Hari ini merupakan hari yang indah. Dan beginilah hari-hari kita, jika kita bijak mencoraknya.

Ayat-Ayat Cinta. HAbiburrahman El-Shirazy.

Saya temui entri ini di sini. Dan saya senyum.

Saya agak lambat dalam mengenali novel ini. Pertama kali melihatnya di kedai buku, saya mencebik dan tanpa memandang dua kali mahupun sekurang-kurangnya membaca sinopsisnya, saya berlalu meninggalkan rak jualan novel berbahasa Melayu itu dengan kecewa. Kecewa kerana hati gagal tertarik kepada mana-mana novel masa kini yang berlambak di pasaran.

Pada penghujung bulan oktober 2007, saya berpeluang mendekatkan diri dengan program yang dianjurkan oleh DBP. Keterujaan itu berbaloi kerana saya bukan sahaja dapat berdampingan dengan ramai penulis karya kreatif, malahan dapat ilmu yang pelbagai.

Semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, saya berbual dan berjumpa kali pertama dengan encik Jimadie dan encik Azlan [yang bakal menjadi guru memandu saya]. Apabila beliau bertanya tentang novel yang saya sedang baca. Saya katakan, tiada.

ayat-ayatcintaw300h455.jpg Ayat-Ayat Cinta merupakan novel yang dicadangkan oleh encik Azlan. Beliau juga bercerita itu ini dengan saya tentang isi kandungan buku tersebut. Saya hanya senyum dan senyum tanpa keazaman mahu memiliki novel tersebut.

Ayat-Ayat Cinta saya miliki pada 11.12.2007. Tarikh yang sangat terlewat. Di kala novel ini sudah lunyai bukan sahaja di kalangan pelajar-pelajar tahfiz atau sekolah pondok malahan mana-mana pembaca di seluruh negara. Malahan di kala novel ini sudah jauh dari bicara para pengulas buku, saya baru mula membacanya.

Dan benar seperti kata mereka. Novel ini boleh diangkat sebagai karya sastera Islam yang berjaya.

Watak Fahri yang kelihatan terlalu sempurna dan tak masuk akal [pendapat seorang teman], memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan saya dan jutaan pembaca yang lain. Sebenarnya, Fahri masih punya kelemahan. Dan gambaran demi gambaran yang dipaparkan melalui wataknya benar-benar mengagumkan. Saya percaya masih ramai lelaki sepertinya di dunia ini. Begitu juga dengan watak-watak mulia yang lain seperti Aisha, Maria, Nurul dan lain-lain.

ayat_ayat_cinta_posterpreview.jpg

Jika novel ini berjaya menambat hati pelbagai golongan pembaca, tidak mustahil filemnya juga akan mendapat pujian. InsyaAllah.

About these ads