Mei 2009


dingin

ketika kau bicara
tentang dosa dan pahala
dalam dingin,
aku katakan;  iya, aku tahu
padahal aku tidak mengerti apa

Sambil terus buat-buat mengerti.

b

DSC_0253

Sebahagian buku yang baru dimiliki. Akan saya baca tanpa pening memikirkan hal masa. Terima kasih kak Syarifah Khadijah yang menghadiahkan Kumpulan Cerpen dan Puisi Selingkar Kasih buat saya.


“Tahu tidak kenapa kita selalu kata, seronok ketika sekolah, tiada masalah, enjoy sahaja,” tanya saya kepada dia.

“Tidak tahu,” jawabnya bersahaja.

Saya syak dia malas mahu melayan pertanyaan saya kerana dia malas berfikir. Dia selalu kata, dia sudah malas berfikir kerana berfikir hanya memenatkan dan berfikir hanya diaktifkan ketika zaman sekolah.

Jadinya, saya beri jawapan. Bukan fakta, tetapi ikut logik akal saya.

Saya kira, kita melihat zaman persekolahan sebagai zaman yang paling menyeronokkan kerana pada tahap ini [kita telah dewasa], kita sering dihimpit pelbagai tekanan, cabaran, bebanan, tanggungjawab dan sebagainya yang tidak boleh terelakkan bukan?

Jadinya, kita rasa mahu kembali ke zaman itu. Zaman persekolahan yang menyeronokkan.

Padahal, ingatkah lagi perasaan kita pada zaman persekolahan dahulu? Bukan manis sangat pun.

Perkiraan saya juga, jika kita benar-benar mempercayai doktrin bahawa zaman yang paling menyeronokkan dalam hidup adalah zaman persekolahan, jadinya, kita perlu belajar dan hidup seperti zaman itu.

Dapat tangkap persoalan yang ingin saya hujahkan?

Kata kuncinya ialah jadual waktu. Semasa sekolah hidup kita penuh dengan jadual bukan? Jadual yang membolehkan kita menjalani hidup dengan lebih baik. Saya rasa.

Tentu ramai yang tidak bersetuju dengan alasan, ‘hidup hanya sekali, usah ikatkan diri dengan jadual waktu segala bagai’. Jalani sahaja hidup ini.

Ok, kalau begitu usah mengeluh kawan dengan hidup yang sekarang. Setiap zaman punya suka dukanya tersendiri. Jalani hidup dengan zaman apapun, kanak-kanak, pelajar sekolah, remaja, dewasa ataupun usia yang senja.

KOMA

Untuk hal yang sungguh-sungguh, kita akan lakukan apa sahaja. Untuk menunjuk pada orang lain ataupun untuk berbangga dengan diri sendiri.

Dua-dua tidak salah.

Hal terpenting, setiap apa yang diusahakan dengan sungguh-sungguh, tentu ada jalan melaksanakannya. Pengurusan dan jadual.

KOMA

Saya bersungguh-sungguh dalam hal penulisan.Penulisan untuk kerja rasmi semakin tidak berjadual dan tidak terurus. Makanya, saya harus menjadualkan hal itu demi kerana janji saya yang mahu bekerja bersungguh-sungguh ketika hari pertama berada di sini.

Saya bersungguh-sungguh dalam bidang penulisan di luar bidang kerja rasmi. Jadinya, saya perlu menjadualkan hal itu agar tidak bercempera dengan kerja rasmi [padahal sama bidang].

Terima kasih rakan penulis yang mapan dan baru bertatih kerana bersama-sama saya dalam mendaki puncak cita-cita dalam dunia penulisan. Saya sangat hargai itu.

Oh ya, saya bersungguh mahu manfaatkan buku-buku yang saya miliki. Jadinya, saya telah membuat senarai buku secara manual dengan ruangan bilangan, tajuk buku, pengarang, penerbit dan status buku [sama ada sudah dibaca, masih belum dibaca ataupun dipinjam oleh kawan]. Juga menguruskan hal buku dan isi kandungannya melalui cara yang tidak manual, Goodreads.

