ditanam dengan limpahan ilmu dan kudrat yang bukan sedikit itu.

PENUTUP

“Abah mahu tebang pohon mempelam dibelakang rumah,” sahut abah ketika saya tanyakan mengapa dia membelek-belek mesin gergaji pemotong pokok.

“Jangan abah. Nanti nak baca buku di mana? Kalau ibu buat cempedak goreng, kan bagus dapat makan di bawah pohon itu ramai-ramai. Juga sangat kasihan dengan burung-burung yang mula membuat sarang menjadikan pohon itu tempat menyambung generasi,” jawab saya dengan rasa bimbang sekali.

“Baca buku di rumah sahaja. Makan cempedak goreng di beranda. Ada angin nyaman sambil menonton televisyen. Burung-burung itu, telah tuhan cipta dengan kemandirian yang tinggi. Mereka tahu mencari tempat berteduh.” jawab abah sambil berlalu meninggalkan saya.

Dengungan kasar mesin gergaji pemotong itu melagukan tangis yang bukan sedikit buat saya dan adik. Ya, kerana pohon itu mandul, abah menebangnya. Kerana pohon itu uzur juga abah melupuskannya kerana bimbang ia menimpa rumah kami.

Pohon yang manakah yang tidak perlu ditebang atau dibuang kalaupun ianya mandul?

“Pohon rasa yang penuh dengan ilmu pengetahuan. Maka rasanya akan menyubur pohon hidup kamu juga buahnya boleh diberi kepada orang lain.”

Itu kata abah. Benar. Ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah. Sekadar menjadi tempat singgahan. Namun masih bermanfaat bukan.

Jadilah pohon. Pohon apa sahaja.

DSC_0252-Edit

“Hey Hamdan, awak baca diari saya ya?” tanya saya kepada rakan sekelas yang sedari awal tahun persekolahan kami seperti kucing dengan anjing. Sebetulnya bukan pertanyaan, tetapi tempelak.

“Mana ada,” nafi dia.

Saya menarik muka masam, dan kami bergaduh lagi dan lagi.

Waktu itu kebencian saya pada dia diterjemah melalui contengan dan ukiran pada pokok berdaun lebar [seperti dalam filem Ali Setan - Ali love Asmidar]. Tetapi saya tulis ‘Hamdan Badak’.

Diari itu masih ada. Masih ada kisah kita, Hamdan. Juga tentang kawan-kawan yang lain. Lily Teoh, Aru, Lela, Gee, Syam, Zura, Midah, dan semua.

KOMA

Saya suka menulis dengan jemari menggunakan pen atau pensil. Selalunya pen. Tetapi kadangkala, saya lupa di mana saya letak pen. Beg saya besar, ada banyak kocek dan bahagian. Mana sempat mahu mencari di kala ilham datang menimpa.

Kertas memang sentiasa ada. Nota kecil. Jika tiada saya perlukan tapak tangan untuk mencatit nota.

Tulisan tangan tidak kisah apa rupanya. Cakar ayam, cantik-cantik, serong tepi sebelah kanan atau serong tepi sebelah kiri. Leper-leper atau bulat-bulat. Kurus-kurus atau gemuk-gemuk. Kadang nampak kemas dan kadang, saya sendiri tak mampu nak baca.

Tulisan biar pelbagai, kata kawan sekolah dahulu. Biarkan tangan menari dengan rentaknya. Kerana setiap rentak ada emosi yang di bawa. Ada cerita. Ada rasa.

Jadinya saya bukan seperti Dahlia, yang sentiasa tekun dengan disiplin dan stail tulisan tangannya. Buku sekolahnya dari muka surat pertama sehingga akhir mempunyai tulisan tangan yang sama. Seperti tulisan yang ditaip menggunakan komputer. Sekejap saya kagum dengan dia.

Menurut tafsiran kawan-kawan, dia seorang yang tegas dan tetap pendirian. Itu kata mereka berdasarkan tulisan tangannya. Memang dia seorang yang tetap pendirian dalam apa jua perkara. Disiplin. Tapi itu bukanlah mengagumkan benar kerana hidup Dahlia tiada kerencaman.

