Aku hanya manusia sepi yang kadangkala ingin menjerit mahukan kebisingan kemerdekaan yang sebenar. Ahhhh….dunia, adakah kau dengar ini? Ini suara hatiku!
KL Fringe Festival 2008 sempena KL Festival sepanjang bulan Julai 2008 (1-31 Julai), masih berlangsung.
Terlalu banyak aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur. Pilih sahaja yang mana. Ini bukan zaman harus diberitahu dan diuar-uarkan setiap apa yang berlaku di sekeliling kita. Ini zaman kita mencari maklumat sendiri. Zaman kita keluar dari kepompong dan mencari pengalaman sendiri.
Ya, terlalu banyak aktiviti menarik yang dijalankan. Kamu yang berminat, berusahalah mencari maklumat itu dan seakhirnya jika kamu ketinggalan jangan salahkan pihak itu atau ini yang kononnya tidak mempromosi dengan baik.
Berbalik kepada Festival KL yang menyediakan pelbagai aktiviti yang merangkumi aspek seni persembahan, seni tampak, bahasa dan persuratan, warisan dan kebudayaan serta acara-acara lain yang sememangnya perlu diterokai terutama bagi generasi muda yang kononnya penuh dengan energi dan semangat, namun sering tersilap laluan sehingga dilihat sebagai generasi yang kecundang. Tapi, tidak semua kecundang.
Menonton KL Fringe pada 16 Julai 2008 yang lepas yang mengumpulkan beberapa filem pendek untuk tontonan umum
1. TUNGGU AKU DALAM SEMINIT LAGI
dir:Abror Rivai duration: 15mins genre:fiction- drama
language: Bahasa Melayu with English subtitles
2. ANAK-ANAK BUMI TERCINTA
dir:Amirul ‘Ariff A. Wahab duration: 25mins genre:fiction- drama
language: Bahasa Melayu with English subtitles
3. 10 TAHUN SEBELUM MERDEKA
dir:Fahmi Fadzil duration: 35mins genre:documentary
language: English & Bahasa Melayu with English subtitles
4. KAPAL KERTAS
dir:Fazlina Hishamuddin duration: 26mins
language: Bahasa Melayu with English subtitles
5. KOPITIAM KURANG MANIS
dir: Azri Abu Hassan duration:15mins genre:fiction- drama
language: Bahasa Melayu with English subtitles
6. BILA PUNGGOK RINDUKAN BULAN?
dir:Bennylita Nasuty Ramlee duration: 15mins genre:fiction- fantasy
language: Bahasa Melayu with English subtitles
Tetapi saya hanya sempat menonton 3 filem pendek iaitu Kapal Kertas, Tunggu Aku Dalam Seminit Lagi dan 10 Tahun Sebelum Merdeka. Ketiga-tiga filem pendek ini memang membuat saya teruja. Dengan tema yang berbeza saya rasa pengarah ketiga-tiga filem ini berjaya memperkenalkan saya dengan tiga dunia yang berbeza.
Kekosongan jiwa dan pengisian kehidupan yang bagaimana yang harus dipilih oleh seseorang, terkandung dalam filem pendek berjudul Tunggu Aku Dalam Seminit Lagi karya Abror Rivai. Permainan emosi melalui lagu dan paparan pergerakan watak tanpa dialog dan dengan dialog yang penuh, sungguh mencabar saya untuk memahaminya.
Lebih menarik bagi saya ialah pemaparan sejarah melalui bahan-bahan dari arkib dan temubual dengan orang-orang lama yang terlibat dalam peristiwa mogok Hartal seluruh Malaya yang dijalankan sebagai membantah Perlembagaan Federation ciptaan rejim kolonial British dan UMNO, serta kebangkitan sebuah gerakan kemerdekaan rakyat di Malaya, sepuluh tahun sebelum merdeka.
Ya, saya sebagai generasi muda agak ‘ternganga’ dengan pemaparan filem pendek/dokumentari bertajuk Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka karya Fahmi Reza ini. Sungguh, tidak seperti bosannya mempelajari sejarah melalui buku-buku teks yang saya pelajari dahulu. Saya semakin mencintai sejarah bangsa dan negara saya apabila menonton filem ini.