Saya bersungguh-sungguh dalam bidang fotografi. Jadinya, saya perlu menjadualkan hal itu dan menguruskan hal yang bersangkutan dengannya – tutorial tentang hal-hal fotografi, peralatan fotografi dan jiwa fotografi.

Saya, bersungguh-sungguh mahu hidup.

Dia menyampuk, “jadi jangan asyik kata tidak mahu hidup lagi. Jangan abaikan ubat. Jangan sakit hati. Jadualkan dan uruskan hidup dengan sebaik-baiknya.”

“Iya, Iya…” jawab saya malu dengan diri sendiri.

KOMA TERAKHIR [ Beerti noktah untuk entri yang panjang ini].

Kamu, kononnya sering mahu kembali ke zaman anak-anak kecil dahulu. Mahu hidup dengan tiada payahnya.

Sama sahaja kawan. Dahulu atau sekarang. Semuanya ada percaturan dan jadual. Ada susah dan ada senang.

Sama ada mahu teruskan atau berhenti.

Sama ada mahu menjadi pencetus atau pengikut, bersungguh-sungguh itu penting.

DSC_0102

Gambar-gambar yang lain boleh dilihat Facebook saya.

140 hingga 160 km/j. Seremban ke Melaka.

Mungkin boleh dipujuk rasa ‘terbang melayang’ itu dengan dendangan muzik gamelan dari Sunda yang diiringi bunyian air dan burung berkicauan.

Pemandu mempunyai platform yang baik iaitu lebuh raya yang baik turapannya dan tidak sesak seperti lebuhraya Kuala Lumpur.

Pemandu juga punya tiket yang baik iaitu lesen memandu.

Saya kira kisah di atas mampu menjelaskan serba sedikit konsep platform dan tiket.

KOMA

Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 yang dihadiri baru-baru ini sangat terkesan kepada saya sehingga saya menyesal tidak sudah dengan keengganan membawa lap top ke sana. Jika tidak pastinya entri blog saya sejak hari Jumaat yang lepas dipenuhi idea baru tentang perhimpunan ini.

Banyak perkara berlaku selama 3 hari berkampung di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka itu.

Seperti biasa, bertemu dengan penulis muda dan mapan, membeli buku [lagi], mendengar pembentangan kertas kerja dan menikmati perbincangan yang mencabar minda.

Pemilihan tajuk perbincangan dan kertas kerja amat bertepatan dengan tema perhimpunan kali ini iaitu “Perjuangan penulis Muda : Arah dan Cabaran”. Jadinya pelbagai isu tentang pemikiran, teori, arah tuju, cabaran dan isu bahasa (baca: PPSMI) dihujahkan. Juga terlibat sama hal kepimpinan dan sistem pendidikan.

Cuma beberapa perkara yang saya lihat amat tidak cantik dan tidak ranum untuk diperkatakan.

Pertama, persatuan penulis bukanlah satu tiket untuk kita berasa megah di dalamnya. Persatuan penulis hanyalah platform yang baik untuk kita belajar dan belajar. Dan ia bukan tiket untuk kita membangga diri dan lantang bersuara tanpa berfikir.

Berkarya dengan bebas melalui idea dan kepompong yang pecah [idea yang tidak terkongkong] serta menyebarkan karya itu di dalam medium yang pelbagai, itulah yang saya fahami melalui kertas kerja Saudara Ariff Muhammad.

Sila baca kertas kerja beliau di muka surat ke 10 melalui tajuk kecil, ‘seseorang penulis seharusnya…’. Baca item nombor 4.

Keduanya, sebelum bertanya soalan kepada panel, sebaiknya pendengar memberi perhatian sebaiknya agar tidak wujud pertanyaan yang ‘salah faham’ dan prejudis sehingga menutup peluang soalan yang lebih bernas diajukan.

Peserta [baca : penulis dan wartawan] merupakan platform yang baik untuk bertanya soalan kepada panel pembentang atas dasar ketidakfahaman dan mohon penjelasan lebih lanjut. Tetapi, saya fikir peserta tidak boleh gunakan tiket kebebasan bertanya itu dengan sewenang jika diselaputi emosi dan ‘latahan’ yang memanjang.

