PENGARAH Unit Dakwah Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia, Muhammad Fitri Abdullah menekankan, dalam usaha berdakwah terutama kepada individu yang bukan beragama Islam, kita tidak harus melihat perbezaan yang wujud antara kita dengan mereka, tetapi mewujudkan keadaan persamaan, kerana itu akan lebih mudah membawa kepada ruang perbincangan dan hasilnya juga adalah lebih baik. (Berita Harian, 16 Ogos 2007)

Berdasarkan pengalaman beliau sendiri, golongan bukan Islam akan lebih tertarik untuk mengetahui mengenai Islam apabila diberitahu bahawa agama yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w itu tidak jauh berbeza dengan agama lain.

Mencari persamaan antara ajaran agama juga disarankan di dalam al-Quran menerusi firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Ahli Kitab (orang Yahudi dan Nasrani), marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, kita tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu jua pun, jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain sebagai Tuhan (untuk dipuja dan didewakan) selain daripada Allah.” (Ali-Imran: 64)

Bagi Muhammah Fitri, inilah cara yang terbaik yang boleh dilakukan demi menyebarkan dakwah Islamiah yang menjadi pegangannya kini. Sejarah masa lampau dijadikan pengajaran dan panduan untuk beliau mencipta kaedah tersendiri dalam usaha membawa Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Bagaimana mahu mencari persamaan di dalam sebuah perbezaan? Bolehkah persamaan itu membawa kebaikan kepada semua agama dan adakah perbezaan yang wujud harus dijadikan kayu ukur baik buruknya sesuatu agama?

Bukan mudah untuk mengajak orang lain mempercayai apa yang ingin kita sampaikan jika kita sendiri tidak menghayati secara mendalam apa yang ingin kita sampaikan. “Tak kenal, maka tak cinta” sering dijadikan landasan untuk sesiapa sahaja menyebarkan maklumat atau ilmu kepada orang lain. Pelbagai kaedah digunakan untuk mencintai sesuatu yang baru dikenali.

Jika cinta itu diletakkan kepada manusia, maka elemen yang sering diambil kira adalah latar belakang pasangan, tingkah laku dan akhlak serta keupayaan pasangan menjaga dan memelihara pasangannya yang lain. Dalam cinta juga diletakkan sepenuh kepercayaan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi. Hanya maut yang boleh memisahkan rasa kecintaan itu.

Begitu juga dalam agama Islam. Ungkapan “tak kenal maka tak cinta” boleh digunakan dalam usaha kita menghayati Islam secara menyeluruh dan bukan ikut-ikutan sahaja. Jika kita sendiri tidak mengenali Islam secara menyeluruh, bagaimana kita mahu menyerahkan jiwa raga, taat setia dan kecintaan yang dalam, demi mengamalkan apa yang terkandung dalam Islam? Bagaimana pula kita mahu mengajak orang lain merasai kemanisan cinta yang kita rasa?

Memahami Islam secara ringan atau serpihan boleh disamakan dengan sebuah analogi ‘si buta dengan seekor gajah’. Penafsiran beberapa orang buta tentang rupa sebenar seekor gajah menjadi perbalahan.Masing-masing memberi keputusan dan gambaran yang pelbagai sehingga tidak dapat dipastikan bagaimana rupa seekor gajah yang sebenarnya. [http://media.isnet.org/sufi/Idries/OrangButa.html.]

Cerita tersebut memperlihatkan kepada kita bahawa dengan kemampuan yang terbatas (buta), kita akan disogokkan dengan pelbagai tafsiran yang kadangkala menyimpang dari situasi sebenarnya. Malahan, dari sisi yang lain, keupayaan kita melalui sumber yang terhad tidak boleh dijadikan landasan untuk mencipta suatu teori atau keputusan secara mendadak. Bukan sahaja keputusan membuta tuli ini tidak akan dipercayai oleh orang lain malah akan menimbulkan kekeliruan dan kesesatan kepada orang lain.

Pelbagai tafsiran mengenai Islam membawa kepada keadaan yang mengelirukan. Agama Islam tidak mengelirukan tetapi penganutnya yang mengelirukan serta melakukan perbuatan-perbuatan yang akhirnya menjadikan Islam sebagai agama yang mengelirukan. Kekeliruan ini boleh terjadi kepada mereka yang cuba memahami Islam melalui pembacaan dan maklumat yang mudah diperolehi di mana-mana tanpa merujuk kepada orang yang pakar atau alim ulama. Teknologi masa kini memungkinkan segalanya diperolehi dengan mudah, dengan hanya satu jari, maklumat diperoleh di hadapan mata.

