Januari 2009


shrek_013

“Kenapa guna gambar ini?” tanya dia.

“Saja. Mual dengan gambar-gambar yang saya ambil dengan kamera sendiri,” jawab saya.

“Mual? Mana mungkin seorang jurugambar mual dengan kamera dan gambarnya sendiri.” Katanya terkejut sungguh.

“Ala, sementara sahaja,” jawab saya.

KOMA

Mana mungkin jika kamu seorang petani, maka kamu akan bosan dengan cangkul-sabit.

Mana mungkin jika kamu seorang guru, maka kamu akan menghindar sekolah.

Mana mungkin jika kamu seorang juruteknik komputer, maka kamu bencikan komputer.

Mana mungkin jika kamu seorang tukang masak, maka kamu meluat dengan kuali.

Mana mungkin.

KOMA

24 jam. Tepat. [ Saya menghindar daripada kebiasaan.]

Mana mungkin saya mengelak jari-jemari mengetuk papan kekunci.

Mana mungkin saya menahan otak untuk berfikir tentang artikel dan penulisan .

Mana mungkin saya tidak mengepit buku atau apa jua bahan bacaan.

Mana mungkin saya tidak meluah rasa di blog ini.

[Bangkitlah...janji kepada encik bos tidak tertunai. Janji kepada PEN bagaimana pula?]

paulus1

Ini bukan gambar yang saya ambil.

“Kamu memilih mata lalat atau mata lebah?” tanya penceramah itu kepada salah seorang rakan sekerja kami.

“Mata lalat.” Jawabnya dengan yakin. Keyakinan seorang wanita.

“Kenapa?” tanya penceramah inginkan penjelasan.

“Kerana mata lalat banyak gunanya. Salah satunya, jahitan mata lalat yang ada di baju kurung saya ini,” jawab wanita itu lagi dengan keyakinan yang agak berkurangan sedikit. Mungkin.

Dan penceramah tergelak kecil. Mungkin juga itu jawapan yang tidak tersangkakan.

KOMA

Katanya, antara mata lalat dengan mata lebah, pilihlah mata lebah.

Kerana, mata lalat hanya mencari sesuatu yang buruk (najis, bau busuk dan lain-lain yang busuk dan buruk semata). Jika seekor lalat melalui sebuah taman yang dipenuhi dengan bunga-bunga yang wangi, lalat tidak akan peduli. Lalat hanya mahu mencari yang buruk-buruk dan busuk-busuk sahaja.

Berbeza dengan mata lebah yang memandang kecantikan, keindahan, wangi dan sebagainya. Di mata sang lebah hanya kecantikan. Jadi, lebah tidak akan memandang kebusukan dan keburukan.

Itu sifat semulajadi yang telah Tuhan tentukan buat lalat dan lebah. Tidak salah lalat, dan beruntunglah lebah. Tetapi, bukankah kita di seru untuk belajar daripada alam? Termasuk juga haiwan. Kerana alam dan haiwan juga ciptaan Tuhan.

KOMA

Dari aspek logik, saya setuju bahawa kita manusia boleh dikategorikan dengan mata lebah dan mata lalat.

Ada manusia yang hanya memnadang keburukan dan kesalahan orang lain sehingga kebaikan orang tidak terakukan.

Ada manusia yang hanya memandang kecantikan dan kebaikan sehingga melupakan keburukan dan kelemahan orang lain.

Bodohkah manusia yang hanya memandang kecantikan?

Apa pula istilah yang sesuai untuk mereka yang hanya menilai keburukan orang?

KOMA

Seorang kawan mengadukan hal kawannya, Ana. Katanya Ana telah menipunya.

Saya tanyakan, “berapa kali Ana menipu kamu?”

“Sekali. Tetapi ia memedihkan,” katanya dengan nada yang pilu.

Saya dengan lagak seorang kawan sejati kononnya mahu membela nasib kawan saya ini telah mengutuk-ngutuk dan memalukan Ana dengan kata-kata yang memilukan.

