
“Gambar kaktus yang berbunga kembang, telah terpadam dari kamera,” adu saya pada dia beberapa hari lalu.
“Lain kali boleh ambil gambar lagi bukan?” jawab dia memujuk.
Sebenarnya bunga kaktus itu hanya berkembang sekali. Dan selepas itu bunganya akan gugur. Kena tunggu bunga baru muncul.
Mujur, gambar itu sebenarnya bukan terpadam, cuma salah letak sahaja. Jadinya, saya sempat merakam saat bunga itu kembang. Tidaklah cantik mana, tetapi manis buat saya. Kerana ada cerita di situ.
KOMA
“Dalam fotografi, banyak perkara boleh kita belajar. Itu kamu cari sendiri,” kata saya kepada seorang sepupuĀ yang mula meminati bidang fotografi dan bertanya itu ini kepada saya.
Dia menggunakan kamera Canon. Jadi, saya yang memang tidak begitu bijak dengan jenama itu, hanya tunjukkan apa yang termampu.
“Sebagai jurugambar, kamu harus tahu kelebihan kamu di mana. Adakah dengan mengambil gambar perkahwinan, potret, pemandangan, abstrak dan lain-lain lagi. Macam saya, saya tidak suka ambil gambar perkahwinan,” kata saya.
Sambung saya lagi, “sebab itu kadang kita tengok, ada gambar kita yang cantik, dan ada yang tidak begitu berjiwa. Maknanya yang cantik itulah kecenderungan kita. Saya rasa saya suka ambil gambar potret.”
Dia hanya mengangguk-angguk. Sama ada faham atau tidak saya tidak tahu.
Saya juga mengangguk-angguk. Sama ada yakin dengan fakta yang saya kemukakan atau itu hanya hujah sendiri.
KOMA
Bercakap mengenai kamera DSLR, terutama yang besar-besar dan mahal-mahal, saya lihat ramai yang sudah memilikinya atau mampu memilikinya. Teknologi sentiasa laju berlari.
Namun, ramai juga yang tidak mampu memilikinya kerana ia bukan keperluan hidup. Mungkin.
Saya seorang wartawan merangkap jurugambar, pada mulanya menganggap memiliki kamera DSLR sesuatu yang membanggakan. Memang membanggakan apatah lagi apabila keluar bertugas, bilangan jurugambar wanita yang turut sama berebut-rebut mengambil gambar boleh dikira dengan jari. Juga sedih, apabila saya terpaksa berhimpit-himpit dengan jurugambar lain [lelaki] semasa mengambil gambar majlis. Sehabisnya, saya berundur kerana tidak manis untuk saya turut serta berebut-rebut bagi merakam saat yang penting seperti ketibaan VVIP dan perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong.
Oleh kerana hidup saya memang dengan kamera dan gambar-gambar, maka saya menganggap nilai gambar yang saya ambil biasa-biasa sahaja.
Tetapi tidak bagi orang lain yang tidak punya kamera dan jarang diambil gambar. Setiap peristiwa yang terakam memberi makna.
“Saya sudah malas mengambil gambar perkahwinan,” kata seorang kawan jurugambar.
“Mengapa?” tanya saya.
“Majlis perkahwinan hari ini, sudah tiada nilainya. Hanya upacara. Hanya majlis. Beza dengan dahulu. Ada senyum, ada pilu, ada cinta, ada sayang, ada ikrar, ada agama,” katanya yang memang saya kagumi apabila mengambil gambar perkahwinan.
Mungkin.
KOMA
Saya pernah ditawar RM5 ribu untuk mengambil gambar seorang hartawan yang mahu gambarnya dirakam ketika dia menyalami Yang di-Pertuan Agong. Saya katakan padanya saya bukan prefesional.
Dia menyalami Yang di-Pertuan Agong dengan wajah yang paling manis. Tetapi saya gagal merakam gambarnya kerana semua jurugambar bersesak-sesak.