Membosankan, kata seorang kawan lain yang tulisan tangannya sangat cakar ayam. Samsul, seringkali dimarahi cikgu kerana tulisan tangannya sangat tidak kemas dan menimbulkan kesusahan buat cikgu untuk membacanya. Samsul bukan peduli itu semua. Dia tetap dengan ‘cakar ayam’nya. Sampaikan apa yang dia tulis tidak langsung dapat dia baca akhirnya. Tetapi dia kata itu seni. Kami iyakan sahaja. Malas mahu bertekak dengan dia.

Mungkin juga Samsul tahu yang kegagalannya dalam SPM adalah 90% disebabkan tulisan tangannnya.

Saya menjadi penulis dan wartawan. Jika membuat kerja rasmi, saya akan menulis laju-laju. Laju-laju apabila mendengar ucapan tanpa teks. Laju-laju apabila mahu mencatat ucapan itu yang akhirnya bakal diterjemah melalui berita.

Jika menulis diari pula, selalunya ikut rasa dan sedikit akal. Ya, saya punya diari peribadi. Itu bukan lumrah seorang wanita. Tetapi memang saya paksakan diri untuk mengadakan diari yang bertulis tangan. Di dalam diari itu ada jiwa rasa saya. Ada peristiwa, ada suka-suka. Ada segalanya. Memang menulis mengikut rasa. Tulis sahaja selagi punya rasa ketika itu. Ketika ketika yang lain, rasanya juga lain.

Diari itu juga, bukan sahaja ada cerita, malah ia adalah perjalanan hidup yang apabila sampai waktunya kita akan lupa. Dokumentasikan perjalanan hidup bukanlah mudah tetapi tidaklah sesukar mana. Percayalah ia amat membantu bukan untuk mengimbas kenangan lama dan cerita silam tetapi juga untuk menilai sejauh mana kita menjadi manusia dan sejauh mana kita berfikir.

Tulisan dan cerita, saling seiring.

Kerana itu, dalam diari saya punya pelbagai bentuk tulisan. Tulisan tangan tidak kisahlah bagaimana. Cakar ayam, cantik-cantik, serong tepi sebelah kanan atau serong tepi sebelah kiri. Leper-leper atau bulat-bulat. Kurus-kurus atau gemuk-gemuk. Kadang Nampak kemas dan kadang, saya sendiri tak mampu nak baca.

KOMA

A. Samad Said, dalam dokumentari A.Samad Said – Kehidupan Seorang Seniman turut menyimpan diari bertulis tangan saban hari dan tahun. Dan diari itu juga dikatakan disimpan di dalam peti besi di sebuah bank.

Pak Samad bukan sahaja mencatit akal-rasanya di dalam buku-buku yang beliau baca, malah mencatit apa sahaja di dalam diarinya. Uniknya, diari beliau dicatit menggunakan pen yang perlu dicelup dalam cecair dakwat.

Lihat sahaja manuskrip bertulis tangan untuk puisi Al-Amin yang merupakan puisi moden tentang kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Puisi ini merupakan  yang terpanjang dihasilkan di Malaysia. Melihat salinan asal penulisan puisi itu, yang bertulis tangan sangat mengagumkan saya. Memperlihatkan betapa sukarnya menghasilkan sebuah puisi. Bukan kerja main-main.

“Tulisan tangan adalah medium untuk hasilkan karya sastera. Seni tulisan tangan adalah karya seni tersendiri.”

KOMA

“Mana awak tahu saya suka warna hijau dan suka makan kek coklat?” tanya saya pada dia suatu ketika dahulu.

“Ada la,” jawab dia sambil tersenyum.

Tapi saya masam muka, menganggap dia membaca diari saya yang ketika itu tertinggal di bawah meja belajar di sekolah. Kami tidak bertegur sapa lebih kurang beberapa bulan. Akhirnya saya sedar, hal kek dan warna kesukaan itu bukan hanya tersimpan di dalam diari. Saya pernah beritahu dia semasa kami mahu mengadakan jamuan di sekolah.

Catatan hidup saya bukan hanya di tangan, tetapi di bibir juga. Jadinya, saya perlu belajar berfikir sebelum bercakap.

Terlajak perahu la kawan.

hh

Hujan.

Di sebuah taman.

Cahaya cuma di sebatang tiang.

Bulan katanya mahu beradu awal.

KOMA

Malam tadi saya menonton teater Intan Yang Tercanai. Sendiri. Bukan kerana kawan sedang sakit. Tapi memang mahu sendiri.