Ketiga, panel pembentang adalah platform terbaik untuk menyebarluas ilmu dan pengetahuan yang dimiliki. Dan saya kira panel pembentang tidak pernah diberi tiket untuk tidak menjawab soalan.

Jadinya, konsep platform dan tiket yang saya jelaskan di ‘koma’ kedua ini diharap betul dan difahami oleh pembaca.

InsyaAllah, saya akan menulis lagi tentang hal ini kemudian nanti.

KOMA

Ada satu perkara yang saya temui dalam seminar kali ini iaitu orang yang bijaksana tidak akan menguar-uarkan kebijaksanaannya dalam apa jua bentuk terutama percakapan.

Juga, bercakap tanpa berfikir tidak bagus untuk menjaga air muka.

Sekarang saya faham, mengapa ramai penulis lama dan mapan mempunyai sifat pendiam. Diam mereka berisi rupanya. Menjawab bila ditanya, itupun sepatah-sepatah dan bercakap dengan fikir yang panjang.

Mari kita sama-sama belajar wahai penulis muda.

Senyum, bukan boleh dibuat-buat apatah lagi di kala diri dihinggapi musibah. Tapi, senyum itu perlu kawan. Amat perlu.

Saya mencari senyum. Untuk sementara jumpa juga. Saya tersenyum dan harap kamu juga tersenyum. Jangan sedih-sedih okey.

*Ini maknanya saya perlukan terapi.

loveu

“Saya tidak mahu bercakap kerana ada orang yang tidak mahu mendengar,” kata seorang ahli panel yang kami jemput dalam satu seminar yang diadakan baru-baru ini.

Dan ‘makcik’ yang berdua itu, terus bercakap-cakap sedangkan pada waktu itu mereka sepatutnya mendengar kerana ada orang lain yang telah diamanahkan untuk bercakap-cakap.

Bercakap dan mendengar merupakan aspek penting dalam komunikasi yang berkesan.

Jika kamu tidak mendengar, makanya kamu tidak akan dapat apa-apa daripada apa yang dicakapkan oleh orang lain. Malahan, mungkin sikap kamu yang tidak mahu mendengar malah bercakap-cakap pula, akan menggangu orang lain yang mahu mendengar apa yang dicakapkan oleh panel penceramah.

KOMA

Setiap orang pandai berkata-kata selagi dia tidak bisu. Berkata-kata demi mempertahan pendirian, demi menjelaskan sesuatu, memberitahu kepada yang tidak tahu dan macam-macam tujuan lain.

Ada juga yang suka berkata-kata demi menunjukkan bahawa dia lebih pintar daripada mereka yang mendengar. Berkata-kata demi memperlihatkan kebijaksanaan agar dipandang lebih tinggi darjatnya daripada yang ada di sekelilingnya.

Ada yang berkata-kata dengan percuma. Bersedekah ilmu dan pengetahuan yang ada.

Ada juga yang berkata-kata untuk dibayar. Mahu tahu? Bayar dahulu…

Pendek kata, setiap orang yang tidak bisu akan berkata-kata apa sahaja atas tujuan yang tersendiri dan dengan cara tersendiri.

Tetapi, berapa ramai yang suka mendengar daripada bercakap?

KOMA

Ada yang tidak puas hati dengan industri perfileman dan industri hiburan tanah air.

Katanya, industri hiburan kita terlalu membosankan dan tidak menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berbudaya tinggi. Artis kita tidak bagus dan tidak berkualiti. Drama dan filem kita tidak asli dan tidak boleh diangkat sebagai karya yang membanggakan.

Jadinya, apa usaha kita untuk memperbaiki situasi yang kita ‘kata-katakan’ tadi? Dan kepada siapa harus kita dengarkan hal ini?

Kita cuba hasilkan skrip filem dan drama yang baik? Kita cuba memikirkan satu medium terbaik untuk mengawal tingkahlaku artis-artis kita yang mencemar budaya dan bangsa? Atau kita akan mengeluarkan dana berpuluh juta untuk hasilkan filem-filem yang sama darjatnya dengan filem antarabangsa?

Ada yang menyampah sangat dengan industri penerbitan dan penulisan buku di negara kita.

