Mac 2009
Arkib Bulanan
Mac 31,2009
“Ini untuk kebaikan semua pihak,” kata dia yang masih tidak mahu bercerita hal sebenarnya.
“Mana kamu tahu tindakan kamu baik untuk orang lain?” jawab saya.
Sambung saya lagi, ” usah berlagak seperti Tuhan seolah-olah kamu tahu tindakan kamu itu baik untuk semua orang. Padahal tidak.”
“Dan kamu juga usah berlagak seperti Tuhan seolah-olah kamu tahu apa yang saya buat tidak beri kesan yang baik kepada orang lain,” tegasnya mematikan tingkah.
Jika begitu buat sahaja. Biar Tuhan menilai.
KOMA
“Dalam teknik Surah Yusuf, seorang penulis tidak bersifat ‘omnipoten’ iaitu ‘maha kuasa’ yang mengetahui apa yang ada dalam hati watak. Penulis hanya menerangkan pergerakan cerita melalui tindakan-tindakan watak dan dialog watak,” kata Puan Ainon.
“Jika begitu, watak dan penulis dua entiti yang berbeza?” tanya saya dalam hati.
“Ya, penulis dan watak merupakan dua entiti yang berbeza. Seolah-olah penulis tidak terlibat dalam cerita, yang ada hanya pergerakan cerita dan watak,” sambungnya lagi seperti tahu apa yang bersarang dalam hati bakal-bakal penulis di hadapannya.
Sukar tapi hasilnya indah. Itulah ‘tunjuk ajar’ Tuhan tentang teknik bercerita dan menulis yang tiada tandingnya.
Sebab itulah saya masih belum mula menulis karya kreatif jika mahu ikut betul-betul teknik tersebut [alasan dangkal bukan?].
KOMA
“Nada kamu tadi seperti marah,” katanya
“Usah bercakap seperti kamu kenal saya sangat. Itu prejudis dan syak wasangka namanya,” jawab saya.
Dia kadang-kala [kebanyakan masa] bertindak terlalu omnipoten.

Mac 30,2009

“Cuba lihat KDNK negara kita. Apa item yang ada dalam KDNK?”
“KDNK?”
Persoalan itu, ada dalam muktamar di Kedah tempoh hari.
KOMA
Industri perjudian dalam negara semakin berkembang.
Industri maksiat (penjualan manusia) juga tidak kurang hebatnya.
“Itu termasukkah dalam KDNK?” tanya teman yang itu.
“Entah. Kena teliti hal ini,” jawab yang seorang lagi.
Saya sibuk di sebelah mereka dengan catatan dan kamera.
KOMA
KDNK itu singkatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Negara Kasar?
Keluaran kasar atau negara kasar? KKDN atau KDNK? Hukum DM?
Sepatutnya KKDN kan?
Keluaran Kasar Dalam Negara.
Sambil membuat dua kerja (wartawan dan jurukamera) untuk satu ‘gaji’, saya masih berfikir hal ini.
Mac 26,2009

“Perjalanan kita sama. Laluan juga sama. Biarlah masa yang menentukannya,” jelas dia tanpa ragu.
“Ya, memang sama, tapi tidak semestinya kita perlu melalui perjalanan itu bersama bukan?” jawab saya, juga tanpa ragu.
KOMA
Esok saya akan ke Kedah. Ada program yang harus saya hadiri.
Tidak, perjalanan ini tidak akan mampu menghapus lelah sepertimana yang teman sepejabat katakan;
“Bolehlah jalan-jalan di sana. Boleh hapus tekanan sedikit.”
Tidak kawan, ia tidak akan hapus apa-apa.
Yang tinggal tetap begitu, kadang manis dan kadang pahit.
Yang bakal datang juga tetap begitu, kadang manis dan kadang pahit.
Kamu mengerti bukan, bahawa masa yang kita ada terlalu singkat untuk kita melunaskan apa yang telah dirancang.
Saya, tidak mahu melunaskannya.
Ini bermakna, perjalanan kita yang kamu kata sama seiring, akan tetap berlalu, tanpa saya atau tanpa kamu. Maaf.
KOMA
“Kamu lelah?” tanya dia.
“Tidak. Saya cuma letih dan bosan,” jawab saya.
Noktah.
*Iklan – Jangan lupa tutup lampu selama sejam bermula 8.30 malam pada 28 Mac ini sempena kempen “Earth Hour 2009″.
Mac 25,2009
Posted by Bayan under
Riwayat Hidup | Label:
belon,
jawapan |
[7] Comments