Intan Yang Tercanai karya Sasterawan Negara Noordin Hassan dan pengarahnya ialah A.Wahab Hamzah. Ditayangkan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Teater ini bukan hanya tentang kejadian Terowong Al- Mu’aysam yang mengorbankan 1.426 jemaah haji pada tahun 1990.

Bukan juga persoalan perikemanusiaan dan keprihatinan manusia semasa dilanda musibah.  Walaupun dalam bab ini saya memikirkan beberapa perkara yang saya rasa ‘benarkah perbandingan yang dibuat oleh penulis skrip ini?’.

Hal ini terjelma apabila dalam dialog Ungku Intan Anis, ada menyebut lebih kurang begini, “di Mekah, semasa mengerjakan tawaf dan rukun haji yang lain, manusia saling tolak-menolak demi melangsaikan ibadah yang ingin dilakukan. Sedangkan, semasa perayaan Kavadi, manusia sangat bersopan dan meminta maaf jika terlanggar sesama sendiri.”

Ini adalah kritikan terhadap masyarakat Islam yang ghairah mengejar ibadah kepada Tuhan sehingga melupakan manusia lain di sekelilingnya. Saya terima hal ini. Benar, ramai manusia sanggup melupakan hal lain semata-mata mahu mendapat pahala yang besar dari Allah s.w.t, padahal hubungan sesama manusia juga penting. Maka, Ungku Intan Anis dan jemaah yang terkorban itu adalah lambang kegelojohan para jemaah pada waktu itu. Dan juga mungkin panik. Maka di sini sebenarnya ujian Allah s.w.t kepada hamba-Nya.

Poster Intan yang Tercanai

Intan, bagi saya adalah keperibadian yang bertitik tolak dari hati. Hati yang bersih menginginkan yang terbaik buat sahabat. Hati yang bersih yang menginginkan terbaik buat keluarga yang dilanda kesesatan. Hati yang dicanai dengan iman dan ketaqwaan yang tinggi kepada Tuhan sekalian alam.

Persoalan persahabatan yang memaknakan antara satu sama lain. Ikhlas. Antara Ungku Intan Anis dan Danial, terlahir dari persahabatan yang tulus tanpa prejudis dari aspek tingkahlaku masing-masing dan agama yang dianuti dapat digambarkan dengan berkesan. Dan peribadi yang sangat kuat dalam diri Ungku Anis menjadi kekaguman kepada Danial. Ini mungkin membawa persoalan agama  yang harus menunjukkan contoh dan kemanisan Islam yang sebenarnya kepada sesiapa juga.

Babak perselisihan antara Ungku Intan Anis dan ibu tirinya, Makcik Yong Sutinah – Ungku Intan Anis dipaksa menjadi pelakon, dipaksa menerima pinangan dalam usia yang muda, dan susuk yang dipakai oleh Makcik Yong Sutinah adalah antara beberapa  isu yang seringkali dihadapi oleh masyarakat Islam di negara ini.

Makanya, segala persoalan persahabatan berlainan agama, permasalahan agama dalam keluarga sendiri dan persoalan ketaatan kepada agama menjadikan Ungku Intan Anis dilahirkan dengan keperibadian yang unggul sehingga menjadi kekaguman kepada penganut agama lain.

Ini teater kemanusiaan dan agama.

Persembahan teater ini cantik dan manis.

Selanjutnya :

Janggeltrekker’s Life

Ajamihashim

Faisal Tehrani

s

Terkesima tatkala membaca mesej ringkas seorang teman penulis yang sederhana di kala rembang senja, sepulang dari pejabat beberapa minggu lalu.

Dia memberi beberapa bait puisi tentang cermin. Bukan untuk saya. Tetapi begitulah kami sejak akhir-akhir ini. Walau tidak pernah bersua atau mendengar suara, hubungan kawan tetap terjalin. Ia ikhlas tanpa prejudis. Dan kami saling bertukar pandangan tentang puisi. Tentang penulisan. Tentang kawan. Tentang cermin.

Beberapa hal tentang cermin membiak subur dalam fikiran.

Tentang diri, hidup, kerja, kawan- kawan dan keluarga.

Cermin itu, analoginya pelbagai dalam diri setiap manusia.