Maka katanya penulis kita tidak berani memecah tembok kebiasaan. Penulis kita tidak banyak berfikir dan hanya mahu menulis hal-hal biasa. Penulis kita malas mengkaji. Penulis kita sombong dan itu ini lagi.

Jadinya, adakah kamu sertakan sekali resolusi yang terbaik untuk ‘mengajar’ penulis kita agar menulis hal-hal yang besar-besar dan menulis hal-hal yang lain dari yang lain sehingga apabila kamu membaca atau menghayati karya penulis itu kamu akan kata, ‘wow’?

Ada yang sangat benci dengan percaturan politik negara sehingga apabila menyebut nama para pemimpin yang tidak digemari, maka akan terkeluar ayat-ayat yang tidak manis malah sangat ‘payau’ sehinggakan tanpa berfikir dan meneliti secara panjang lebar, kesemua pemimpin negara akan dilabel dengan label yang sama iaitu pemimpin ‘kotor’.

Ada yang menepuk dahi lantas berkata-kata lagi tentang kebobrokan dan kebejatan tingkahlaku remaja masa kini yang katanya sangat tidak beradab, kehilangan jatidiri dan identiti serta macam-macam lagi.

Jadinya, apa peranan kamu, sebagai masyarakat yang prihatin akan hal ini? Ataupun sebagai pihak yang sepatutnya mendengar permasalahan yang dicakap-cakapkan ini?

Jadinya, mulut yang bersifat untuk bercakap ini, akan digunakan sebaiknya dan tidak sebaiknya untuk meluah rasa hati dan melontar segala fikiran.

Bercakaplah selagi kamu mampu. Bercakap yang baik-baik sahaja. Baik-baik sahaja.

Bagi pihak yang sepatutnya mendengar pula, dengarlah baik-baik. Baik-baik.

KOMA

“Kenapa senyap?” tanya saya.

” Sedang makan,” katanya.

“Ooo…jadinya, mulut juga digunakan untuk makan?” kata saya.

“Iye, bercakap dan makan. Bercakap untuk kenyangkan perasaan. Dan makan untuk kenyangkan perut. Tapi dua-dua fungsi itu mesti yang baik-baik. Bercakap yang baik dan makan yang baik,” katanya lagi.

Ok bos!

d

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia menerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) menganjurkan MULTAQA KEBUDAYAAN DAN KESENIAN ISLAM 2009 pada 16 Mei 2009 (Sabtu) bertempat di Bilik Senat (UKM).  Program berkenaan adalah anjuran bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan dan Persatuan Kakitangan Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKMANITA).  Program ini akan berlangsung mulai pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

Seramai 200 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli pertubuhan wanita Islam di Malaysia, ahli-ahli pertubuhan seni dan budaya, ahli akademik, budayawan, wakil media, ulama  serta pelajar akan hadir pada program itu.

Antara lain program ini bertujuan untuk memartabatkan kembali budaya dan seni Melayu Islam;  menjadikan budaya dan seni Melayu Islam sebagai cara hidup; menjelaskan kepada masyarakat kedudukan kebudayaan dan kesenian menurut Islam; mencadangkan garis panduan persembahan kebudayaan yang melambangkan identiti Malaysia dan Islam dan mempertemukan wakil-wakil NGO wanita Islam di peringkat kebangsaan .

Seminar yang membawa tema   “ISLAM MELESTARIKAN KEBUDAYAAN MALAYSIA’ ini akan diisi dengan ucaptama, pembentangan empat kertas kerja serta satu sesi forum.

Ucap tama akan disampaikan oleh Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat, UKM merangkap Ahli Jawatankuasa Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Prof Dr. Siti Rugayah Hj. Tibek dengan tajuk ucaptamanya `Mengaplikasikan Kesenian Dan Kebudayaan Sebagai Medium Dakwah’.