Benarkah tindakan saya atas dasar ‘membela’ kawan yang telah ditipu?

Ana dipinggirkan. Oleh saya dan kawan-kawan yang lain. Sehingga akhir semester, saya mendapat tahu hal yang sebenar. Ana menipu. Ya, dia memang menipu. Sekurang-kurangnya dia telah mendapat pengajaran dengan diasingkan oleh kawan-kawan.

Tetapi, kata-kata Ana selepas itu, menyatakan alasan dia menipu, sangat menyentap rasa. Saya silap tafsir. Ana salah. Tetapi saya terlebih salah kerana tidak menyelidik hal ini lantas menjatuhkan hukuman ke atas Ana mengikut emosi saya.

Ana maafkan saya. Katanya, apapun yang saya lakukan, dia tahu, bahawa saya tidak mengerti dan keliru.

Dan apa hak saya menjatuhkan hukuman ke atas Ana sedangkan saya hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja?

KOMA

Kamu, usah memilih menjadi mata lalat yang hanya memandang kesalahan orang lain dan cuba menghukum orang lain berdasarkan emosi kamu.

Usah lakukan kesilapan yang sama seperti saya.

hamba

“Saya Mustafa bin Mansor, Ketua Eksekutif Syarikat bla…bla…bla…”

“Saya Latif bin Ismail, Pengarah Pertubuhan bla…bla..bla…”

“Saya Abu Bakar bin Osman, CEO bla….bla…bla…”

“Saya Lutfi bin Ali, individu Islam.”

Ini dialog [sesi ta'aruf] yang benar-benar berlaku semasa mesyuarat yang baharu diadakan semalam.

*nama adalah rekaan semata-mata.

KOMA

Saya agak tersentap dengan ayat ‘individu Islam’ yang disebut oleh wakil dari sebuah pertubuhan yang terkenal tersebut.

Tiba-tiba terasa, apa sangatlah kerja dakwah yang bakal dilaksanakan jika kita masih mengaku kita adalah seorang Ketua Eksekutif atau Yang Dipertua mahupun apa-apa sahaja jawatan yang menunjukkan status.

‘Individu Islam’ yang disebut oleh wakil tersebut juga tiba-tiba membawa kita kepada suatu hal yang disebut ‘kesederhanaan’ atau ‘kehambaan’.

Namun, dari satu sudut yang lain, mungkin juga wajar kita memperkenalkan diri dan jawatan yang kita sandang.

Kerana itu adalah suatu kedudukan yang kita pernah usaha untuk mendapatkannya. Ia juga mungkin satu panggilan yang membuatkan kita lebih mudah menyampaikan idea dan pandangan.

Bukankah masyarakat memandang tinggi mereka yang berkuasa, berjawatan dan punya panggilan yang tertentu seperti Datuk, Yang Berhormat, Tan Sri dan sebagainya.

Usah lupa gelaran yang bermakna seperti Sasterawan Negara (SN) dan Profesor Emeritus, Budayawan Negara, Mufti,  dan pelbagai gelaran diperingkat akademik.

Apabila menyatakan sesuatu usul atau hukum malah pandangan, segera mereka yang punya kedudukan, kuasa atau gelaran akan dijadikan rujukan atau pegangan.

Kuasa. Panggilan. Jawatan tinggi.

Ketiga-tiga item tersebut akan lebih bermakna jika benar-benar digunakan dengan penuh hikmah, kesederhanaan dan kehambaan.

pagi
Dalam samar budi,
Hakikat diri teruji,
Sukarnya memaknakan rasa,
Getirnya memayungi diri,

Perjalanan ini kawan,
Bukan sekadar genggaman jemari,
dan bibir selalu-selalu,
ungkap rindu anyam rasa,

Bukan itu.

senja-copy

“Jangan terlewat. Nanti terpaksa tunggu satu semester lagi untuk subjek ini,” kata saya kepada seorang teman sekelas semasa di menara itu.

“Ya, ya. Jangan membebel,” katanya mematikan rasa.