KOMA

Cerita seorang teman pejabat dan cerita saya juga tentang orang yang sama mengenai perilakunya yang tidak semenggah dengan teman-teman yang lain. Menjadi ‘gunting dalam lipatan’. Mengenakan orang lain setelah diri sendiri ‘cedera’. Maka, hal ‘cermin diri sendiri’ keluar dalam rongga perbincangan kami. Ada cerpen bakal menyusul, janji saya kepadanya setelah dia meminta saya memindahkan kisah itu dalam bentuk kreatif.

Cerita seorang teman penulisan tentang seorang teman penulis yang lain yang menjadi ‘duri dalam daging’ juga mengungguli pagi kami dalam bual bicara melalui telefon bimbit. Begitulah katanya, apa yang ditulis tidak menggambarkan peribadi penulisnya. Ya. kita sekadar menulis.

Dan apabila dia membicarakan hal ‘air muka’ yang menjadi cerminan diri seseorang, saya agak terdiam. Kerana hal itu jarang saya perhatikan dalam berkawan. Hanya mahu ikhlas berkawan. Dan saya harus lebih berhati-hati selepas ini. Bukan untuk tujuan apa-apa, sekadar untuk menenangkan silaturahim sesama rakan selepas ini.

Tulisan tangan sama ada kemas atau ‘cakar ayam’, sama ada penuh falsafah atau lelucon, tetap mencerminkan diri penulisnya.

Cara bekerja, sama ada tersusun mengikut jadual atau tunggang- langgang ikut suka hati, juga mencerminkan diri orang yang mengerjakannya.

Cara bercakap, melalui nada suara dan pemilihan perkataan yang dituturkan akan mencerminkan budi bahasa dan akhlak orang yang bercakap.

Begitu juga cara makan, cara memandang, cara berjalan, cara memasak, cara memegang, cara mengemas, cara memakai baju, cara memakai kasut, cara bersolek, cara memandu, cara memegang sesuatu…haih…semua cara yang kita aplikasikan dalam hidup seharian menjadi cerminan kepada orang lain.

KOMA

Ini tentang kawan yang saya kira tak perlu saya minta dia cermin dirinya sendiri. Cuma kawan, usah bertingkahlaku demikian dengan saya. Ia amat menjengkelkan dan memualkan.Usah teruskan. Belajar selarikan usia dengan akal.

Hari ini, status facebook saya – Selamat pagi. Terima kasih ‘bukan kawan’. Kebobrokan kamu menjadi cermin kepada saya.

Dan ia mencerminkan situasi yang kurang tenang untuk diri saya oleh mata kawan-kawan yang lain.

bi

“Anak kedua dalam keluarga?” tanya seorang kawan.

“Ya. Mengapa?” tanya saya kehairanan.

“Selalunya, anak kedua dikaitkan dengan unsur ‘penawar dan racun’.” Dia menjawab telus.

Saya kira anak kedua yang digelar ‘angah’ memang selalu menjadi racun dan penawar dalam keluarga. Perangainya pelik-pelik dan kadangkala menghiburkan.Tetapi saya lebih rasakan bahawa dalam diri setiap manusia ada unsur itu. Bukan khusus untuk ‘angah’ sahaja. Benar. Serius.

Saya tidak berapa suka bercerita hal-hal begini yang memperkata tentang sikap dan tingkahlaku melalui bulan kelahiran, kedudukan dalam keluarga, tapak tangan, anggota badan atau apa sahaja.

Terasa peribadi di selongkar.

Tetapi, baik juga mengetahui hal-hal begini untuk tujuan-tujuan tertentu. Contohnya, untuk tujuan berkawan.

Untuk hal-hal lain juga ada racun dan penawar. Ada dalam setiap perkara dan benda.

Makanan, boleh jadi racun dan penawar.

Cinta, ada racun dan penawar.

Penulisan, boleh menjadi racun dan penawar.

Hiburan, kadang menjadi racun, dan kadang menjadi penawar.

Politik, katanya banyak racun dari penawar.

Jiwa, ada racun dan penawar.

Jadinya, jika kamu diracuni, maka carilah penawarnya dalam diri. Pasti ada.

KOMA

Kata ibu, kawan itu umpama racun dan penawar.

Perlu kedua-duanya untuk hidup.

Racun, untuk mengetahui apa yang tidak boleh dalam berkawan.

Penawar, untuk mengetahui apa yang perlu dalam berkawan.