Empat kertas kerja yang akan dibentangkan adalah seperti berikut:
1.    Peranan Kebudyaan Melayu Dalam Membina Jati Diri Wanita oleh Prof. Dr. Siti Zainon Ismail, Sarjana Tamu, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
2.    Peranan Media Swasta Dalam Membina Jati Diri Wanita oleh Ir Ahmad Jais Alias (Pengarah Radio IKIM.fm) dan penyanyi kumpulan Nowseeheart, Encik Idzhar Jumali.
3.    Penerapan Budaya Dan Kesenian Islam Dalam Drama Dan Filem oleh Rashid Shibir (Pengarah Drama dan Filem) dan penulis bebas, Pn. Sujiah Salleh.
4.    Unsur Islam Dalam Novel; Pengaruhnya Kepada Pembaca oleh Dr. Mawar Shafie dari Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

Sementara itu, sesi forum akan membincangkan tajuk `Islam Melestarikan Kebudayaan Malaysia’ yang akan dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Asiah Sarji.  Manakala ahli-ahli panel terdiri daripada pelakon dan penerbit terkenal, Erma Fatima, Tan Sri Jins Shamsuddin dan Prof. Madya Mohamad Kamil Haji Abdul Majid dari Universiti Malaya.

Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh diajukan kepada Sekretariat MPWIM (Ustazah Normawati Muhammad) 012-2629836, Afiqah Mohd. Yusof (019-9412849) atau Unit Perhubungan Awam YADIM pada talian 03-22746077.

hujanitu

kukira hujan itu,
yang membasahkan hujung jari manismu,
dan sekali,
kau rebah di kaki langit.

Kukira..
hujan yang turun itu,
adalah senandung pilu,
ketika putusnya katamu,
ketika tekadnya niatku,

maka,
kita tak akan ada satu sama lain lagi,

Kukira begitu kawan!

*Hari keempat demam semakin okey. Dan langit mula menghitam. Ingatan, penduduk Kuala Lumpur, sila jangan teruja dan bermain dengan hujan walaupun kamu dan hujan sudah lama tidak bersapa.

DSC_0798

Hari ini, Hari Jururawat Sedunia. Itupun saya tahu dari saluran radio Sinar FM.

Tapi entah kenapa, jururawat yang saya temui hari ini tidak langsung tersenyum tanda bangga dengan kerjaya mereka.

Jadinya, saya tinggalkan klinik panel itu dengan ubat dan slip cuti kecemasan.

Waktu ini saya tidak menangis walaupun berkali-kali berjumpa dengan doktor ini dan jururawat klinik ini yang lokek dengan senyuman.

Semoga demam ini kebah segera.

Penat dengan demam.

KOMA

Badan saya semakin panas. Tekak pula semakin pedih walau dua papan pil hijau seperti gula-gula Polo itu telah saya hisap.

Tidak mengapa. Mungkin badan saya benar-benar letih dan mahukan rehat yang cukup. Dan ‘hapus dosa’ yang telah saya buat.

Saya kira pada hari pertama demam, dengan meninggalkan novel berat saya akan mampu merehatkan minda. Rupanya tidak. Bukan novel berat yang melelahkan lagi demam itu. Tapi saya rasa memang badan saya dan mental saya lemah.

Jadinya semalam dan hari ini, saya ‘layan’ hal-hal yang berat ketika berada di rumah.

KOMA

Semalam saya menonton filem 1200 Degrees. Mungkin ini filem lama sebab ditayangkan di saluran Astro. Tentang dunia perundangan, penyiasatan dan konflik di antara manusia dan undang-undang.

Saya menangis ketika trem yang terkandas di dalam terowong tidak dapat di selamatkan. Dr. Sabine Fink juga membawa wataknya dengan cermat dan comel. Saya suka bila ada skrip tentang falsafah kemanusiaan dipaparkan. Katanya, kemanusiaan bermakna, manusia tidak akan terkorban untuk satu-satu perkara. Jadi, manusia boleh menentang undang-undang yang kebanyakkannya memenangkan dan melindungi pihak tertentu.

Dan hal ini saya temui juga di dalam novel Panggil Aku Melaju karya Rahmat Haroun Hashim yang saya kira karyanya itu banyak memperkatakan dan menyindir isu semasa yang menyebabkan orang Kuala Lumpur banyak yang berpenyakit mental [jika kamu perasan dan jika kamu tegar mengikut perkembangan terkini dunia politik dan birokrasi di negara kita].