Oh ya, filem doku ini boleh ditonton melalui you tube. Bagaimanapun, saya tidak akan meletak URL nya di sini kerana bimbang filem ini, yang dalam simpanan youtube itu bukan dengan keizinan pengarahnya, Fahmi Reza.
Filem ketiga yang saya tonton ialah Kapal Kertas karya Fazlina Hishamudin yang pernah dicadangkan oleh Tok Rimau suatu ketika dahulu. Ini kisah gadis sepi katanya. Falsafah tentang pertemuan, perkongsian dan perpisahan dipaparkan dengan agak menarik. Mungkin juga saya terpesona dengan falsafah fotografi yang digunapakai oleh watak Ilham Hakimi. Mengambil gambar kesedihan. Apa yang lebih penting ialah garapan kehidupan yang pelbagai. Bagaimana manusia menanganinya, apatah lagi seorang gadis.
Saya bukanlah orang yang tepat untuk mengulas filem-filem pendek yang saya tontoni itu. Dan itu bukan tujuan saya menerbitkan entri ini. Membuka jiwa menonton filem pendek ini membuatkan saya terfikir beberapa perkara yang agak positif.
Saya mengagumi mereka yang menghasilkan filem-filem pendek seperti ini. Filem pendek bukan satu kerja main-main atau ’syok sendiri’. Ia hadir sebagai pengisian rohani di tengah kemelut politik dan isu-isu semasa negara yang sebahagian besar dari kita tak mampu buat apa-apa pun. Sekadar bercakap, meluah rasa hati melalui blog dan paling teruk mungkin menyumpah seranah pihak tertentu.
Pada mulanya saya menganggap mereka yang berkarya sebegini lebih kepada ‘mencari sesuatu sebagai hujah bela diri atau escapisme’ terhadap kemelut negara yang tersangkut dengan pelbagai isu.
Seakhirnya, saya melihat ia sebagai satu disiplin yang mantap dalam memberi ruang kepada individu terutama remaja, yang kreatif dan luar biasa untuk berkarya sebebas-bebasnya.
Bak kata seorang teman yang giat dan aktif dalam bidang seni persembahan ini, yang mengatakan;
Filem pendek merupakan satu ruang untuk mereka mencabar peraturan dipelajari dan seterusnya menempatkan diri dalam kelompok blue ocean.
Blue Ocean Strategy dihasilkan oleh W. Chan Kim dan Renee Mauborqne. Kedua-duanya dari INSEAD Blue Ocean Strategy Institute. Buku ini telah terjual lebih daripada 1 juta naskhah pada tahun pertama diterbitkan dan telah diterjemahkan kepada 41 bahasa
Blue Ocean lebih kepada mencipta sesuatu yang lain dari yang ada sekarang ini.
Walaupun saya bukan orang yang tepat untuk memberi komen atau pendapat, sebagai penonton saya melihat pembikinan filem pendek sebagai suatu ruang yang kreatif dalam menyampaikan emosi, rasa hati, pendapat, pandangan dan sebagainya.
Kehebatan filem pendek yang dihasilkan bukan terletak pada kos menghasilkannya atau props (peralatan yang digunakan) dan latar belakang tempat yang diambil. Ia lebih kepada pandangan mata dan hati seseorang dalam menyampaikan sesuatu maksud.
Tahniah Dr. Zulkifli yang saya lihat malam itu agak keletihan. Saya tahu anda banyak berusaha untuk seni persembahan ini. Saya setuju dengan pendapat anda iaitu;
Some people even call us “SYOK SENDIRI” with that little festival, but I think it is important to have a little dream and make it big, especially to give the idea to the young people that it is possible to do things even in difficult times.


Julai 22,2008 at 4:03 pm
cerita pendek digelar cerpen
filem pendek adakah di gelar Firpen?…
sekadar menumpang ilmu dan pengetahuan sang bayan!…baguih ha…tadak peluang nak joint benda2 macam ni.
Julai 22,2008 at 10:36 pm
BERTUAHnya kamu Bayan, berada di persekitaran KUALA LUMPUR… banyak ruang yang boleh diisi dengan pelbagai aktiviti seni. Aku aekadar mengikuti perkembangannya melalui blog kamu!