Dia terlewat. Sejam. Dan dia terpaksa menambah satu semester seterusnya untuk subjek yang sama. Hanya untuk subjek itu.

KOMA

“Mengapa perlu tergesa-gesa menyiapkan kertas kerja itu? Bukankah kita punya waktu yang panjang, malam dan siang untuk menyudahkannya?” tanyanya apabila saya menolak untuk menonton teater malam itu.

“Saya tidak mahu kelam-kabut. Lagipun tak semua perkara kita boleh lakukan pada waktu siang. Dan tidak semua perkara boleh disudahkan apabila tiba waktu malam. Kerana itu, Tuhan adakan malam dan siang untuk kita membahagi-bahagikan tugas seharian mengikut kesesuaian dan lumrah alam.” Saya menoleh kepadanya mengharapkan dia mengerti hakikat menghargai masa.

KOMA

“Bangsa Melayu bukan bangsa pengeluar. Mereka bangsa pengguna. Kerana itu, apabila timbul isu boikot barangan Amerika-Israel, bangsa Melayu cepat melatah. Pertikaikan hal hukum -hakam sesuatu tindakan dan juga mengada-adakan alasan untuk tidak turut serta memboikot,” jelas Ustaz Arif yang sentiasa punya senyuman yang manis.

“Bukankah kita sudah mula berusaha mengeluarkan produk kita sendiri?” tanya saya mengingatkan padanya bahawa yayasan kami pelopor kepada konsep halal-hub.

“Kita masih jauh kebelakang dari aspek kesungguhan dan juga lemah dalam aspek mentaliti kepenggunaan. Kita masih menganggap barangan luar negara punya status yang tinggi dan kualitinya terjamin. Bangsa kita pernah menjadi bangsa pengeluar suatu ketika dahulu,” katanya sambil memandang saya dan teman yang lain.

“Iyakah? Bila?” seru saya tidak percaya.

“Ketika zaman pendudukan jepun dahulu. Bangsa kita menjadi bangsa pengeluar. Mengeluarkan barangan keperluan sendiri. Iyalah, siapa yang mahu menggadaikan nyawa ditembak oleh tentera Jepun apabila mahu keluar membeli barangan. Lagipun, peniaga pada waktu itu semuanya bangsa Cina. Sudah pasti peniaga tersebut menutup kedai kerana Jepun memang anti kepada bangsa ini.” jelas Ustaz Arif mematikan tanda tanya kami.

Sambungnya lagi, “tetapi, dalam zaman itu sahajalah bangsa kita sedar tentang keperluan menjadi pengeluar. Selepas Jepun kalah, mereka jadi bangsa pengguna semula. Mereka hanya menjadi bangsa pengeluar ketika getir. Ketika senja.”

KOMA

sticker-kereta3_web

Angka kematian rakyat Palestin meningkat kepada 971, dan kini mencecah 1000 mangsa, lapor Kementerian Kesihatan Gaza, termasuk 400 wanita dan kanak-kanak.

CARE International menyatakan mereka terpaksa menggantung penghantaran makanan dan bekalan perubatan berikutan bedilan hebat sekitar gudang dan pusat pengagihannya di Bandaraya Gaza.

Selain boikot dan doa, mahukah tentera kita dihantar ke sana bagi memerangi Israel? Gaza tidak memerlukan wang yang berjuta. Mereka hanya mahu musuh mereka berundur dari bumi Anbiya itu.

Senja hampir menjelang. Upaya yang mana mahu kita nafikan?

lampu

“Gambar di dalam dewan semua gagal. Flash sekejap boleh, sekejap tidak boleh,” kata saya kepada seorang teman.

“Kenapa tidak pakai flash saya?” jawab dia.

“Saya lupa awak ada flash.”

Tapi sebenarnya jawapan itu bukan betul. Sebenarnya, saya fikir apa yang saya ada sudah cukup. Tidak perlukan bantuan sesiapa.

KOMA

Kadangkala bila kita merasa diri kita sudah lengkap serba serbi, kita akan lupakan kawan-kawan.

