noname3.jpg

Sudah dua minggu (2 kali) saya menghadiri kelas bahasa isyarat (handspeak/fingerspelling) anjuran Mysl. Menarik dan memberi kesan yang besar dalam memahami dunia orang pekak. Juga sukar dan memerlukan kesabaran bagi yang pertama kali mempelajarinya.

Keinginan mempelajari bahasa ini mungkin juga dipengaruhi oleh seorang teman yang terlibat secara langsung dengan dunia orang pekak ini. Juga selepas berhadapan dengan situasi tidak tahu mengucapkan ‘sama-sama’ untuk membalas ucapan ‘terima kasih’ seorang remaja pekak yang menjual rantai kunci yang cantik.

Selain itu, pernahkah anda menonton filem tamil bertajuk Mozhi? Ya, ceritanya sangat bagus. Percintaan dan kesenian yang berkisar tentang orang pekak dan bisu. Bagaimana jejaka yang normal, seorang pemuzik inginkan muzik yang diciptanya itu dihayati oleh si gadis yang pekak dan bisu? Saya baru beli VCD filem itu (tanpa terjemahan bahasa Melayu).

Kesempatan hujung minggu yang tidak terisi dengan aktiviti ilmu, saya ambil untuk mempelajari bahasa isyarat walau sekadar tahap asas. Memang sukar pada mulanya apatah lagi guru yang mengajar juga seorang yang pekak dan bisu.

Seperti komunikasi melalui suara, bahasa isyarat juga mementingkan bahasa badan (body language). Saya lihat, kebanyakan bahasa isyarat yang dipelajari menyertakan sekali fungsi bahasa badan melalui mimik wajah yang pelbagai. Oleh itu, ketidakfahaman tentang satu-satu isyarat yang diberi, mudah difahami melalui mimik wajah, pandangan mata, gerakan badan dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, bahasa isyarat berbeza dengan bahasa badan. Bahasa badan menjadi suatu subjek yang penting yang boleh diaplikasikan dalam semua subjek bahasa yang lain. Kerana bahasa badan itu lahir secara benar dan berlaku secara benar. Pendek kata, apa kita tuturkan selalunya tidak menggambarkan dengan tepat apa yang ingin kita sampaikan.

Teringat kata-kata, “mata tidak boleh menipu”. Percaya tidak, mata merupakan anggota badan yang boleh berbicara dengan pelbagai bahasa, pelbagai situasi, pelbagai makna.

Untuk bahasa isyarat, jika tidak tahu menyampaikan sesuatu maklumat, gunakan sahaja kaedah mengeja dengan isyarat ABC. Agak lambat. Eja satu persatu, tetapi lebih baik dari menggunakan bahasa isyarat yang salah dan akhirnya mengundang salah faham.

Dan untuk kes-kes tertentu seperti teman saya yang seorang ini,  hati-hatilah. Nasib baik kesan salah faham itu cuma kecil.

Untuk mereka yang ingin menggunakan kaedah bahasa badan, fahami konsep bahasa badan dengan baik. Dan selalunya bahasa badan setiap orang berbeza-beza. Kerana itulah, selalu timbul salah faham.

Dan akhirnya, sebaik-baiknya, cakap sahaja terus terang apa yang kamu ingin sampaikan. Bukankah itu lebih senang? Lagipun kamu telah dianugerahkan suara dan pendengaran yang baik. Jangan mengundang salah faham hanya kerana percaya bahasa badan kamu boleh difahami oleh sidia.

sisipan :

About these ads