“Ini untuk kebaikan semua pihak,” kata dia yang masih tidak mahu bercerita hal sebenarnya.
“Mana kamu tahu tindakan kamu baik untuk orang lain?” jawab saya.
Sambung saya lagi, ” usah berlagak seperti Tuhan seolah-olah kamu tahu tindakan kamu itu baik untuk semua orang. Padahal tidak.”
“Dan kamu juga usah berlagak seperti Tuhan seolah-olah kamu tahu apa yang saya buat tidak beri kesan yang baik kepada orang lain,” tegasnya mematikan tingkah.
Jika begitu buat sahaja. Biar Tuhan menilai.
KOMA
“Dalam teknik Surah Yusuf, seorang penulis tidak bersifat ‘omnipoten’ iaitu ‘maha kuasa’ yang mengetahui apa yang ada dalam hati watak. Penulis hanya menerangkan pergerakan cerita melalui tindakan-tindakan watak dan dialog watak,” kata Puan Ainon.
“Jika begitu, watak dan penulis dua entiti yang berbeza?” tanya saya dalam hati.
“Ya, penulis dan watak merupakan dua entiti yang berbeza. Seolah-olah penulis tidak terlibat dalam cerita, yang ada hanya pergerakan cerita dan watak,” sambungnya lagi seperti tahu apa yang bersarang dalam hati bakal-bakal penulis di hadapannya.
Sukar tapi hasilnya indah. Itulah ‘tunjuk ajar’ Tuhan tentang teknik bercerita dan menulis yang tiada tandingnya.
Sebab itulah saya masih belum mula menulis karya kreatif jika mahu ikut betul-betul teknik tersebut [alasan dangkal bukan?].
KOMA
“Nada kamu tadi seperti marah,” katanya
“Usah bercakap seperti kamu kenal saya sangat. Itu prejudis dan syak wasangka namanya,” jawab saya.
Dia kadang-kala [kebanyakan masa] bertindak terlalu omnipoten.

Mac 31,2009 at 5:01 pm
adakalanya kata-kata itu dipengaruhi oleh firasat…itu membuatkan manusia lebih mengetahui dari sepatutnya…
April 1,2009 at 3:07 pm
Firasat, baguskah untuk kita ikutinya? Mungkin untuk sesetengah hal apabila kita sudah buntu.
April 1,2009 at 3:04 pm
Adakalanya teknik-teknik itu mempengaruhi aliran naluri kreativiti. Itu yang membuatkan kita tersekat-sekat, adakalanya tidak bermula langsung.
Tapi memahami teknik adalah sangat baik.
April 1,2009 at 3:13 pm
Ya, itu yang dikatakan oleh seorang penulis veteran apabila saya katakan saya tidak masuk mana-mana persatuan penulis dua tahun yang lepas.
Katanya, undang-undang atau peraturan hanya sekatan dan pagar untuk kamu melompat ke luar kota…
Jelajahi kota dengan hati yang bebas bukan terikat. Maka, nikmatinya dengan baik.
April 1,2009 at 3:47 pm
Seperti satu lingkaran penuh.
Kita tahu dia wujud.
Kita faham kewujudan dia.
Kita nampak ada jiwa-jiwa di dalamnya.
Kita tahu, faham, nampak tetapi biarlah kita berada di satu lingkaran maha besar yang lain. Yang kita tak pernah terjumpa pun garisan sempadannya.