Padahal, apa yang melengkapi diri kita sebenarnya belum cukup.

Kerana itu Tuhan mencipta kita dengan pelbagai-bagai agama dan bangsa, kaya dan miskin, hitam dan putih. Untuk saling melengkapi.

Seperti juga malam dan siang, terang dan gelap.

ila

Muktamar Kebangsaan Majlis Amal Islami Malaysia 2009
13 Januari 2009 (Selasa) bersamaan 16 Muharam 1430 Hijrah
7.00 pagi – 6.00 petang
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC
)

Muktamar Kebangsaan Majlis Amal Islami Malaysia kali ini diadakan bagi menghimpun sekali lagi pemimpin Pertubuhan Amal Islam bagi berbincang dan berkongsi idea mengenai isu-isu semasa dan permasalahan sosial yang timbul akibat perkembangan globalisasi yang begitu pantas.

Kumpulan Sasaran:
Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Pelajar dan Kakitangan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta
Agensi-Agensi Kerajaan Individu
Golongan Profesional Belia

*Masuk percuma. Jumpa di sana.

bot

“Kesilapan kita ialah bila mengkritik sesuatu dengan rasa hati, bukan rasa akal.” Kata seorang pensyarah semasa saya berada di menara itu.

Itu tahun akhir yang saya harapkan berkesudahan seperti beliau, menjadi pensyarah.

“Contoh?” tanya saya.

“Contohnya apabila kamu mahu mengkritik bahan bacaan bergenre pembangun jiwa atau islamik, kamu bandingkan dengan novel sains fiksyen. Mana kena,” jawabnya tanpa menoleh kepada saya.

“Setiap bahan bacaan ada genre tersendiri. Mengkritik dengan hati tidak akan memperbaiki apa-apa kelemahan. Jika mahu katakan novel cinta itu ‘sampah’, kamu harus cari satu novel cinta yang lain sebagai ‘tidak sampah’. Di situ kritikan kamu akan bermakna kerana dapat beri gambaran apa ‘sampahnya’ novel ‘sampah’ itu.” Katanya lagi.

Sambungnya lagi, “membaca juga biar dengan budayanya sekali. Usah baca novel cinta Melayu dengan bawa budaya cinta Barat. Itu tidak kena.”

Saya akur.

Hati, kamu juga harus bijak seperti akal.

ila-0701“Bukan mudah, tetapi saya harus mencari pengganti,” jelas saya padanya.

“Banyak pilihan bukan? Malah saya pasti lebih baik daripada yang sebelumnya,” tingkah dia memberi sokongan.

“Harapnya.”

‘Kamu’, Mc Donalds, Clinique, Kotex, Maybelline, Nestle, Maggi, Johnson & Johnson, Kit Kat, Disney, Nescafe, dan Scott. Cuma ini yang saya gunakan.

Alahai bukannya apa-apa menggantikan ‘kamu’ dengan yang lain.

KOMA

Rasanya isu boikot- memboikot ini sudah lama berlangsung. Sejak zaman karikatur Nabi Muhammad s.a.w malahan rasanya sejak sebelum itu lagi.

Adakah boikot barangan ini menjadi sesuatu yang kekal bagi masyarakat kita ataupun sekadar ugut-mengugut dan juga sekadar apabila timbulnya sebab tertentu?

Sebaiknya fikir sejak mula barangan apa yang kita gunakan, ke mana wang itu disalurkan dan bahan yang terkandung di dalamnya. Bukankah itu konsep ‘halal’ yang kita pegang?

Dan juga, seharusnya di zaman Malaysia menjadi ‘hub halal’ ini, masalah memboikot barangan Yahudi tidak timbul bukan?

Tinggalkan sahaja barangan mereka dan mula bangunkan hub halal kita sebaiknya. Hasilkan barangan yang sama seperti mereka tetapi menggunakan acuan kita sendiri.

KOMA

“Saya masih melihat senarai produk yang perlu diboikot. Mana tahu itu senarai yang tidak benar,” kata saya lagi.