“Kenapa sesak sangat hari ini?” tanya saya dalam hati pagi tadi setibanya di kawasan pejabat.
“Oo…perhimpunan UMNO.” Jawab akal apabila melihat ada kakak-kakak dan makcik-makcik yang memakai baju seragam, merah-putih dan merah jambu, sedang beratur mahu melintas jalan ke PWTC.
KOMA
Pagi tadi, semasa dalam perjalanan menuju ke pejabat, saya buka saluran radio berbahasa Inggeris.
[Saya tidak akan bicara hal bahasa kali ini]
Topiknya, sesuatu yang menimbulkan pertanyaan ‘kenapa’ [why] kepada anda. Maka, ramailah yang membuat panggilan telefon dan menyatakan segala perkara yang menimbukan pertanyaan ‘kenapa’.
Antaranya;
- Kenapa pizza yang bulat diletakkan di dalam kotak yang berbentuk empat segi?
- Kenapa ‘hadiah percuma’ [free gift] di sebut percuma sedangkan anda perlu beli sesuatu untuk mendapatkannya?
Dan beberapa pertanyaan ‘kenapa’ lagi.
Menarik topik ini.
KOMA
“Kenapa?” tanya dia.
“Entah,” jawab saya.
Kawan, kadangkala tidak semua pertanyaan ‘kenapa’ harus ada jawapan.
Dan saya tidak boleh mengada-adakan jawapan yang sememangnya tiada.
Diam lebih baik. Seperti yang saya sarankan sebelum-sebelum ini.
Mac 24,2009

“Saya sudah beritahu sejak dahulu, yang telefon bimbit dengan saya amat tidak sinonim” jelas saya kepada teman semasa kursus ISO semalam.
Dia terkejut apabila saya melempar telefon selepas menjawab pesanan ringkas yang diterima.
KOMA
“Saya sedang kursus sampai ke petang. Maaf. Petang nanti sesudah kursus, insyaAllah saya akan hubungi encik.”
Bukankah itu satu kenyataan yang jelas bahawa saya sedang berkursus dan usah diganggu sehingga petang?
Tetapi, saya terima lagi sms, bunyinya;
“Kursus apa? Bila boleh berbual?”
Dan sms itu bukan yang terakhir. Pemberi mesej ringkas itu terus-menerus bertanya itu ini, tentang kursus dan kelapangan saya dengan rasa prejudis.
KOMA
Seharusnya, saya balas sahaja;
“Saya tidak mahu diganggu oleh anda. Maaf.”
Mungkin itu agak kasar, tetapi lebih baik daripada beri alasan dengan ayat yang muluk-muluk, tetapi hati sendiri jadi sakit.
Mac 19,2009