Dia, hartawan itu, kesal tetapi menerima penjelasan saya. Saya, pada waktu itu baru pertama kali memegang kamera kepunyaan pejabat yang tidak secanggih kamera saya sekarang. Dan, saya pada waktu itu masih tidak punya ramai kenalan jurugambar yang boleh diajak berkongsi tawaran seperti yang hartawan itu berikan.
Pernah juga selepas habis satu program, saya didatangi seseorang dari negara seberang. Beliau meminta pertolongan [ada nada rayuan], gambarnya dihantar kepadanya. Saya meminta e-mail beliau agar gambarnya boleh saya hantar dengan mudah. Apabila saya meneliti kembali gambar-gambar yang saya ambil, gambar beliau tiada dalam ratusan gambar itu. Saya terkedu.
Pernah juga seorang pakcik dari Terengganu yang datang ke program yang pejabat saya anjurkan, meminta gambarnya yang saya ambil, dicuci dan dihantar kepadanya.
Saya terkedu. Sebab selama ini saya tidak pernah mencuci gambar dan mengirimkannya kepada sesiapa. Saya hanya ambil, dan dokumentasikan gambar-gambar itu dalam bentuk CD.
Pakcik itu, meninggalkan alamat rumahnya dan berpesan berkali-kali agar gambarnya dicuci dan dihantar kepadanya.
Sehingga hari ini permintaannya itu, tidak saya tunaikan. Begitu juga dengan permintaan-permintaan lainnya yang meminta gambar mereka dikirim melalui e-mail.
Apatah lagi kawan-kawan pejabat yang suka benar gambar mereka diambil. Kebanyakannya saya simpan sahaja. Kecuali beberapa orang yang datang pada saya dan membawa ‘thumb drive’, atau yang menyapa saya melalui YM. Maka mereka boleh mengambil gambar mereka tanpa syarat.
Mungkin, saya menganggap bahawa mereka yang mahukan gambar mereka yang saya simpan, yang seharusnya datang pada saya dan meminta gambar itu daripada saya. Bukan saya yang sepatutnya bersusah payah mengagih-agihkan gambar untuk mereka yang ada dalam simpanan saya. Mungkin.
Bagaimana pula dengan mereka yang datang dari jauh, yang mengharapkan gambar mereka yang saya ambil menjadi kenangan paling berharga, tidak saya endahkan?
Hal itu menjadi satu kesedaran buat saya. Bagi saya gambar yang saya ambil tidak begitu bermakna terutama hal yang berkaitan dengan urusan rasmi pejabat dan terutama apabila gambar itu tiada kaitan ceritanya dengan cerita saya. Ambil gambar, edit sedikit dan dokumentasikan dalam bentuk CD. Simpan.
Namun, bagi mereka yang tidak kamera dan tidak punya ruang untuk merakam saat-saat manis dan penting dalam hidup, mungkin menganggap dengan meminta pertolongan orang lain, saat-saat manis itu boleh di simpan.
KOMA
Nilai sebuah gambar, bukan sahaja kerana kualiti sesebuah gambar itu dirakam.
Nilai sebuah gambar bukan kerana kamera yang mahal atau pergi ke tempat yang terkenal.
Nilai sebuah gambar terletak pada peristiwa yang dirakam. Banyak cerita dapat dipugar hanya dengan sebuah gambar.
Saya juga punya beberapa gambar yang manis bagi saya. Bukan kerana gambar itu cantik dan punya kualiti yang baik, tetapi kerana ia punya cerita. Cerita saya yang terakam melaluinya.
Februari 23,2009 at 1:33 pm
gambar itu sesutau kenangan yang sentiasa terpahat dihati…adakalanya kita tersenyum melihatnya..ada kalanya kita bersedih…
dua gambar yang sentiasa aku tatap…Ibu dan anakku…
Bayan : Ya.