“Kenapa?” tanyanya hairan.

“Entah, bimbang boikot membabi buta. Harapnya tidak dan harapnya tiada unsur sabotaj dari mana-mana pihak.”

*Senarai penuh barangan Israel di sini. Eh, Flickr, Nikon, Blogspot, dan WordPress produk dari mana?

*Temujanji kita malam ini untuk membongkar sejarah Iskandar Zulkarnain.

patung

“Saya mahu beri awak buku,” kata seorang teman lama sambil memunggah beberapa kotak yang terisi beberapa jenis novel.

“Wah, banyaknya. Kenapa tidak dibawa sekali,” jawab saya tanpa memandang ke arahnya kerana sibuk membelek novel-novel lama dan baharu itu.

“Tak berbaloi bawa berat-berat. Buat semak sahaja,” serunya selamba.

Saya terdiam dan memandang ke arahnya. Dia memegang sebuah kotak yang besar.

“Itu apa pula?” tanya saya mohon kepastian.

“Eh, ini tak boleh didermakan. Buku-buku ini berkualiti. Sampai matipun akan disimpan. Harta yang berharga.” Sambut dia sambil terus memasukkan kotak itu ke dalam kereta.

Oh, begitu?

KOMA

Saya masih membelek-belek novel dan beberapa majalah milik teman yang telah bertukar ke tangan saya. Banyak.

Melihatkan rak buku yang juga sudah penuh, saya hanya memilih beberapa novel untuk disimpan dan dijadikan hak milik.

Selebihnya, yang tidak berkenan di hati saya dermakan pula kepada teman yang lain. Kerana saya juga tidak mahu menyimpan bahan bacaan yang kurang nilainya.

KOMA

Mungkin juga nilai sesebuah buku terletak pada pembaca. Pembaca memang mempunyai ikatan yang kuat terhadap penulis.

Ada pembaca yang memilih bacan bacaan kerana penulisnya. Ada juga yang membaca kerana isi kandungan bahan bacaan itu – budaya yang dibawa, bahasa yang digunakan, estetika yang memancar ataupun pemikiran yang disebarluaskan oleh penulisnya. Semua orang ada citarasa tersendiri.

Berbangga seseorang penulis apabila bukunya disimpan kerana sebab-sebab di atas.

Apa pula perasaan anda, sebagai penulis apabila buku anda didermakan kepada umum atas sebab-sebab seperti – pembaca tertipu kerana didesak oleh rakan, tertipu dengan sinopsis dan ilustrasi muka depan buku, tertipu dengan promosi yang besar-besar oleh penulis dan pembaca mual dengan apa yang anda tulis?

KOMA

“Kenapa kamu berkata bahawa buku ini tidak berbaloi disimpan?” tanya saya ingin tahu.

“Buku begini, baca ayat pertama pun dah tahu bagaimana kesudahan ceritanya. Bahasa yang digunakan juga terbentuk oleh masa. Kalau disimpan nampak sangat buku ini ketinggalan zaman. Berbanding dengan beberapa buku-buku lama dan baharu yang menggunakan bahasa Melayu yang baik. Zaman yang bagaimanapun, novel ini masih mampu ‘bercerita’. Ceritanya klise, tetapi adunan ‘twist’ dan gaya penyampaian tidak memualkan. Yang penting, nilai yang dibawa.” Jelas teman dengan panjang lebar.

Sambungnya lagi, “kita boleh bezakan karya yang ditulis dengan niat wang ringgit, seni atau tanggungjawab sosial.”

“Tetapi tidak boleh dinafikan sekarang ni penulis digesa menulis kerana tanggungjawab sosial dan juga kerana wang. Siapa kata penulis berbahasa Melayu tidak boleh kaya. Ramai penulis yang sudah kaya dengan menulis hal-hal yang baik dan menggunakan bahasa yang baik. Karya begitu bukan sahaja boleh menjadi harta pembaca tetapi juga harta penulis,” tingkah saya membuatkan dia mengangguk senyum.