“Melayu, mengapa dikaitkan dengan keris?”
Hari ini ada sinar matahari yang terik.
Ada panggilan telefon yang tidak perlu dijawab.
Ada kemalangan yang menjarah semangat.
“Aduhai, kakak bagaimana? Perut kakak sakitkah?” tanya saya yang dari tadi asyik memandang gementar pada tangannya, bibirnya dan wajahnya.
Saya juga gementar, sedangkan kereta mahalnya yang melanggar kereta murah saya.
“Saya minta maaf, sangat minta maaf. Cik beri nombor telefon cik dan saya akan bayar semua. Cik ambil nombor kereta saya dan nombor saya. Usah panjangkan ke balai polis.”
Itu kata dia. Seorang wanita yang sedang mengandung yang telah melanggar belakang kereta saya di Sentul pagi ini.
Santunnya buat kemarahan mereda.
KOMA
Melayu penuh dengan santun. Saya percaya itu selagi jati dirinya tidak ternoda.
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
[petikan puisi Melayu oleh Usman Awang]
KOMA
Hari ini, bacalah berita tentang Melayu dan isu budaya di Berita Harian.
Teringat kata-kata Ketua Biro Perhubungan Media dan Komunikasi GAPENA, Borhan Md Zain yang memperkatakan tentang sastera Melayu dan media semasa Kongres Kebudayaan Melayu II tempoh hari.
“Media terlalu menonjolkan hal-hal artis yang penuh dengan kemewahan. Dengan ini generasi muda memandang artis sebagai idola dan bersemangat untuk menjadi seperti mereka. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi untuk kaya dan popular.”
Sasterawan juga mewah. Mewah nilai yang akan menjadi akar yang mendukung pohon kemanusiaan. Akar itu kukuh dan kuat sehingga apa sahaja ‘makhluk perosak’ akan tewas.
Jadinya, media dicabar menyelongkar kehidupan para cendekiawan terutama yang berkaitan sastera Melayu agar terlihat usaha memelihara salah satu ‘pengenalan Melayu’ itu. Jangan sampai orang tidak kenal siapakah bangsa Melayu itu.
Begitu juga dengan Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah yang mencabar pengkarya tempatan menghasilkan filem-filem yang berkaitan agama dan jatidiri bangsa.
“Kerajaan kita kaya, tetapi kedekut.”
Ya, kedekut untuk membiayai hal-hal memartabatkan bangsa dan agama.
Pengamal media, fungsi dan peranan harus dimaruahkan.
Deraf resolusi kongres, baca di SINI.
KOMA
Panas bukan?
Itulah, main-main lagi dengan api.
Bacaan :
Itulah Melayu, Katanya…
Beberapa gambar di Flickr...
Mac 16,2009

Hari ini, InsyaAllah saya di sini.
Harapnya tidak sesat walaupun jarak Wisma Sejarah dengan pejabat saya cuma ‘sekangkang kera’.
KOMA
Jadual pembentangan kertas kerja Kongres Kebudayaan Melayu II anjuran GAPENA dan Persatuan Sejarah Malaysia yang akan diadakan di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur.
15 Mac 2009 – Pendaftaran bagi peserta luar Kuala Lumpur.
16 Mac 2009
9 pagi Sesi 1- Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu
Pembentang: Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan
Prof Madya Dr.Hashim Ismail
Sdr.Borhan Md Zain
Sesi 2- Perundangan Malaysia dalam Konteks Kenegaraan
Pembentang: Prof Datuk Ramlah Adam
Prof Dr. Abdullah Zakaria
Haji Hamzah Hamdani
3.00 ptg – Majlis Perasmian Kongres oleh YB Dato Shafie Apdal
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Sesi 3 – Pemerkasaan Kebudayaan Kebangsaan
Pembentang: Prof Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar
Prof Datuk Dr. Zainal Kling
Prof Dr. Abdullah Hassan
9.oo mlm Perbincangan Resolusi
17 Mac 2009
9.00 pagi – Sesi 1v: Islam dalam Budaya Melayu
Pembentang: Prof Dr. Idris Zakaria
Prof Dr. Abd.Rahman Abd.Aziz
Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah
Prof Madya Dr.Rahimin Affendi
Sesi V: Pengantarabangsaan Kebudayaan Melayu
Dato Dr. Mansor Abdullah
Dato Hj. A.Aziz Deraman
Prof Dr. Mustafa Ishak
Prof Dr. Mansor Mohd Noh
12.30 tgh. Rumusan dan Pembentangan Resolusi Kongres dan Majlis Penutup.
Penyertaan adalah percuma dan hubungi GAPENA [03-21442412] atau Persatuan Sejarah Malaysia. Dengan para pembentang kertas kerja yang cukup tinggi profil akademik dan keintelektualan mereka, pasti kongres ini cukup bermakna untuk semua rakyat negara ini terutama di zaman pancaroba ini (perkataan kegemaran Tan Sri Profesor Ismail Hussein). Resolusi kongres ini akan dipersembahkan kepada DYMM Raja-Raja Melayu.
*Maklumat dipetik daripada blog ini.
KOMA
Selamat menyambut ulangtahun ke 22, Ita.
Semoga Islam dan Melayu ada dalam hati sampai bila-bila walaupun kamu baru menjalani rawatan ‘rebonding’ untuk rambut kamu itu.
Mac 15,2009