Julai 22,2008 at 10:59 pm
Bayan, terima kasih, komentarnya, inilah antara yang positif. Banyak sekali yang negatif kat sembang saya, sampai sakit hati jadinya, apalagi kita ni manusia yang berhati dan berperasaan. Dahlah kita tak dapat support lain, sokongan moral pun tak dapat, itulah masyarakat kita. Kalau boleh, saya nak ambik entri ini nak masukkan ke KL Fringe, biar, budak2 tu semangat sikit. Tkasih.
Julai 23,2008 at 1:40 am
hye bayan, thanks kerana suka kan kapal kertas saya..
saya baru belajar membikin filem, banyak lagi perkara yang harus/perlu terus belajar..kamu buat semangat saya naik tinggi!!
Julai 23,2008 at 8:54 am
Cikgooden : Hahahaha …mungkin juga istilah Filpen untuk filem pendek. Mungkin kena tanya DBP. Ya, saya sedia berkongsi apa yang termampu.
izrittzz : Saya pasti, di mana-mana jua ada peluang untuk mempelajari sesuatu. Mungkin di KL penuh dengan peristiwa yang membolehkan saya menyibukkan diri. Tapi saya percaya di mana-mana juga tentu ada peristiwanya. Cuba geledah!
Al Kota Baru : Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog saya. Ini cuba catatan ringkas dan pendapat peribadi. Harap terus bersemangat dan berjiwa besar kalaupun bukan kerana entri saya.
Fazleena : Cubaan yang baik. Mungkin banyak perkara lain yang perlu diperbaiki dari beberapa sudut, bak kata teman saya. Namun itu tidak bermakna noktah bagi anda untuk terus berkarya. Saya sokong!
Julai 23,2008 at 3:36 pm
Julai 24,2008 at 12:33 am
hm.. pernah cuba join filem pendek kategori dokumentari.. susah nk tengok kuar tv filem2 camni.. sbb pendek sgt kot..
Julai 24,2008 at 12:34 am
saya belum pernah tonton filem pendek lagi..jadi tak dapat nak rasa lagi feel nyer macam mana kan..
tapi, citer² macam ni mesti boleh jadi hits dalam masa terdekat ni kan..cuma perlukan publisiti je rasanya..
Julai 25,2008 at 12:04 pm
Naga : “Apesal balik awal nih?”
myadlan : Saya rasa TV mula memandang filem pendek sebagai satu potensi yang baik. Di Astro Kirana saya rasa pernah menonton dua tiga filem pendek karya beberapa pengarah yang sudah ada nama seperti Yasmin Ahmad dan lain-lain lagi.
Zuriaf : Rasanya publisiti tidak penting bagi pembikin filem pendek. Apa yang lebih penting ialah cetusan atau luahan idea mengikut kreativiti sendiri. Sebab tu ada orang dakwa pembikin filem pendek syok sendiri. Konsep filem pendek harus difahami. Mereka hanya mahu berkarya dengan bebas. Itu pendapat saya.
Ogos 13,2008 at 3:44 am
saya membikin ‘bila punggok rindukan bulan?’, salah sebuah filem pendek yang
ditayangkan pada mlm Tayangan oleh KL Fringe pada 16 Julai lalu.
terima kasih Bayan kerana menghadiri tayangan filem2 pendek ini. Tapi sayangnya
anda tidak berkesempatan menonton filem pendek saya. Untuk pengetahuan Bayan, saya akan tayangkannya di Rantai Art Event pada hujung bulan Ogos nanti. mungkin nanti berkesempatan dapat menontonnya dan beberapa buah karya filem pendek sahabat-sahabat seperjuangan yang lain.
Info boleh didapati di
http://rantai-art.blogspot.com
Ogos 13,2008 at 9:13 am
Ben, salam kembali.
Malam tu memang saya nak tunggu sampai habis. Mungkin jodoh antara saya dan filem pendek anda tiada, maka saya menghayun kaki awal dari apa yang dirancang.
InsyaAllah, saya akan pergi menonton filem itu di Rantai Art Event jika punya kesempatan.
Teruskan usaha!
Ogos 21,2008 at 2:02 am
yang ahmad tak pernah buat filem pendek. yang ada cuma iklan-iklan dalam bentuk ‘filem pendek’.
fahmi reza sendiri yang upload video tu.
Ogos 21,2008 at 2:03 am
yasmin ahmad tak pernah buat filem pendek. yang ada cuma iklan-iklan dalam bentuk ‘filem pendek’.
fahmi reza sendiri yang upload video tu.