Selepas filem 1200 Degrees, ada filem Bukit Kepong bakal dihidangkan. Oh, saya tidak sanggup melihat filem itu yang saya rasa akan menjadi trauma yang panjang buat saya seperti zaman-zaman sekolah dahulu.

Tangis saya seka, cuba mengemas rumah dan cuba melawan rasa lelah.

KOMA

Hari ini, saya menangis lagi. Bukan hal doktor yang tidak mesra pesakit tadi dan err…saya kira ubat batuk saya mungkin tersilap kerana ia berwarna merah dan seperti ubat batuk kanak-kanak sahaja. Tidak mengapalah, doktor kan lagi bijak daripada pesakit. Telan sahaja.

Menonton Oprah, dan membaca Kacip rupanya boleh merangsang mental yang sedang sakit.

Oprah dengan topik yang agak menarik iaitu, “bagaimana anda menangani usia 40, 50 dan 60 tahun”. Pengurusan mental di Barat saya lihat sangat baik dengan adanya siri Oprah yang banyak memberi input yang baik dalam pelbagai hal.

Pelbagai kisah yang membawa tangis bukan sahaja kepada mereka yang di dalam televisyen itu, malah saya yang menonton juga turut menangis merasai keperitan dan kemanisan dalam menangani hidup yang hanya sekali ini. Adakah kerana saya perempuan?

Bayangkan, seorang pensyarah yang mempunyai 7 orang anak akhirnya menemui ‘hidup’nya semasa usia 47 tahun iaitu bermain muzik. Tidak terlupakan seorang akauntan yang berjaya akhirnya beralih arah dengan perniagaan coklatnya pada usia 54 tahun.

Saya kira Pipiyapong juga begitu. Berkenaan hal pencarian hidup, bertukar-tukar kerja dan pengalaman-pengalaman yang jika dilihat sekali imbas sangat ringan, tetapi sebenarnya tidak.

Membaca halaman-halaman awal Kacip saya kira buku blognya itu bukanlah cebisan perasaan dan luahan yang ringan. Saya menangis membaca beberapa kisah yang saya kira kita selalu lupa dan buat-buat lupa tentang kesusahan masa lalu yang banyak mematangkan kita pada hari ini. Tentang kisah Bob, tentang Kuala Lumpur dan diri penulis serta pengalaman-pegalaman kerjanya.

Saya kira, saya tarik balik kata-kata yang menyebut harga RM20 tidak berbaloi dengan buku yang nipis itu dan penulisnya yang terkedu ketika diminta menurunkan tandatangan. Saya kira terkedu dan terkial-kial itu adalah kesan pengalaman hidupnya yang lampau.

Baru baca sehingga mukasurat 63. Jadinya tidak boleh ulas lebih-lebih.


klabNovel Ketika Cinta Bertasbih dibeli di Mihas 2009, manakala Di Bawah Lindungan Kaabah di beli di KLIB 2009


“Sudah makan ubat?” tanyanya, agak menyejukkan hati.

“Sudah.” Jawab saya.

“Sekarang sedang buat apa? tanyanya lagi.

“Baca novel Panggil Aku Melaju,” jawab saya lagi.

“Apa? Novel yang berat itu? Berehatlah.” Dia agak terkejut.

Memang benar, ketika suhu badan meningkat tiba-tiba yang saya syak akibat cuaca yang sangat panas, sebaiknya saya berehat. Tetapi, mata tidak henti-henti merenung novel Panggil Aku Melaju ini yang sudah dibaca sehingga mukasurat 42. Sangat menarik.

Novel berat ini, akhirnya saya abaikan dan mula mencari buku-buku yang saya beli di Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2009 semalam.

Mungkin boleh pilih yang agak ringan sikit.

KOMA

Semalam, saya ke Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2009.

Membelanjakan sejumlah wang untuk buku-buku yang memang saya idamkan sehingga bajet untuk membeli dan menempah dua pasang baju kurung bulan ini telah dihabiskan.

Konon nak lihat-lihat sahaja.

Bahan bacaan berat dan ringan.