Hari yang sama minggu lepas saya di sini, Tampin.
Ada siaran Negeri FM [radio Negeri Sembilan yang jarang-jarang saya dengar].
Ada jual beli pantun. Ada lagu klasik.
Akar mengikat kuat.
KOMA
Gunakanlah bahasa kebangsaan kita
Marilah amalkan ramai-ramai
Bahasalah menyatukan kita semua
Yakinlah bahasa jiwa bangsa
Marilah mari rakyat semua
Buktikan taat setia dengan satu bahasa
Maju bangsa dan kita
Bahasa jiwa bangsa
Lagu Bahasa Jiwa Bangsa
Lagu/Lirik: Dol Ramli
Ada lagu ini. Akar semakin goyah.
KOMA
Bersama setia, pemimpin dan rakyat,
Seia sekata, menambahkan erat…
Dijinjing yang ringan, yang berat dipikul,
Berjalan seiringan dengan rasa syukur…
Jika ada kekusutan dicari penyelesaian,
Demi hari muka Negeri Sembilan…
setia kepada raja, pemimpin serta negara,
Berbakti dengan jujur negeri aman makmur..
Ke gunung sama didaki, ke lurah sama turuni,
Biar ikhlas berjuang demi negeri tercinta,
Bagai aur dengan tebing saling perlu memerlukan,
rakyat dan pemimpin tidak mungkin dipisahkan…
Lagu “Kebesaran Negeri Sembilan”.
Ada akar hujung tak tentu.
Mac 14,2009

“Sabtu ini ke mana?” tanya dia, seorang jejaka yang saya yakin akan menjadi kawan saya sampai bila-bila.
“Tidak ke mana,” jawab saya.
KOMA
Saya tidak punya ramai kawan.
Silap saya tidak menjaga silaturrahim.
KOMA
Kawan-kawan ;
Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Palong Tujuh .
Sekolah Menengah Kebangsaan King George ke V.
Universiti Malaya.
Saya mencari kamu. Bukan kerana sepi menggamit rasa. Cuma kenangan menyapa hiba.
Mac 12,2009

“Jadual tercalar. Saya tidak suka begini,” jelas saya kepada encik bos.
“Mengapa?” tanya dia.
“Saya fikir saya akan ke Melaka Jumaat ini, jadinya saya menolak untuk ke Terengganu semalam. Sudahnya yang di Melaka itu ditangguhkan. Dan saya sudah tidak sempat untuk memberitahu yang saya mahu ke Terengganu,” jawab saya.
“Mungkin ada hikmahnya,” kata dia.
Iya. Siapkan cerpen yang telah dijanjikan itu sementara tidak ke mana-mana dan tidak sibuk apa-apa.
KOMA
Saya perlu kuburkan cemburu kepada kawan-kawan yang sedang bertugas di Terengganu.
“Eleh, bukannya seronok pun. Lagipun saya pernah ke Terengganu dahulu,” pujuk hati.
Tapi, hati tidak mahu dipujuk. Sambil terkenang sata, keropok lekor, kain batik dan macam-macam lagi.
KOMA
Saya, istighfar.
Buka komputer riba. Klik fail bernama ‘Karnival Halal Pulau Pinang’. Dan nikmati keseronokan berada di Pulau Pinang melalui gambar-gambar yang terakam.
Lega. Alhamdulillah.
“Kenapa banyak gambar yang biru?” tanya dia.
“Saya ambil gambar dari dalam bas. Tidak perasan yang cermin bas itu bersadur pelindung cahaya matahari,” jawab saya.
*Gambar termuat di dalam FLICKR
Mac 10,2009

