Gambar diambil dari blog Ustaz Muhtar Suhaili

Hari ini saya cuti. Bukan kerana Kuala Lumpur memperingati Nuzul Quran. Kuala Lumpur tidak bercuti. Mungkin Kuala Lumpur yang permai ini dihuni lebih ramai bukan Islam daripada Islam. Mungkin.

Hari ini saya cuti. Demam. Batuk. Selesema. Sangat perit dan rimas. Tapi saya tahu, tuhan sengaja beri sakit untuk saya menginsafi diri. Dosa-dosa kecil, moga terhapus dengan menerima kehadiran sakit ini dengan redha.

Hari ini Selangor cuti. Walaupun tinggal di Sungai Buloh, Selangor, saya tetap tidak berkelayakan untuk bercuti. Ini kerana saya bekerja di Kuala Lumpur.

Selain Selangor, ada beberapa negeri yang turut memperingati nuzul Quran dengan memberi cuti kepada pekerjanya seperti Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, dan Terengganu. Negeri selain itu, tidak bercuti. [Jika ada kesilapan fakta sila betulkan]

Nuzul Quran merupakan hari yang penting bagi sejarah Islam dan umat Islam itu sendiri. Kerana pada hari ini, 17 Ramadhan, dikatakan bahawa Al-Quran dturunkan kali pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w, ketika Baginda sedang bertahannus (berkhalwat atau menyendiri) di Gua Hira’.

Kisahnya tentu panjang dan memberi kesan kepada umat Islam hari ini. Seharusnya juga riwayat Nuzul Quran di uar-uarkan kepada masyarakat agar martabat Al-Quran sentiasa terletak di tahap yang tinggi dalam jiwa dan kehidupan seharian.

Dan bukan hanya menjadikan Al-Quran sebagai saksi untuk bersumpah segala bagai.

Isi kandungannya, setiap baris, setiap patah ayat, harus difahami dan seterusnya diaplikasikan dalam setiap perlakuan umat Islam.

Semoga segala kebaikan yang terkandung di dalamnya dalam dihayati dan tersebar sehingga bila-bila. Amin.

Selamat Menyambut Nuzul Quran kepada umat Islam di seluruh dunia.

Rujukan :

Bila dan Bagaimana al-Quran diturunkan

Salam Nuzul Quran

Hayati peristiwa Nuzul Quran

Nuzul Quran dan Badar

Nuzul Quran dan Lailatul-Qadar

Dan banyak lagi maklumat yang boleh diperolehi di perpustakaan dan internet. Selamat menghayati Al-Quran.

About these ads