Lambakan ilmu sebegini sudah pasti tiada kawalan secara mutlak. Individu yang mencari Islam melalui cara sebegini (bahan bacaan daripada internet atau bahan bercetak yang lain), mudah dikelirukan dan disesatkan. Apatah lagi jika mereka hanya membaca secara serpihan iaitu pembacaan yang tidak disertakan dengan rujukan kepada pakar-pakar tertentu atau membaca sekadar secara hurufiah. Tidak menghayati dan mendalami dengan minda dan akal yang dalam akan membantutkan proses pemahaman dan seterusnya menjadikan sesuatu itu disalah tafsir.

Perkara sebegini biasanya terjadi kepada mereka yang ingin mendalami Islam dan berhasrat menjadikan Islam sebagai pegangan hidup. Usaha mencari erti sebenar Islam tidak sukar. Disertai dengan keikhlasan demi Allah s.w.t dan juga niat mencari kesempurnaan dalam hidup, Islam boleh dihayati dengan mudah bukan sahaja melalui pembacaan yang menyeluruh malah rajin bertanya dengan orang yang benar-benar tahu tentang Islam.

Bagi mereka yang memang dilahirkan sebagai Islam tidak bermakna Islam telah dihayati dengan baik. Banyak perkara lagi yang harus dilakukan agar jiwa Islam itu mengalir ke seluruh anggota dan seterusnya mengawal segala tindak tanduk ke arah yang diredai Allah s.w.t.

Dalam usaha mengembangkan syiarnya, Islam sering disalahtafsir oleh mereka yang bukan beragama Islam. Contohnya, Amerika Syarikat yang sering melabelkan Islam sebagai ‘agama yang menganjur keganasan’ kerana menghasilkan pengganas yang terlibat dengan peristiwa pengebomanan di Barat. Kebencian dan sikap prejudis yang wujud di kalangan mereka menyebabkan Islam dipandang seperti yang tidak sepatutnya.

Mengapa kekeliruan tentang Islam masih wujud sedangkan di dalam al-Quran Islam telah digambarkan sebaiknya sebagai agama yang sempurna meliputi aspek toleransi, bekerjasama, kasih sayang, persefahaman, dan sebagainya, bukan sahaja sesama Islam, tetapi juga kepada mereka yang bukan beragama Islam.

Dikatakan kekeliruan tentang Islam ini wujud akibat daripada dua punca utama. Pertama, sudah pasti kekeliruan ini ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam yang mempunyai agenda tersendiri dan sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan Islam dan penganutnya. Manakala yang kedua pula ialah kekeliruan yang dicipta oleh umat Islam sendiri.

Begitu juga dengan tanggapan buruk tentang Islam di Eropah, dan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat. Prejudisnya terhadap Islam semakin kuat akibat beberapa kejadian yang kononnya didalangi oleh puak militan Islam. Adakah tuduhan itu benar?

Melihat pada skop yang kecil, iaitu di Malaysia sendiri yang sememangnya telah diiktiraf sebagai negara Islam, adakah Islam diamalkan dengan baik mengikut sunnah dan syariah yang telah ditetapkan?

Lihat sahaja kepada kelompok tertentu yang mengaku sebagai Islam tetapi secara terang-terangan tidak menghayati cara hidup Islam yang telah digariskan. Contohnya, aspek menutup aurat yang sering diperlekehkan dan dipandang ringan sedangkan di dalam al-Quran jelas menyatakan kewajipan menutup aurat kepada semua Muslimin dan Muslimat.

Begitu juga halnya dengan kelompok tertentu yang kononnya ingin membawa Islam secara global dengan meletakkan Islam selari dengan perkembangan dunia semasa. Islam dikatakan akan lebih terkini apabila selari dengan teknologi dan kehendak semasa. Contohnya, pakaian atau busana Islam yang dikomersialkan supaya selari dengan fesyen terkini.

Istilah busana Islam digunakan bagi meraih pemasaran yang baik di kalangan orang Islam di samping menarik minat mereka yang bukan beragama Islam. Tindakan itu memang baik dan mulia kerana memperkenalkan busana Islam di persada dunia setanding dengan fesyen-fesyen Barat yang digilai oleh remaja-remaja masa kini. Namun, kekeliruan wujud apabila busana yang dipamerkan dan diuar-uarkan melanggar ketetapan yang telah Allah s.w.t gariskan. Lihat sahaja hari ini, pertunjukan fesyen busana Islam diadakan di merata tempat. Apa yang menyedihkan busana yang dipamerkan jelas bukan busana yang menutup aurat. Ditambah lagi warna-warna yang tidak sesuai serta aksesori yang berlebihan.

Amat menyedihkan jika ini yang ditonton oleh mereka yang baru bertatih mengenal Islam. Kekeliruan ini seterusnya akan menjadi suatu perkara yang sesat lagi menyesatkan.