Mengapa gelap? Padahal ia sepatutnya menerangi.
KOMA
“Tidak sertai perhimpunan bantah PPSMI?” tanya seorang kawan melalui sms.
“Tidak.” Itu jawapan saya yang membuatkan dia mengungkit naluri ‘pejuangan bahasa’ saya.
Ya, saya bantah PPSMI, tetapi bukan dengan cara itu. Walaupun hati digigit cemburu melihat semangat mereka yang berhimpun, entah kenapa saya rasa masih ada cara yang lebih bijaksana untuk melontar rasa marah dengan pihak tertentu yang memandang enteng isu ini.
Saya tidak label tindakan berhimpun sebagai ‘tidak bijaksana’. Ia perlu dilakukan pada zaman segalanya ‘polis’ dan segalanya ‘mahkamah’ ini. Perlu dilaksanakan pada zaman pemimpin tidak mahu ‘berkawan’ dengan rakyat.
Tapi lihat, yang ‘di atas’ itu memang menunggu tindakan sebegini dari kita [yang membantah PPSMI]. Kerana mereka punya agenda lain untuk menghentam kita.
Kita, akan masih terus dengan berhimpun atau menyemakkan balai polis dengan aduan kita, ataupun mula memikirkan cara yang lebih bijaksana dan berkesan untuk menyelesaikan isu ini?
‘Menarik rambut di dalam tepung- rambut jangan putus, tepung usah selerakkan’.
Kita bijak bukan?
KOMA
“Mana kamu tahu saya pembangkang?” kata Leman.
“Itu, di muka kamu ada ‘tulis’ muka pembangkang,” jawab Dolah sambil memuncungkan bibirnya.
Mac 5,2009

“Beli tudung dik,” seru dia.
“Tidak apa kak,” jawab saya.
“Ini tudung fesyen baru. Cantik dan sesuai untuk adik. Tudung yang adik pakai itu fesyen lama. Tidak menarik lagi,” katanya lagi tanpa asa yang terputus.
“Jadi kakak fikir, tudung yang kakak pakai itu menarik sangatkah? Sesuai sangatkah dengan kakak?” jawab saya. Dalam hati.
KOMA
Hati yang gelap, usah diajak berdiskusi.
Natijahnya, akal akan tersasar.
Diam sahaja jika sakit hati.
Oh ya, senyum mungkin boleh memberi cahaya kepada gelap itu.
Mac 4,2009

“Beg hilang.” Adu saya melalui telefon kepada abah ketika melihat beg pakaian saya yang diletakkan di tempat simpanan beg di perhentian bas Bahau hilang. Hanya beg kertas berisi kasut sahaja yang tinggal.
“Jika begitu balik sahajalah. Buat apa tunggu di sana lagi. Tidak perlu ke Terengganu,” abah bersuara lantang.
Saya tidak balik ke rumah. Tekad mahu ke Terengganu kerana program baktisiswa itu baharu pertama kali saya sertai. Saya meneruskan perjalanan dengan beg tangan dan beg kertas menuju ke Kuala Lumpur.
Tuhan sudah memberi memo dengan kehilangan beg saya, namun, saya enggan meneliti memo itu. Rentetan dari itu, saya ditimpa kemalangan sehari selepas kehilangan beg. Kaki saya patah. Dan abah tidak mahu menjenguk saya.Katanya saya anak derhaka.
Kehilangan beg, memo dari Tuhan supaya saya tidak menyertai program baktisiswa itu. Namun saya bersyukur, jika saya tidak ditimpa kemalangan di Kuala Lumpur, mungkin sesuatu yang buruk bakal berlaku di Terengganu.
Mungkin.
KOMA
“Saya hampir kemalangan pagi tadi. Seram sejuk masih terasa,” kata saya kepada Pn. Ainon semasa menghadiri bengkelnya suatu waktu dahulu.
Pn. Ainon terkejut dan berkata saya harus bersyukur kerana selamat. Ada malaikat yang menjaga saya. Dan mungkin ada kebaikan yang telah saya lakukan sebelum memulakan perjalanan itu.
Mungkin.
KOMA





