“Saya tidak berapa berkenan apabila awak menari,” katanya, seorang jejaka yang merupakan atlit sekolah kami waktu itu.

“Mengapa? Saya minat Zapin, jadi saya menari sebab itu yang saya suka,” jawab saya [tiada alasan mengenai kecintaan terhadap budaya kerana waktu itu saya baru tingkatan tiga.]

“Entahlah. Memang manis Tarian Zapin itu. Tidak kisahlah tarian tradisional Melayu apapun, semua manis. Dengan lenggok lembut dan gerak tangan yang mulus. Aduhai, hati sesiapapun akan menjadi lembut melihatnya. Tetapi saya tidak suka apabila melihat penari perempuan. Sanggup buka tudung. Sebab itu saya tidak mahu awak pun terikut-ikut,” katanya panjang lebar.

“Habis, yang awak bermain bola sepak dengan berseluar pendek atas lutut itu, maniskah?” tempelak saya sambil berlalu meninggalkan dia.

KOMA

Saya dilahirkan di Negeri Johor. Anak jati Johor apabila emak berketurunan Melayu-Jawa dan abah pula Melayu-Banjar. Walaupun berpindah ke Negeri Sembilan sejak berusia enam tahun, itu tidak bermakna saya lupakan apa yang ada di dalam budaya orang Johor. Antaranya ;

  • Makan berdulang (nasi ambeng)Menu yang dihidangkan di dalam dulang dengan pelbagai jenis lauk pauk dan dimakan secara beramai-ramai. Katanya mempunyai nilai “hati gajah sama dilapah, hati kuma sama dicicah”. Berkongsi rasa dan katanya juga, bekas tangan setiap manusia itu berbeza. Dengan makan bersama-sama, ikatan silaturrahim dan semangat persaudaraan akan menjadi lebih erat.
  • Dialek Jawa – Unik dan saya percaya bukan diturunkan secara darah tetapi melalui perlakuan bahasa itu sendiri. Apabila ibu bapa bercakap di rumah dengan dialek Jawa, maka proses pembelajaran akan bermula. Saya tidak pandai bercakap dalam dialek ini kerana persekitaran yang tidak Jawa (Tinggal di asrama di Negeri Sembilan dan keluarga tiak menjadikan dialek ini sebagai yang utama di rumah).
  • Acara kebudayaan dan kesenian – Zapin, Kuda Kepang, dan sebagainya.

Dan hal-hal adat dan budaya yang membezakan masyarakat negeri ini denganĀ  yang lain tidak terlupakan.

Kamu, anak jati Johor, bantu saya senaraikan keunikan masyarakat Johor. Tolong.

KOMA

Dan yang mendorong saya memperinci hal Johor dan budayanya ini adalah kerana secara kebetulan sedang menghadam Surat-Surat Perempuan Johor, saya menonton televisyen saluran RMA 180 – Muzik Aktif.

Rancangan Konsert Zapin diRaja Johor iaitu persembahan lagu-lagu popular semasa dan kenangan semalam bersama artis popular tanah air dan orkestra RTM.

Pelbagai jenis Tarian Zapin dipersembahkan oleh generasi muda sehingga tua dengan pelbagai rentak dan suasana. Tarian Zapin berkasih, majlis perkahwinan, santai, bersukaria dan sebagainya.

Aduhai, kenangan semasa di sekolah menerpa bagaikan empangan yang pecah. Saya rindu suasana itu. Menari Zapin di sekolah dengan jiwa yang sangat hidup.

Sehingga kini, apabila menonton persembahan kebudayaan dan tarian tradisional, hati saya sangat berdebar dan bergetar apabila Tarian Zapin dipersembahkan. Sangat santun, dan manis.

Saya amat berharap dapat memiliki persembahan ini dalam bentuk VCD atau apa-apa sahaja dari RTM. Bagaimana ya?

Rujukan :

Tarian Zapin

Nasi Ambeng – foto diambil dari blog Strozze

Buku Zapin di Ujanailmu

Tentang Johor

About these ads