Februari 23,2009 at 2:34 pm
Ini sangat dekat dengan saya. Kisah penangkap gambar (Orang pantai Timur kata ‘pukul gambar’).
Fotografi adalah seni dan teknikal. Malahan semua bidang seni ada ‘seni dan teknikal’ masing-masing.
Dengan zaman DSLR ni semua orang berlumba-lumba nak memiliki satu. Walaupun mahal. Dek kerana teruja melihat hasil foto orang lain. Di Malaysia ni, dah jadi macam satu fenomena pula tentang DSLR. Mungkin sebab senang nak belajar menggunakannya. Berbanding dengan era ‘film roll’.
Tapi, kamera hanyalah kamera. Seni tiada di dalam kamera. Jiwa juga tiada di dalam kamera. Si penangkap gambarlah pembezanya. Kalau pakai Canon 1D Mark III sekali pun tapi jiwa dan seninya tiada. Kaku juga hasilnya. Orang kata, gambar ‘snap’ sahaja.
Si penangkap gambar juga perlu ada lagi sifat tambahan – berani. Atau, hati kering. Bukan mudah untuk ke hadapan meredah majlis yang sangat besar dan formal, mencari tempat yang paling baik untuk sudut terbaik, menyelinap di celahan manusia penangkap gambar yang lain. Kan?
Adakalanya, bila kamera DSLR kita hanya level ‘kecil’ segan juga bila berada di sisi ‘kamera’ besar. Kan?
Saya juga penangkap gambar perkahwinan yang sudah ‘pencen’. Jemu dengan kerutinan. Bosan dengan kerenah. Letih dengan keringat. Hasilnya, tiada kepuasan diri. Mungkin bukan untuk saya. Saya seorang yang anti-rutin.
[,]
Oh, kaktus itu sungguh cantik. Tapi fokusnya tak kena pada bunganya, mungkin. Bokeh yang cantik juga.
Maaf juga. Komen yang panjang.
Bayan : Terima kasih kongsi cerita. Sengaja tak fokus pada bunga untuk gambar yang ini. Fokus pada duri kaktus yang umpama duri dalam hati saya. Hahahhaa emosi la pula. Banyak gambar kaktus ini, malas nak pilih. Sedang tiada mood untuk gambar.
Februari 23,2009 at 3:38 pm
Mungkin juga gambar itu gambaran hati…
Bayan : Mungkin.
Februari 23,2009 at 3:44 pm
Oh..durinya kelihatan seperti bulu. Walau secantik mana gambar kadang2 boleh disalah ertikan jugak..
Bayan : Lama encik tidak ke mari. Memang benar, gambar punya pelbagai tafsiran. Begantung pada akal budi manusia yang meihatnya. Mungkin.
Februari 23,2009 at 3:55 pm
boleh buat business ni.
apalagi zalila, mantapkan ilmu, jadi pro.
Bayan : Ya, sedang merangkak. Penat. Dan lepak di taman. Terlena dan malas nak merangkak lagi. Bagaimana?
Februari 23,2009 at 9:23 pm
malas nk merangkak lagi ? penat tu kot. Cuba produk baru yg tengah hot skrang ni, Kopi Janda. hik hik hik
Bayan : Tak minum kopi. Minum jus pegaga sahaja.
Februari 24,2009 at 12:39 am
saya gemar setiap rakaman saudara…penuh kisah dan indah
Bayan : Apa kurangnya encik. Membawa ramai kawan ke Jepun dengan paparan dan cerita yang pelbagai.
Februari 24,2009 at 8:41 am
Salam
Boleh buat buku pendek ni:
Kisah Saya, Seorang Jurugambar.
Bayan : Cadangan yang baik. Terima kasih.
Mei 6,2009 at 4:07 pm
Hi, good post. I have been thinking about this topic,so thanks for writing. I will likely be coming back to your posts. Keep up the good posts