  1. Perburuan – Pramoedya Ananta Toer
  2. Subuh – Pramoedya Ananta Toer
  3. Gukat Di Jakarta – Pramoedya Ananta Toer
  4. Aku ini Binatang Jalang – Chairil Anwar
  5. Jatuhnya Sang Imam – Nawal el Saadawi
  6. Kasut Biru Rubina – Sufian Abas
  7. Dua Lauk – Taf Teh dan D’ianadi
  8. Akulah Perempuan Muda Itu – Shaira Amira (puisi pop untuk pari-pari terbuang)
  9. Kacip – Pipiyapong

Jadinya, dalam senarai ini, akan saya pilih yang ringan. Dan ingatan buat mereka yang benar-benar mahu mencari buku, ajaklah kawan yang suka membaca.

KOMA

Selamat Hari Ibu buat semua.

Sakit atau sihat.

bird

Pagi itu, kamu terlewat. Bersiap sebaik mungkin. Masuk kereta dan mulakan perjalanan. Buka saluran radio yang diminati dan nikmati lagu-lagu yang dimainkan. Kamu turut sama bernyanyi mengikut rentak lagu. Sekurang-kurangnya dapat melupakan kebimbangan lewat masuk ke pejabat dan mengurangkan rasa tertekan dengan keadaan jalan yang sesak.

Ketika kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat, kamu memerhati langit yang cerah. Matahari mula bersinar dan ya, matahari memang cantik apabila ‘bangun tidur’.

Kamu pandang sekeliling.

Mata kamu, tertempa pada mata dia. Dia, pemandu kereta di sebelah kereta kamu.

Senyum terukir. Dan ada debar di dada kamu.

KOMA

Kisah di atas, mungkin boleh dikembangkan menjadi sebuah novel. Kerana kisah cinta sangat laku dan diminati bukan sahaja oleh pembaca wanita, malah pembaca lelaki juga dalam sorok dan diamnya, menyimpan novel cinta di dalam laci meja kerjanya. Siapa tahu bukan?

Kerana kisah cinta tidak akan habis, kalaupun bukan dengan kekasih yang sama.

KOMA

Katanya, cinta itu tetap cinta walaupun tidak berbalas.

Kamu pula, mungkin berpendapat cinta itu harus berbalas untuk dinikmati dengan baik.

doicare

Itu status YM saya semalam dan hari ini. Bukan bermakna saya kata kamu bodoh dan bengap.

Cuma kawan, itu ingatan biasa untuk kita semua.

Dalam diri kita, termasuk saya, ada kebodohan yang kadang kita sendiri tidak ambil tahu dan tidak mahu mengakuinya.

Sampai bila?

Ada yang terasa?

Siapa makan cili, akan terasa pedasnya bukan?

KOMA

Cuba letak tetikus pada gambar di atas.

Nama fail gambar ini, jawapan untuk soalan kamu yang tidak bijak itu.

d2

“Dua tahun berlalu begitu-begitu sahaja,” jelas saya kepada dia.

“Tidak. Banyak perkara yang telah kamu lakukan. Kalaupun bukan untuk orang lain, ia untuk diri kamu sendiri. Untuk mengenal siapa kamu dan apa tujuan kamu hidup,” jawabnya menyedapkan hati saya yang mula benci dengan impian.

Impian, semakin dikejar semakin menghindar. Salah diri atau masih ada yang belum diberesi?

Shhh…

Saya telah habis membaca novel Tahun-Tahun Yang Dinanti dalam masa satu hari, pada hari Sabtu yang lepas.

KOMA

9784770028891l

Tahun-Tahun Yang Dinanti, sebuah karya terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka daripada novel The Waiting Years. Penulisnya Fumiko Enchi.

Saya temui buku yang hampir ‘dilupuskan’ [dengan tanda biru pada novel ini sewaktu saya memilikinya], kerana terpesona dengan ulasan kecil tetapi padat oleh encik Rahimin. Terima kasih juga kepada encik yang bekerja di syarikat D itu, yang telah mencarikan buku ini serta merta apabila saya menelefonnya apabila kecewa novel lama ini tidak dijual semasa Pesta Buku yang berlangsung baru-baru ini. Novel ini ada dalam stor dengan tanda biru.