Begitu juga kekeliruan yang sering ditimbulkan oleh golongan ulamak dan umarak yang seringkali meninggalkan kesan terhadap para pengikutnya. Pertelagahan tentang sesuatu perkara yang berkaitan dengan dasar dan hukum agama tidak sepatutnya dihebahkan oleh media secara sewenang-wenang. Ini adalah perkara yang sensitif dan harus dibincangkan secara musyawarah dan bijaksana. Agama Islam relevan kepada semua perkara yang meliputi kehidupan manusia, namun amat berbahaya jika agama cuba dipolitikkan atau dicacamerbakan dengan isu-isu lain sehingga boleh menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam sendiri.

Bagi institusi kekeluargaan, ibu bapa adalah ‘hero dan heroin’ yang harus dijadikan contoh terbaik bagi anak-anak mendepani usia dewasa. Mencorakkan anak-anak dengan nilai Islam sejati menjadi tanggungjawab yang tiada berkesudahan. Mendidik mereka dengan isu persefahaman antara agama di samping mengukuhkan jati diri Islam yang sebenarnya amat dituntut.

Sudah tiba masanya juga, setiap umat Islam sedar tanggungjawab mereka terhadap Allah s.w.t, agama, diri sendiri, bangsa dan negara. Jika Islam, lakukan dengan sungguh-sungguh nilai hidup sebagai seorang Islam.

Kata orang lama, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya, bagaimana gendang begitulah tarinya’. Perumpamaan lama ini boleh dijadikan landasan bagi kita melihat semula apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Bukankah ‘adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah’?

Tidakkah pelik apabila seseorang yang mengenakan hijab atau tudung masih melakukan kejahatan. Manakala yang berjubah atau berkopiah pula masih memekik-mekik menghina agama dan bangsa lain kononnya demi menegakkan Islam.

Lihat sahaja peristiwa seorang pelajar Malaysia berketurunan Cina yang menjadi perdebatan akibat ketidakfahamannya terhadap agama dan budaya bangsa lain. Pelajar tersebut kurang sensitif atau tidak memahami agama Islam. Beliau juga dikatakan mengekspresikan rasa ketidakpuasan hatinya melalui cara yang salah. Ya, beliau bersalah kerana tidak menghormati agama, bangsa dan negara.

Tetapi lebih bersalah, jika umat Islam sendiri meradang tanpa usul periksa, memekik dan mengapi-apikan lagi kemarahan umat Islam yang lainnya dengan bahasa dan kata-kata yang kasar dan tidak beradab. Jika begitu, tiada beza antara kita dan mereka. Dan perbalahan ini tidak akan selesai sampai bila-bila. Ada caranya untuk kita ‘mengajar’ mereka yang tidak menghormati agama dan bangsa kita. Bukan dengan menghina, mencaci, mengutuk dan menghambur kata-kata yang kesat. Itu bukan cara yang Islam anjurkan.

Oleh hal yang demikian, Islam harus dijadikan pakaian yang lengkap untuk menutup dan seterusnya menghapuskan segala perilaku yang buruk . Menjadikan Islam sebagai pakaian yang paling sempurna akan menjadikan jiwa sentiasa terarah kepada hal-hal yang ma’aruf dan seterusnya memelihara agama sebaik-baiknya.

Untuk memartabatkan dan menjadikan Islam sebagai agama yang syumul (universal), dialog persefahaman anatara agama wajar dilaksanakan dengan kerap sejajar wujudnya pertelingkahan pemikiran dan kefahaman antara individu atau negara yang berlainan agama.

Di Malaysia sendiri, pelbagai dialog persefahaman antara agama telah dilaksanakan bagi memelihara keharmonian di kalangan penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama. Malaysia telah dinobat sebagai negara Islam dengan secara langsungnya Islam sebagai agama rasmi. Oleh itu, ketidakfahaman antara agama boleh dipertingkatkan melalui kebudayaan, kepercayaan dan tolak ansur yang berterusan.

Di New York, Majlis Hubungan Rakyat Amerika-Islam (CAIR) terus bertungkus lumus memperbaiki persepsi rakyat negara itu ekoran kejadian yang meruntuhkan Pusat Dagangan Dunia dan mengorbankan lebih 2,000 nyawa itu. Dan di mana-mana negara barat juga, masyarakat Islam bertungkus lumus membawa persamaaan sejagat agar Islam tidak dipandang serong.

Sudah tiba masanya Malaysia sebagai negara Islam mengotakan segala apa yang dikatakan sebagai negara Islam. Pemikiran, amalan harian, cara hidup bermasyarakat dan apa sahaja yang wujud di dalam diri setiap muslim harus berlandaskan ‘amal ma’ruf nahi munkar’. Menjalani hidup sebagai Islam yang sebetulnya, akan membantu mengukuhkan persefahaman antara agama dan seterusnya memelihara martabat Islam sebagai agama yang suci tanpa memburuk-burukkan agama lain. Kebenaran tentang Islam harus dipertahankan. Kekeliruan pula harus dilenyapkan sedikit demi sedikit demi kebaikan setiap manusia.

About these ads