Ya, saya kira kawan-kawan yang ada sekarang ada yang bersifat racun dan ada juga yang bersifat penawar. Saya kawan kesemuanya. Yang ada dua-dua sifat ini, untuk saya belajar dan meneruskan hidup.

Tapi kawan, jika kamu diracuni, ia membimbangkan saya apatah lagi jika saya tidak mampu menjadi penawarnya.

Maaf. Saya juga beku.

dd4

Semasa pulang ke kampung baru-baru ini, halaman ibu agak kusam dan tiada serinya. Banyak pokok bunga yang layu dan tidak berbunga. Yang ada cuma pokok bunga Cina yang sentiasa senyum pada semua.

Kata ibu, biarkan, ini musim mereka tidak bersemangat. Usah buang, nanti apabila tiba ketikanya, ia akan hijau dan berbunga semula.

“Iyakah?” tanya saya sambil memandang ibu yang saya kira paling cantik di dunia.

“Eh, tak percaya pula,” jawab ibu sambil terus membersihkan saki-baki rumput kecil di sekeliling pasu bunga.

Kita juga begitu. Usah gundah, kerana semua yang ada dalam diri kita dan dunia ini ada pasang surutnya. Tiada yang konsisten. Itu kata ibu yang saya akui kebenarannya.

Saya menanti pasang dan mahu mengucapkan selamat tinggal kepada surut.

DSC_1012

Ya. Kawan-kawan marah bila saya buat begini.

Kawan-kawan yang saya suka.

“Kata tidak mahu berblog lagi?” tanya kawan pejabat yang melihat saya membelek-belek blog kesayangan saya.

Saya diam. Mencari alasan.

Ya, saya sayang blog saya. Kerana ini jiwa saya. Ini perjalanan saya dua tiga tahun ini.

Dan saya kira keputusan ini penting untuk saya dan kawan-kawan saya.

KOMA

Blog Psittacula ini, kenapa saya perlu berhenti menulis di blog ini?

Sebab tepu. Sebab kata-kata saya, dan pendirian saya disalah erti oleh pembaca yang tidak mengerti [baca: kawan-kawan yang saya tak suka dan mereka pun tak suka saya. Hahaha...]

Saya perlu berhenti kerana separuh perhatian dan ketaksuban saya pada kehidupan tertumpah di sini.

Saya perlu berhenti kerana blog ini mencuri daya menulis saya yang sepatutnya tertumpah ke medium yang lebih baik dari ini.

KOMA

Blog Psittacula ini, kenapa saya perlu meneruskan blog ini?

Sebab blog saya ramai pembaca. Hohoho…..perasan. [statistik, biarlah saya sahaja tahu]

Sebab menerima banyak email, sms, ym dan secara muka meminta saya usah berhenti.

Sebab saya perlu medium santai untuk mengikis tekanan. Caranya menulis apa yang membebankan di dalam blog ini. Ya. Ini alasan yang utama.

Keduanya, saya mahu berkongsi pengalaman saya kepada kamu yang membaca blog ini. Pengalaman kita berbeza bukan?

Ketiganya, saya punya ramai kawan yang baik-baik dan berbakat. Saya perlu cerita kepada kamu semua tentang mereka. Tentang cara mereka memperoleh kejayaan. Tentang cara mereka menangani kegagalan. Supaya kita saling memanfaati.

Keempat, saya punya ramai kawan yang memerlukan sokongan saya. Kami jarang berjumpa. Jadi blog adalah medium terbaik untuk saya dedikasikan kata-kata semangat buat kawan-kawan saya. Ini termasuklah berkongsi masalah mereka dengan mereka dan kamu. Dan komen-komen dari kamu, beri semangat yang besar buat yang lain.

Kelima, saya mempunyai banyak perkara baik mahu dikongsi. Contohnya, buku-buku yang kawan-kawan saya tulis.  Tempat-tempat menarik yang saya dan kawan-kawan saya pergi. Dan peristiwa-peristiwa yang saya kira harus di rakam dalam bentuk penulisan untuk rujukan.

Saya perlu berhenti di sini walaupun senarai sebab mengapa saya perlu blog ini tak akan habis.

KOMA

Jadinya, saya fikir melihatkan sebab-sebab di atas. Apa yang perlu saya buat?

Berhenti.

Atau.

Terus.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 26 other followers