Oh begitu rupanya.

Bukan senang mahu menghasilkan karya yang baik. Bukan senang.

Tapi mudah jika kita faham tanggungjawab kita. Mungkin bukan sebagai pejuang bahasa atau bangsa. Cukup sekadar faham mengapa kita menulis cerita yang begitu atau begitu. Kerana wang ringgitkah atau kerana ‘sesi soal-jawab’ di ‘sana’ kelak.

Saya juga gemar mendermakan bahan bacaan pada teman bukan kerana bahan bacaan itu sampah bagi saya, tetapi bahan bacaan yang baik itu ingin saya sebarluaskan kepada teman yang lain.

Bukankah saya pembaca? Saya berhak memilih bahan bacaan yang baik untuk saya dan generasi saya. Jika bahan itu baik, akan saya perturunkan kepada anak dan cucu cicit kelak sebagaimana ibu dan nenek saya perturunkan bahan bacaan yang bernilai untuk saya sebelum ini.

Dan zaman sekarang, bukan zaman penulis boleh menulis sesuka hati dengan harapan pembaca akan membeli karya mereka. Zaman sekarang internet memainkan peranan. Media siber ini memberi ruang yang cukup luas untuk pembaca mengaut maklumat tentang buku yang bakal mereka beli. Banyak blog yang membicarakan tentang buku. Dan dari situ, pembaca boleh menilai, mana buku yang baik dan mana buku yang kurang baik.

Saya masih belajar.

Masih.

* PPSMI – Dasar PPSMI Bukan Jaminan Masa Depan Negara

* Persatuan Penulis Tetap Tolak PPSMI

*Oh ya, entri ini untuk bahan bacaan yang tergolong dalam penerbitan arus perdana (mainstream) dan tidak menyentuh hal penerbitan ‘indie’ oleh kumpulan tertentu. Hal itu akan dibincangkan kemudian.

hijau

“Sastera itu terletak pada bahasanya. Bukan ceritanya.”

Bicara Puan Ainon.

KOMA

Untuk karya popular, sudah tiba masanya ubah diri. Penulis tidak seharusnya menggunakan bahasa popular yang kononnya untuk menarik perhatian untuk remaja membaca. Remaja itu yang seharusnya dididik dengan bahasa ibunda yang baik.

Bahasa untuk novel remaja dan novel popular seharusnya bahasa ibunda yang tinggi kualitinya dan baik bawaannya.

Sila baca : Remaja dan bahasa ibunda.

tree1“Esok malas la nak kerja. Bosan!” katanya ringkas.

“Suka hati kamu. Jangan sampai kamu termasuk dalam  jumlah 4,749 orang pekerja akan diberhentikan tahun ini,” jawab temannya sambil mengunyah kacang.

KOMA

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berhormat Tuan Haji Shabudin Yahaya, dalam satu kursus yang diadakan baru-baru ini, menjelaskan terdapat ‘pengangguran tidak ketara’ yang sering berlaku sehingga sesebuah organisasi dilihat tidak produktif.

Pengangguran tidak ketara ini juga dianalogikan sebagai pekerja berbudaya ‘Camel Trophy’, ‘Malboro’ dan ‘Salem High Country’. Kedengaran agak melucukan tetapi itulah hakikatnya. Budaya ini disamakan dengan sikap suka berjalan atau merayau-rayau ke meja kerja rakan pejabat yang lain, mengumpat dan memperkatakan tentang rakan sepejabat yang lain serta ada juga pekerja yang mengambil sikap endah tak endah dengan persekitarannya (tidak ambil tahu hal orang lain).

Dalam ertikata yang lain, berlaku ‘pengangguran tidak ketara’ walaupun bergelar pekerja.

Menurut beliau lagi, pekerja begini selalunya tidak akan ambil kisah dengan hadis nabi yang bermaksud;

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.iaitu masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa mudamu sebelum datang masa tua, dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

BACA SETERUSNYA…

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 26 other followers