KOMA

Tomo dalam novel ini bukan semata-mata menangani perempuan-perempuan simpanan (gundik) suaminya, tetapi lebih daripada itu lahir sebagai seorang isteri yang sangat setia menjaga maruah dan kesinambungan keluarga serta sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan aturan tradisi – ketaatan seorang isteri dalam apa jua perkara, dapat dilaksanakan olehnya, juga memastikan tiada ‘onar’ yang boleh memusnahkan keluarganya.

Tomo, menyimpan segala rahsia emosi seorang isteri yang sepi, seorang isteri yang harus menjaga keharmonian keluarga serta seorang isteri yang harus menjadi benteng yang kukuh agar segala masalah yang wujud dapat diseesaikan dengan baik.

Dalam hal ini, kritikan sosial yang dipaparkan ialah sikap  seorang suami yang ‘gatal’ dan tradisi sosial yang ‘menghalalkan’ penyimpanan gundik untuk suami. Shinakawa bukan sahaja bebas ‘bermain’ dengan geisha-geisha, malahan punya hubungan ‘nafsu’ dengan pembantu-pembantu rumahnya sendiri.

Menurut hemat saya sebagai pembaca, intipati sebenar dalam novel ini bukanlah hal Tomo yang sanggup mencarikan gundik terbaik untuk suaminya atas dasar agar institusi keluarganya terpelihara dengan adanya gundik yang boleh diharapkan dan dipercayai. Intipati novel ini juga bukanlah hal paparan emosi Tomo yang menjadi ‘kain buruk’ apabila suaminya punya gundik yang lebih muda dan cantik daripadanya sehingga biliknya dingin dan sepi.

Bukan juga hal kekuatan Tomo sebagai wanita yang sangat setia, kuat dan hebat meguruskan rumahtangga sehingga dipandang sebagai tunjang dalam rumah itu serta punya kelebihan membaca diri wanita lain.

Tahun-tahun yang dinanti, sebenarnya lebih kepada Suga. Gundik pertama yang didatangkan dalam keadaan suci dan naif (berusia lima belas tahun).

Suga, seorang gadis yang tidak tahu apa-apa. Didatangkan kononnya memberi khidmat terbaik untuk keluarga Shinakawa, dan akhirnya mengerti bahawa ‘khidmat terbaik’ itu adalah menjadi gundik. Suga adalah mangsa pengkhianatan ibu bapanya, Tomo dan Shinakawa.

Suga, menghabiskan zaman kanak-kanak dengan melayan nafsu Shinakawa yang berusia 24 tahun lebih tua daripadanya, terpaksa memejam mata dengan kehadiran Yumi sebagai gundik kedua serta bergaduh dengan emosi apabila Shinakawa turut menjalinkan hubungan sulit dengan menantunya sendiri, Miya.

Walaupun Suga menjadi gundik kesayangan Shinakawa, ia tetap menjadi kudis kepada Suga, apatah lagi apabila Yumi dibebaskan dan dibenarkan berkahwin. Suga tetap gundik, tetap seorang wanita yang menjadi perempuan simpanan. Suga tetap menjadi seorang wanita yang meniti tahun demi tahun sehingga usinya meningkat dan tidak memungkinkan dia berkahwin dan mempunyai anak serta keluarga sendiri.

Persepsinya kepada lelaki berubah, begitu juga kepada Tomo yang dianggap punca kepada penderitaannya dan kekosongan masa hadapannya tahun demi tahun.

Itu persepsi saya tentang novel ini.

KOMA

“Tahun-Tahun Yang Dinanti punya pengakhiran yang tidak saya harapkan. Seolah-olah ada bab yang tertinggal,” ulas saya kepadanya menerusi telefon genggam.

“Bagaimana?” tanya dia penuh minat.

“Oh, jangan tanya. Kamu harus cari masa dan baca sendiri. Lagipun kamu tahu, saya tidak akan berhenti bercakap tentang buku,” jawab saya yang tidak suka bercakap lama-lama di telefon.

Kamu tahu itu bukan? Apatah lagi bercakap hal-hal yang patut kita abaikan.

*Gambar buku tidak sempat diambil.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 26 other followers