Pejabat saya dilanda musibah. Maksud saya kawasan pejabat saya, Jalan Ipoh. Musibah yang membuatkan saya beristighfar beberapa kali. Kebesaran Tuhan terpampang dan bersyukur saya tidak terlibat semalam kerana saya pulang awal dari pejabat akibat kesihatan yang mendera.
Kepada mereka yang dilanda musibah, mungkin kepada pemilik kenderaan yang ditenggelami air atau pegerai yang mengalami kerugian yang besar, bersabarlah. Kehilangan itu mungkin satu memo dari Tuhan. Yang pasti ia ujian Tuhan.
*Gambar banjir diambil oleh teman pejabat yang terperangkap di tingkat satu sehingga pukul 9 malam dan juga bos saya yang baru balik dari Lake Town semalam. Terima kasih ihsan gambar!
Mac 3,2009
gambar ini, encik bos yang ambil
“Kalau saya tahu awak boleh jadi juara, sudah lama saya paksa awak masuk acara sukan ini,” kata Cikgu Hamdan kepada saya suatu ketika dahulu.
Waktu itu, saya di tingkatan lima. Tidak minat sukan lumba lari, tetapi dipaksa masuk acara itu kerana kekurangan peserta.Saya akur dan terpaksa. Tidak sangka jadi juara dan dapat mengalahkan atlit sekolah dalam acara lumba lari itu.
Waktu itu, rasa menyesal kerana tidak mencuba dari awal.
KOMA
Hari ini, seorang kawan berlumba-lumba mahu menjadi juara.
Siapa paling cantik.
Siapa paling popular.
Siapa paling bergaya.
Semua berlumba-lumba menjadi itu ini, mencapai itu ini dan membuat itu ini.
Demi kerana, mungkin nama. Mungkin kepuasan diri. Mungkin ada agenda tersendiri.
Bila ada juara, pasti ada yang tidak menjadi juara.
Apabila kalah, mungkinkah perasaan cemburu tidak menggamit?
Dan apabila menjadi juara, mungkin juga wujud rasa cemburu untuk hal yang lain bukan?
Mungkinkah?
KOMA
Cemburu, banyak cerita disebaliknya.
Cemburu syaitan kepada Nabi Adam a.s.
Cemburu adik-beradik Nabi Yusuf a.s.
Cemburu Habil dan Qabil. Dan banyak lagi. Sedari dahulu sehingga kini.
Rupanya cemburu lebih banyak daripada perasaan sayang. Dan kebanyakannya berunsur negatif.
Tetapi, bukankah katanya cemburu itu tandanya sayang?
Cubalah jadikan cemburu itu positif!
Mac 1,2009

“Kamu, tidak rindukan sayakah bulan?” tanya pungguk di suatu malam yang sunyi.
“Pungguk, usah kaitkan saya dalam hal kamu. Saya tidak rindu pada kamu. Banyak lagi yang mahu saya lihat selain kamu. Alam luas bukan?”
Sambung bulan lagi,” pungguk, belajar-belajarlah memandang yang lain. Yang indah dan tidak indah. Usah terpana dengan yang indah-indah sahaja dan jangan terlalu membenci yang tidak muluk di mata besar kamu itu.
“Jika begitu, turunkan sedikit hujan. Agar saya tahu, kamu tiada ketika hujan. Dan saya boleh lelapkan sahaja mata besar ini,” jawab pungguk lagi.
……….
“Ceh, tak mengenang budi,” katanya.
“Budi mana yang tuan tabur?” jawab saya.
KOMA

Saya berada di Pulau Pinang untuk kali yang pertama. Urusan kerja, Karnival Halal 2009 yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Millenium, Kepala Batas. Hari ni hari terakhir.
Isnin akan pulang ke Kuala Lumpur.
KOMA
“Orang lain pun penat juga. Bagilah komitmen sikit.”
Itu sms yang kami terima semasa berada di puncak Bukit Bendera.
Sms yang tidak memaknakan apa-apa pun. Hehehhehe….